Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam tawar bantuan bayar semula bersasar

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Bank Islam Malaysia Bhd menggesa para pelanggan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk menghubungi pegawainya bagi urusan pembayaran semula pinjaman yang terbaik dengan hanya berbaki dua bulan sebelum tempoh moratorium berakhir pada 30 September, 2020.

Bank Islam berkata, para pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan bank itu di seluruh negara bermula 7 Ogos untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan tersebut.

“Dengan tempoh moratorium berakhir pada 30 September, 2020, bantuan tambahan ini bertujuan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan dan menstabilkan aliran tunai mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bank itu telahpun mula menghubungi semua pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemas kini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi.

Di bawah bantuan pembayaran semula bersasar itu, Bank Islam menawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada kepada individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan kini tidak bekerja.

Individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan yang signifikan akibat waktu bekerja yang dikurangkan, pemotongan gaji dan sebagainya akan ditawarkan pengurangan ansuran bulanan bersesuaian dengan pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pembiayaan.

Mereka juga akan ditawarkan fleksibiliti pembayaran selama enam bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin umum mengenai lanjutan moratorium, bantuan bersasar petang ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan membuat pengumuman berhubung lanjutan moratorium dan pendekatan bantuan bersasar pada pukul 3 petang ini.

Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Isnin lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata nilai moratorium yang telah diberi setakat 20 Julai adalah mencecah RM59 bilion dan secara keseluruhannya moratorium itu telah memberi manfaat kepada 7.7 juta rakyat Malaysia yang merangkumi 93 peratus peminjam individu.

Beliau berkata penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang berkuat kuasa pada 1 April itu merupakan sebahagian langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bertujuan menguruskan kesan Covid-19.

Tujuan moratorium itu, yang merupakan matlamat ketiga PRIHATIN (memperkukuh ekonomi), adalah membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam tempoh enam bulan dan ia akan berakhir pada September 2020, katanya.

Justeru, bank-bank kini mula mendapatkan kerjasama daripada peminjam untuk pendekatan yang lebih bersasar.

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion,

Bagi tempoh enam bulan moratorium, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion manakala sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion setiap bulan tempoh moratorium yang dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank dijangka rugi RM6.4 bilion sepanjang moratorium

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Bank dijangka mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium selama enam bulan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ini adalah jumlah yang boleh dipinjamkan bank terbabit kepada individu dan peniaga dalam keadaan perniagaan biasa bagi tempoh April hingga September tersebut.

“Bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 billion sama ada kepada rakyat atau peminjam.

“Demi memastikan rakyat terus terpelihara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa serta akan mengambil tindakan yang diperlukan seperti yang dibuat sebelum ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada moratorium kewangan oleh bank akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sistem perbankan negara dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium dilanjutkan mengikut Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara terawal didunia yang melaksanakan moratorium secara automatik dan menjadi negara pertama memperkenalkan moratorium selama enam bulan.

Antara negara yang melaksanakan langkah itu ialah Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, United Kingdom, Kanada, Itali dan Amerika Syarikat.

Selain itu, menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mengenai impak positif moratorium kepada rakyat dan ekonomi negara, Tengku Zafrul berkata nilai moratorium yang diberi setakat 20 Julai lepas mencecah RM59 bilion.

Malah, secara keseluruhannya, moratorium itu memanfaatkan sejumlah 7.7 juta rakyat yang merangkumi 93 peratus peminjam individu, kata beliau.

“Saya yakin langkah moratorium ini sedikit sebanyak membantu rakyat mengharungi tempoh mencabar PKP akibat Covid-19.

“Dalam perbincangan yang sedang dijalankan dengan Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan mengenai hala tuju masa depan, mereka memberi komitmen untuk terus membantu rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, keputusan perbincangan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu moratorium antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Isu lanjutan tempoh moratorium kewangan bagi membantu perniagaan dan individu terjejas akibat pandemik Covid-19 antara perkara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai sama ada moratorium kewangan oleh bank-bank yang berakhir 30 September depan akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Lim yang juga bekas Menteri Kewangan juga mahu tahu bantuan yang akan diberikan kepada peniaga dan individu untuk pinjaman perumahan, kad kredit dan kenderaan, sekiranya moratorium tersebut tidak dilanjutkan.

Selain itu, Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) pula dijangka bertanyakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik) pasca Covid-19.

Sidang dewan yang memasuki hari kesembilan hari ini juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi bacaan kali pertama.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan membabitkan Seksyen 41 hingga 45 yang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium bayaran balik pinjaman RM55.2 bilion sehingga 13 Julai

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bermula sejak 1 April, 2020, berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM19.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala RM35.9 bilion dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurutnya, tujuan moratorium, iaitu matlamat PRIHATIN ketiga (untuk memperkukuh ekonomi), adalah untuk memberikan kelegaan bagi rakyat dan perniagaan yang memerlukan dalam jangka masa enam bulan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah untuk menjana pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

“Antara usaha-usaha ini termasuklah menyokong perniagaan dari segi mengekalkan pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (di bawah Pelan PRIHATIN dan PRIHATIN PKS+) dan Program Subsidi Upah yang ditambah baik (di bawah Pelan PENJANA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata di bawah pelan PENJANA, kerajaan juga memberi insentif bagi pengambilan pekerja dan bantuan latihan serta insentif peningkatan kemahiran untuk belia dan penganggur agar nasib mereka terbela sekurang-kurangnya selama tiga bulan dan kekal berdaya saing apabila pasaran pekerjaan kembali rancak.

Manakala bagi yang masih terkesan mereka disarankan untuk segera berbincang dengan institusi bank masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Menurutnya, bank-bank juga sedang proaktif menghubungi peminjam secara bersasar untuk menawarkan khidmat nasihat bagi bantuan bayaran balik.

“Bagi matlamat pertama iaitu untuk melindungi rakyat, kerajaan telah mengagihkan sebanyak RM11.06 bilion bantuan prihatin Nasional (BPN) setakat 13 Julai melibatkan 10.4 juta penerima dan telah meluluskan 4.43 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan pengeluaran kumulatif April-Julai sebanyak RM5.37 bilion.

“Bagi matlamat kedua pula iaitu bertujuan menyokong perniagaan, jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bernilai lebih kurang RM1.64 bilion telah disalurkan memanfaatkan 545,000 PKS mikro,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, bagi inisiatif Program Subsidi Upah untuk membantu majikan yang terkesan akibat Covid-19, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.79 bilion kepada lebih 2.53 juta pekerja, manakala, jumlah bayaran adalah sebanyak RM6.82 bilion yang memanfaatkan 2.49 juta pekerja.

Manakala bagi inisiatif ketiga kerajaan untuk membantu merancakkan perniagaan menerusi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), setakat 13 Julai KWSP telah berjaya membantu 11,370 permohonan daripada 39,323 permohonan yang melibatkan RM76.1 juta bagi caruman KWSP majikan.

Bagi inisiatif keempat, sebanyak RM9.1 bilion Dana Pinjaman Mudah PKS telah diluluskan bank-bank tempatan yang melibatkan 20,545 PKS dan inisiatif kelima di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 10,264 permohohan diluluskan bernilai RM344.4 juta.

“Daripada jumlah yang diluluskan, pembayaran telah dibuat kepada 6,200 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM223 juta.

“Bagi program TEKUN, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 25,502 bernilai RM194.63 juta dan daripada jumlah yang diluluskan, pembayaran telah dibuat kepada 22,989 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM171 juta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pendekatan bersasar langkah wajar tangani isu moratorium

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kadar pengangguran yang tinggi turut mengundang masalah peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL), terutamanya ketika tempoh-tempoh berlakunya krisis.

NPL merujuk keadaan apabila individu atau peminjam berkenaan secara berterusan dalam tempoh 3-6 bulan terbukti gagal melunaskan sebarang bayaran prinsipal atau faedah berjadual yang ditetapkan.

Dalam keadaan semasa misalnya, bukan setakat NPL menjadi tumpuan malah risiko kerugian peruntukan pinjaman juga ketara serta berkemungkinan meningkatkan nisbah rosot nilai pinjaman kasar.

Situasi sedemikian sudah pasti memberi kesukaran kepada pihak bank kerana ia boleh menyebabkan agensi penarafan bertindak menyemak turun penarafan sektor perbankan secara global.

Sejajar hasrat mengurangkan NPL akibat faktor kehilangan kerja serta pengurangan gaji atau upah susulan impak pandemik Covid-19, kerajaan bertindak mengumumkan langkah moratorium selama enam bulan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan matlamat memacu mudah tunai atau kewangan orang ramai.

Menurut Kementerian Kewangan, moratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan yang bermula sejak 1 April, 2020 dianggarkan berjumlah kira-kira RM51.4 bilion setakat 6 Julai, 2020.

Pada awal bulan ini, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat itu tidak berhasrat melanjutkan langkah berkenaan kerana memberi kesan yang sebaliknya mahu dielak oleh pihak bank.

Mungkin ada yang terfikir, apa salahnya jika pihak bank melanjutkan moratorium berkenaan demi membantu pelanggannya? Jika ya, apakah ia dalam bentuk moratorium secara menyeluruh atau secara bersasar?

Perlu diingat, sektor perbankan yang stabil adalah teras atau amat penting bagi usaha pemulihan negara dan kita sedaya upaya mengelak keadaan yang pernah dialami Amerika Syarikat (AS) ketika krisis pada 2007 sehingga 2010.

Sebarang pemulihan yang perlahan bagi sektor kewangan dalam tempoh pasca mana-mana krisis kewangan, berkemungkinan besar akan mencetuskan satu lagi krisis kredit sepertimana yang telah berlaku di AS berikutan penularan COVID-19.

Pendekatan Mengikut Setiap Kes : Langkah Global

Oleh kerana pelaksanaan moratorium secara menyeluruh akan memberi tekanan tambahan terhadap sistem kewangan dari segi menjejaskan aliran tunai, bank-bank di peringkat global telah mengambil pendekatan berdasarkan atau mengikut setiap kes terbabit bagi menanganinya dengan mengambil kira impak ekonomi terhadap peminjam.

Berikut adalah pendekatan dilaksanakan beberapa negara:

Singapura: Sebagai langkah awal bagi mengelak berlakunya kegagalan pembayaran itu, bank pusat Singapura menawarkan bantuan pinjaman untuk individu dan syarikat. Individu boleh mengemukakan permohonan kepada bank-bank bagi menangguhkan pembayaran prinsipal dan kadar faedah pinjaman perumahan sehingga 31 Dis, 2020. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menangguhkan pembayaran pinjaman prinsipal bagi pinjaman bertempoh, juga sehingga akhir tahun ini.

Thailand : Bank-bank di Thailand telah mengumumkan pakej bantuan hutang pada awal Mac lepas yang menawarkan tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga setahun lamanya.

United Kingdom : Beberapa bank di Britain telah menawarkan penangguhan bayaran gadai janji dan pinjaman dalam usaha mengelak potensi berlakunya kegagalan peminjam berbuat demikian akibat krisis COVID-19. Ia turut menawarkan untuk menaikkan had kad kredit pelanggan terbabit bagi tempoh tertentu serta mengecualikan fi ke atas wang pendahuluan tunai kad kredit.

Itali: Pada awal Mac lepas, kerajaan Itali telah mengumumkan langkah untuk menggantung semua pembayaran gadai janji ketika negara itu melaksanakan perintah berkurung bagi membendung COVID-19. Kumpulan pelobi perbankan Itali, ABI berkata peminjam turut menawarkan kemudahan penangguhan bayaran hutang kepada firma kecil dan keluarga.

Amerika Syarikat : Dua firma gadai janji terkemuka Fannie Mae dan Freddie Mac telah memberi kelonggaran kepada pelanggan masing-masing dalam bentuk menurunkan atau menangguhkan pembayaran pinjaman perumahan sehingga 12 bulan.

Kesan Berpanjangan Sektor Perbankan

Pada April, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun bank berada dalam situasi tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini, sektor itu dijangka mampu bertahan kerana bank-bank ini mempunyai kedudukan modal yang kukuh dan melepasi syarat peraturan.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019, penampan modal bank-bank pada Februari 2020 ialah RM121 bilion, manakala penanggung insurans sebanyak RM23.6 bilion pada akhir 2019.

Penampan ini melebihi jumlah minimum peraturan dan lebih dua kali ganda semasa krisis Kewangan Global pada 2008. Ini telah membolehkan bank, institusi kewangan dan penanggung insurans melaksanakan langkah-langkah seperti enam bulan moratorium di samping bantuan untuk isi rumah dan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan dan dengan pelaksanaan moratorium berkenaan, penampan modal boleh menjadi lemah sekira bank terus mengeluarkannya.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Anthony Dass berkata kemudahan moratorium enam bulan itu memberikan banyak masa untuk peminjam menyusun semula kewangan mereka, sementara fasa berikutnya sepatutnya lebih menjurus kepada moratorium secara bersasar.

“Tiadanya aliran tunai kepada bank untuk jangka masa yang lebih lama akan menyebabkan jurang tunai yang berpanjangan. Ini akan menjejaskan mudah tunai kewangan bank. Ia juga akan meninggalkan impak ke atas pendapatan langsung dan margin faedah bersihnya,” kata beliau kepada Bernama.

Meskipun beberapa bank telah mengumumkan mereka tidak akan melanjutkan moratorium melebihi enam bulan, ada juga yang telah mengumumkan mereka akan menyediakan moratorium berdasarkan sasaran.

Golongan yang disasarkan melibatkan mereka yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik atau mengalami penurunan gaji dalam proses itu, yang menyebabkan mereka berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melunaskan pinjaman.

Bagaimanapun, untuk mereka yang masih bekerja dan menerima gaji seperti biasa, moratorium bagi mereka berakhir pada 30 Sept, 2020, dan pembayaran disambung semula pada Oktober.

Menurut statistik, jumlah pinjaman yang dibayar semula kepada sistem perbankan telah menunjukkan penurunan sejak moratorium diperkenalkan.

Pada Januari 2020, jumlahnya ialah RM109.8 bilion sementara pada Mei 2020, ia mencatatkan RM78.3 bilion.

Sementara itu, jumlah pinjaman yang dibayar oleh sektor isi rumah menunjukkan 50 peratus pengurangan daripada RM31.1 bilion kepada RM16.3 bilion pada Mei 2020.

Situasi sukar: Menilai Semula Kewangan Anda

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Afzanizam Mohd Rashid berkata mereka yang menghadapi masalah kewangan kerana kehilangan pekerjaan atau pengurangan sumber pendapatan seharusnya tampil dan bersikap jujur dengan bank mengenai masalah yang mereka hadapi.

“Kita mempunyai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan di bawah payung Bank Pusat. Ia boleh menjadi pengantara kepada peminjam yang berkelayakan,” kata beliau.

Beliau menambah peminjam juga boleh membiayai dan menyusun semula pinjaman mereka kerana kadar faedah yang rendah membolehkan peminjam membayar bank pada kadar faedah yang rendah juga.

Setakat tahun ini, Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah diturunkan sebanyak 125 mata asas atau bersamaan 1.25 peratus.

Penyusunan semula hutang boleh dilakukan apabila peminjam berhadapan kesukaran kewangan sehingga menghalang pembayaran semula pinjaman pada waktu yang telah ditetapkan.

Sementara itu, pembiayaan semula hutang digunakan pada asas yang lebih meluas berbanding penyusunan semula, yang mana peminjam memanfaatkan pinjaman yang baharu diperoleh menerusi terma yang lebih baik untuk melunaskan pinjaman sebelumnya.

“Yang pastinya, bank juga akan memahami bahawa ini adalah masa yang sukar untuk semua dan bersikap jujur mengenai kedudukan kewangan anda akan memberi manfaat kepada anda untuk tempoh jangka masa panjang. Berdiam diri hanya akan menambah tekanan tambahan di masa akan datang,” kata beliau.

Tinjauan Mencabar Untuk Semua

Walaupun pengangguran dijangka meningkat kepada enam peratus tahun ini, lebih tinggi daripada kadar yang dialami semasa krisis kewangan 1887 dan 2008, kekangan kewangan akan menjadi masalah kepada banyak pihak kerana ekonomi kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan.

Ini telah mendorong bank pusat merendahkan OPR ke paras 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Meskipun beberapa penganalisis percaya masih ada ruang untuk satu lagi penurunan iaitu sehingga 1.50 peratus, ada pihak percaya kadar asas itu akan kekal sehingga akhir tahun ini kerana ekonomi telah mula pulih selepas berakhirnya Covid-19.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu lepas memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

MPC akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 10 Sept dan 3 Nov tahun ini.

Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif pada tahun ini, kata bank pusat.

BNM telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada -2 peratus hingga 0.5 peratus, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Menurut BNM, pengurangan OPR dapat memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Bagi perniagaan, cabaran tetap ada terutamanya untuk sektor perkhidmatan dan pelancongan yang mana kedua-dua sektor ini tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana sempadan antara negara masih lagi ditutup sehingga diberitahu kelak.

Pada 2018, sektor perkhidmatan menyumbang kira-kira 52.96 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sementara pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK, selepas pembuatan dan komoditi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Moratorium: Jangan tunggu saat akhir, rancang kewangan mulai sekarang

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Tempoh moratorium atau penangguhan pembayaran balik pinjaman yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana menghadapi kekangan kewangan susulan penularan pandemik Covid-19 hanya berbaki kira-kira tiga bulan.

Persoalannya, bersediakah mereka yang memanfaatkan fasiliti moratorium itu untuk kembali membayar balik pinjaman pasca-Covid-19 atau masih mengharapkan pelanjutan tempoh moratorium selama enam bulan tersebut yang akan berakhir pada 30 September ini.

Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria berkata peminjam perlu memahami bahawa moratorium itu hanya satu fasiliti yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memandangkan moratorium itu akan tamat tidak lama lagi, beliau berkata peminjam perlu mula merancang kewangan mereka seawal mungkin, sebaik-baiknya sekarang.

“Jangan tunggu hingga saat-saat akhir, sekalipun pembayaran balik pinjaman hanya akan bersambung semula pada Oktober. Merancang awal bermakna mereka perlu melihat kedudukan kewangan mereka, sama ada mereka mampu bayar balik pinjaman apabila moratorium tamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bagi peminjam yang berasakan mereka tidak mampu untuk berbuat demikian, perkara pertama yang perlu mereka lakukan ialah berunding dengan institusi kewangan masing-masing mengenai penjadualan atau penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

“Sebagai pemberi pinjaman, institusi kewangan sudah pasti mahu peminjam membayar balik pinjaman masing-masing, namun jika peminjam tidak mampu berbuat demikian, mereka perlu menghubungi institusi kewangan masing-masing dan beritahu masalah yang dihadapi.

“Sebagai peminjam yang bertanggungjawab, anda boleh dapatkan nasihat daripada institusi kewangan anda kerana mereka boleh menimbang untuk menjadualkan atau menstrukturkan semula pinjaman anda,” katanya.

Pada masa sama katanya, pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada AKPK melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) yang bertujuan membantu peminjam kembali mengawal kewangan mereka.

“Menerusi DMP AKPK, kaunselor kami akan bekerja dengan anda untuk membangunkan pelan pembayaran balik pinjaman mengikut kesesuaian anda dalam rundingan dengan institusi kewangan yag terlibat. Perkhidmatan DMP ini adalah percuma kepada individu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peminjam agar mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan masing-masing mengenai jumlah bayaran balik bulanan terkini yang perlu dijelaskan selepas moratorium berakhir kerana ada kemungkinan berlaku perubahan.

Nor Fazleen turut berkata semakan semula belanjawan bulanan pasca-Covid-19 adalah penting untuk memastikan peminjam dapat memenuhi komitmen hutang mereka.

Peminjam katanya perlu mengutamakan perbelanjaan penting seperti bayaran balik pinjaman, bil dan bayaran sewa serta mengelak perbelanjaan yang tidak perlu.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat menerusi inisiatif bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.

AKPK merupakan agensi milik penuh Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan pada April 2006 untuk membantu individu mengawal kedudukan kewangan mereka termasuk memanfaatkan fasiliti kredit secara bijak.

Sejak penubuhannya sehingga Mei 2020, lebih sejuta individu mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dan daripada jumlah itu, kira-kira 330,000 orang menyertai DMP.

Nor Fazleen berkata sebanyak 27,091 kes telah keluar daripada program itu, melibatkan jumlah tunggakan RM1,184.4 juta.

Mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta mempelajari pengurusan kewangan secara dalam talian boleh melayari laman web power.akpk.org.my atau laman Facebook, Twitter dan Instagram rasmi AKPK.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam sedia bantu pelanggan selepas moratorium tamat

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan para pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 supaya menghubunginya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada September.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata pihaknya prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.

Bank Islam telah memberi moratorium selama enam bulan untuk membantu pelanggan yang terjejas dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut, katanya.

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” katanya.

Bagi mengemukakan sebarang pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan berkunjung ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MTUC gesa kerajaan, BNM lanjutkan moratorium enam bulan lagi

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah untuk memastikan pihak bank melanjutkan tempoh moratorium sedia ada kepada sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha Agung, J. Solomon berkata lanjutan itu perlu diberikan terutama kepada kumpulan pekerja sasaran yang masih tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.

Ini akan merangkumi majoriti daripada 800,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga April tahun ini dan ribuan lagi yang terpaksa mengalami pemotongan gaji atau diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing, katanya.

Beliau berkata untuk bank mengamalkan sikap ‘perniagaan seperti biasa’ serta mengharapkan pekerja yang masih dibelenggu kehilangan pekerjaan dengan memiliki sedikit atau tiada pendapatan kembali membayar balik pinjaman adalah tindakan kejam selain tidak berperikemanusiaan terhadap peminjam.

“Perangkaan rasmi jelas menunjukkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula ekonomi pula satu proses yang perlahan, justeru, masa yang lebih panjang diperlukan untuk pekerja dapat kembali bekerja dan membayar balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dan BNM tidak seharusnya meragui bahawa sebilangan besar tenaga kerja adalah jauh daripada bersedia untuk membayar balik pinjaman kereta dan rumah mereka.

Sekiranya bank-bank terus bertegas untuk ‘mengutip’, maka dijangkakan peningkatan kehilangan kenderaan dan kediaman dalam kalangan golongan pekerja sekali gus mengakibatkan penderitaan yang tidak tergambarkan akan dialami mereka dan keluarga mereka, katanya.

Solomon berkata kementerian dan BNM tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka untuk memastikan moratorium itu dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi seluruh kumpulan B40 dan M40, serta semua pekerja yang kehilangan pekerjaan tanpa mengira skala gaji mereka.

Lanjutan tempoh moratorium itu juga perlu diberikan kepada syarikat yang mempunyai pinjaman kerana mereka turut mengalami kesukaran untuk kekal bertahan semasa tempoh pandemik ini, katanya.

Beliau berkata tidak wujud persoalan mengenai bank mengalami kerugian susulan moratorium, ini kerana pinjaman tidak dihapus kira sebaliknya hanya pembayaran ansuran bulanan ditangguhkan sehingga ekonomi kembali normal.

“Sekiranya berlaku, hanya keuntungan sahaja yang mungkin berkurangan disebabkan kerugian faedah pelaburan semula dan kos mudah tunai. Kerugian faedah pelaburan semula, bagaimanapun, tidak dapat dielakkan berikutan kemerosotan akibat pandemik ini,” katanya.

Pada 2019, semua bank di Malaysia mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, seperti yang direkodkan selama bertahun-tahun.

Dalam menghadapi Covid-19, Menteri Kewangan dan BNM berulang kali mengatakan bahawa sektor perbankan tetap kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

Solomon berkata angka BNM menunjukkan kedudukan mudah tunai dan modal lebihan sistem perbankan masing-masing berjumlah RM199.6 bilion dan RM159 bilion, melebihi tahap minimum peraturan.

Menurut BNM, ini telah membolehkan bank-bank di Malaysia memainkan peranan utama dalam membantu isi rumah dan perniagaan untuk pulih daripada kejutan pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan sektor perbankan kukuh dan rancak yang dengan mudah dapat memberikan lanjutan enam bulan lagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Semalam, BNM berkata tempoh moratorium enam bulan pembayaran ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan dan rumah yang akan berakhir 30 September ini mungkin tidak dilanjutkan.

Ia berkata setakat 19 Jun, 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AKPK: 88 peratus pilih tangguh bayar balik pinjaman bank

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Sebanyak 88 peratus atau 2,342 daripada 2,661 responden undian dalam talian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memilih untuk mengambil moratorium atau penangguhan bayaran balik kewangan yang diperkenalkan oleh Bank Negara.

Ketua Unit Pembangunan Modul Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK Nirmala Supramaniam berkata daripada jumlah yang memilih moratorium itu, 48 peratus atau 1,124 responden mahu mewujudkan simpanan waktu kecemasan.

“Ada juga yang mengambil moratorium ini untuk menggunakan duit tersebut membeli keperluan harian 21 peratus (491), pelaburan 16 peratus (375), membuat pinjaman yang lebih rendah 11 peratus (258) dan empat peratus (94) tiada perancangan.

“Bagaimanapun, undian ini tidak mengambarkan keseluruhan situasi sebenar kerana ia hanya undian secara rawak yang dilakukan dalam talian melalui Faceboook AKPK dan microsite AKPK, #askAKP dari April hingga Mei lepas,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, Nirmala berkata kajian AKPK turut mendapati tahap tekanan kewangan meningkat sebanyak 35 peratus dalam kalangan golongan yang bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Katanya, perkara itu berlaku kerana PKP dan pandemik Covid-19 adalah situasi luar jangka dan ramai yang tidak bersedia daripada segi simpanan wang untuk kecemasan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Zafrul: Lanjutan moratorium terserah kepada bank

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

“Terdapat banyak permintaan daripada mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium. Oleh itu, ini sebenarnya terpulang kepada bank sama ada mereka boleh atau tidak tetapi pada pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di ibu pejabat Prasarana hari ini.

Tengku Zafrul berkata lanjutan moratorium bersasar akan diteliti oleh bank berdasarkan kes demi kes.

Beliau berkata di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), BNM mencadangkan moratorium automatik kepada semua pembayaran balik pinjaman oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020 yang memberi manfaat kepada semua orang.

“Pada masa akan datang, saya fikir yang terbaik ialah kita memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata peminjam perlu menghubungi bank lebih awal jika mereka merasakan bahawa mereka perlu menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

“Ini terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan gaji berkurangan. Justeru, hubungi bank anda sekarang dan membuat penyusunan semula,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pertumbuhan pinjaman sederhana apabila moratorium bermula

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Susulan pendapatan isi rumah terjejas oleh pandemik Covid-19, pertumbuhan pinjaman menerima impaknya apabila moratorium bermula.

MIDF, dalam nota penyelidikan hari ini berkata sehingga April lepas, pertumbuhan pinjaman sektor perbankan kekal sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun dengan permohonan pinjaman dan runcit yang rendah.

Bagaimanapun, berikutan perniagaan kini dalam fasa pemulihan, pertumbuhan pinjaman perniagaan telah berkembang pada kadar yang lebih cepat sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM792.2 bilion, didorong oleh peningkatan pinjaman modal kerja yang tinggi sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM405.0 bilion.

“Ini mungkin disebabkan perniagaan bersedia untuk situasi tidak menentu mengenai pandemik tersebut dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman runcit terus sederhana berikutan ia berkembang pada kadar yang perlahan sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM906.0 bilion daripada 4.8 peratus tahun ke tahun sehingga bulan lepas.

“Pada asas bulanan, ia menunjukkan kemerosotan daripada RM906.7 bilion. Antara pemacu utama ialah kemerosotan yang lebih cepat dalam pinjaman untuk pembelian kereta penumpang berikutan ia merosot 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM157.1 bilion daripada penyusutan sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun sehingga Mac tahun ini,” katanya.

Mengenai permohonan pinjaman dan kelulusan, firma penyelidikan itu berkata kedua-dua segmen tersebut mencatatkan penurunan berikutan permohonan merosot sebanyak 41.4 peratus tahun ke tahun berikutan segmen pinjaman runcit utama yang susut dengan ketara.

Permohonan untuk pinjaman bagi pembelian kereta penumpang, hartanah kediaman, pinjaman peribadi dan kad kredit merosot dengan ketara manakala secara kumulatif, permohonan pinjaman empat bulan setakat tahun ini susut 11.4 peratus tahun ke tahun.

“Sementara itu, kelulusan pinjaman menyaksikan penyusutan yang lebih besar sebanyak 48.4 peratus tahun ke tahun berbanding merosot 22.5 peratus tahun ke tahun dicatatkan pada bulan sebelumnya yang sejajar dengan kemerosotan permohonan pinjaman,” katanya.

Maybank Investment, sebaliknya, berkata susulan deflasi meningkat sejajar dengan penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada April, dengan merosot sebanyak 2.9 peratus, ini telah membawa kepada lonjakan dalam pulangan sebenar ke atas deposit kepada 5.34 peratus pada April 2020 daripada 2.65 peratus pada Mac.

“Ini memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan kadar faedah, yang dilakukan pada Mei dan sebanyak 50 mata asas,” katanya.

Sementara itu, AmInvest berkata pendapatan faedah bank akan menerima impak daripada pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berturut-turut, membawa kepada margin faedah bersih yang rendah.

“Buat masa ini, kami tidak melihat sebarang tanda-tanda pengurangan seterusnya kepada OPR. Moratorium yang diberikan ke atas pembayaran balik pinjaman selama enam bulan akan membawa kepada pelarasan kerugian pengubahsuaian kepada pendapatan faedah bank pada suku kedua tahun ini sejajar dengan MFRS 9,” katanya.

Walaupun menghadapi kemerosotan pada masa ini, firma penyelidikan itu optimis mengenai prestasi pada masa depan selepas impak ekonomi daripada pandemik itu berkurangan, dan kekal neutral terhadap prestasi saham.

-BERNAMA