Categories
NASIONAL

Perkhemahan Tidak Berganjak Walau Dirampas

SHAH ALAM 24 APR : Perkhemahan mahasiswa dan aktivis di Dataran Merdeka (Occupy Dataran) sekali lagi diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) awal pagi ini berazam akan meneruskan perkhemahan walau diugut dan diancam dengan pelbagai tekanan.

Menurut Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini, walaupun  pihak DBKL telah bertindak merampas hampir 20 khemah mahasiswa sekitar 6.30 pagi tadi namun mereka bertekad untuk terus berkhemah.

“Sewaktu serbuan, terdapat lebih kurang 20 orang mahasiswa di sini. Anggota mereka pula sekitar 60 orang.

“Hasil budi bicara, dapatlah kami selamatkan makanan kami. Yang lain kesemuanya dirampas termasuk barangan peribadi kami,” ujar Syahid yang dihubungi TVSelangor melalui panggilan telefon pagi tadi.

Pihak DBKL turut bertindak memagari kawasan berkenaan dengan pagar besi dan pita kuning.

Bagaimanapun, Syahid memberitahu tindakan tersebut sama sekali tidak akan mematahkan semangat mereka untuk meneruskan protes yang bermula 14 April lepas itu.

“Kami kini dalam proses membeli khemah-khemah baru untuk didirikan. Kami akan terus berkampung di sini sebagai simbolik pendirian kami menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tidak pernah luntur,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, terdapat pergelutan kecil dalam serbuan pagi tadi namun tiada insiden serius atau sebarang penahanan berlaku seperti kejadian diserang samseng Ahad lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

DBKL Benarkan Tiga Khemah Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 19 APR : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya memberi kebenaran kepada kumpulan mahasiswa untuk mendirikan tiga buah khemah di Dataran Merdeka.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, kumpulan mahasiswa menyambut baik respon daripada pihak DBKL demi menghormati Konsert Diraja pada malam esok.

“Walaupun sekadar lisan, namun respon DBKL itu kami hormati dan akan kami patuhi juga sebagai tanda menghormati Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung.

“Tiga khemah yang dibenarkan ini juga sekadar berisi barang keperluan dan sumbangan daripada orang ramai sejak seminggu lalu,” jelas Syahid sambil menambah tiada tambahan khemah yang akan didirikan sehingga malam esok.

Mengulas lanjut respon pihak Kerajaan Pusat mengenai desakan mereka menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Syahid berkata setakat ini mereka tidak menerima maklum balas.

“Walaupun tiada respon, kita akan tetap dengan pendirian dan hasrat kita untuk mendapatkan pendidikan percuma kerana itu memang hak rakyat.

“Bagaimanapun kami menghargai MP pembangkang yang membawa isu pendidikan percuma ini ke sidang dewan parlimen untuk perhatian semua,” ujarnya.

Kumpulan mahasiswa mula berkampung secara aman dengan memasang khemah di Dataran Merdeka sejak seminggu namun dicemari insiden diserang samseng tidak dikenali awal pagi semalam.

Hari ini merupakan hari ke tujuh perkhemahan mahasiswa bertapak di Dataran Merdeka.