Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kritik ‘pusingan U’ isu tangguh bayaran pinjaman

SHAH ALAM, 1 MEI: Presiden KEADILAN hari ini mengkritik keputusan yang dianggapnya ‘pusingan U’ membabitkan moratorium atau penangguhan bayaran pinjaman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menimbulkan kemarahan orang ramai, apatah lagi berlaku kekeliruan dalam isu faedah.

“Kita tidak mahu lagi keputusan yang berubah-ubah ini, ia hanya melambangkan kepada polisi yang tidak cekap,” kata ahli parlimen Port Dickson ketika persidangan meja bulat parlimen menerusi webinar hari ini.

Anwar berkata pihaknya juga sedia bersemuka dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan dasar yang lebih realistik.

“Kita bersedia untuk berbincang sebarang polisi jika ia membabitkan kebaikan rakyat,” katanya.

Turut menjadi panelis persidangan dalam talian ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi; ahli ekonomi, Hafiz Noor Shams dan Pengarah Eksekutif Refsa, Tan E Hun.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum perdana menteri pada 25 April lalu, kerajaan memberi penangguhan bayaran pinjaman bernilai RM100 bilion susulan wabak Covid-19.

Namun semalam, BNM dalam kenyataannya meminta peminjam melengkapkan dokumen kebenaran untuk penangguhan itu.

Prosedur itu meresahkan peminjam yang khuatir mereka perlu membayar faedah tambahan jika mereka memilih membuat penangguhan berkenaan sebelum ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM perjelas isu keliru berhubung moratorium

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) berasa kesal atas sebarang kekeliruan yang timbul daripada salah faham, yang sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

“Pihak BNM berasa kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat. Penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam/pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Tujuan ini masih tidak berubah.

“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing. Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” kata bank pusat.

Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah, kata BNM dalam senarai soalan lazim yang dikeluarkan hari ini mengenai penangguhan enam bulan sewa beli dan produk pembiayaan Islam berkadar tetap.

Peminjam/pelanggan yang akaun pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap mereka menunjukkan penangguhan bayaran balik secara automatik sejak 1 April 2020, akan terus mendapat penangguhan itu sehingga 30 September 2020.

Peminjam/pelanggan dengan Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang pada mulanya menerima moratorium ini tetapi kemudiannya menukar fikiran masih boleh berbuat demikian, kata bank pusat.

BNM dalam pengumumannya pada 25 Mac menasihati peminjam bahawa faedah/keuntungan akan terus terakru bagi pembayaran yang ditangguhkan dan mereka perlu menimbang perkara ini dalam memutuskan sama ada mereka mahu mengambil moratorium itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Moratorium: Peminjam sewa beli punya pilihan bayaran balik

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pelanggan pinjaman sewa beli yang memilih untuk mengambil moratorium selama enam bulan dari 1 April hingga 30 September, 2020 akan mempunyai pilihan dari segi pembayaran balik, menurut Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM).

Dalam kenyataan, ABM berkata pelanggan yang berkaitan boleh memilih untuk membayar ansuran terkumpul enam bulan yang ditangguhkan bersama ansuran Oktober 2020 mereka tanpa dikenakan sebarang faedah tambahan.

“Atau mereka boleh meneruskan pembayaran balik ansuran ini selepas Oktober 2020 melalui lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

“Dalam perkara ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dikenakan ke atas jumlah ansuran yang tertangguh sehingga ansuran ini dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh enam bulan yang dilanjutkan,” katanya.

Bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium selepas menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium, katanya.

“Oleh itu, pelanggan sewa beli ini perlu terus membayar ansuran bulanan mereka seperti biasa mengikut jadual asal,” katanya.

Bagaimanapun, ABM berkata bank ahlinya tidak akan mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak untuk April dan Mei 2020 oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan mereka, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih daripada 30 Jun, 2020.

“Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun, 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru dari Julai 2020 dan seterusnya,” katanya.

ABM mengingatkan semua pelanggan pinjaman sewa beli yang ingin mengambil moratorium untuk mengesahkan perkara sama dengan bank masing-masing selepas penerimaan komunikasi daripada bank mereka.

Katanya bank ahlinya akan berkomunikasi dengan pelanggan mereka yang terjejas mengenai prosedur yang tepat yang perlu mereka ikuti untuk mengambil moratorium, dan pilihan pembayaran ansuran untuk mereka selepas moratorium selama enam bulan berakhir.

“Komunikasi ini akan dilakukan melalui e-mel, surat, maklumat di laman web rasmi bank/platform media sosial, dan/atau melalui SMS/pemberitahuan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit diniaga 4.3800/3950 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini susulan langkah kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menampan impak COVID-19 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit berada di paras 4.3800/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3838/3670 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata peningkatan sentimen itu tetap ketara walaupun ekonomi Malaysia yang perlu menanggung impak susulan keputusan kerajaan melanjutkan PKP.

“Namun, dengan sokongan dasar yang mantap oleh BNM dan kerajaan, terdapat andaian bahawa ini akan membantu ekonomi pulih dengan lebih pantas.

“Malah, ia merupakan satu perkembangan dinamik di pasaran mata wang Asia berikutan pendirian pelabur yang meminati langkah tegas seperti kawalan pergerakan itu yang diharapkan dapat melenyapkan virus itu dengan lebih pantas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada Rabu, BNM mengumumkan langkah moratorium atau penangguhan automatik terhadap semua pembayaran balik pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana serta individu selama enam bulan bermula 1 April ini.

Namun, ini tidak termasuk baki terkumpul kad kredit.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.0242/0356 daripada 3.0328/0364 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1969/2164 daripada 5.2473/2530.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9545/9691 daripada 3.9334/9384 dan rendah berbanding euro kepada 4.7825/8007 daripada 4.7516/7577, sebelum ini.

-BERNAMA