Categories
SELANGOR

Tawar pendidikan berniaga dalam talian kepada suri rumah, ibu tunggal

SHAH ALAM, 4 OKT: Suri rumah, ibu tunggal dan wanita tidak bekerja di negeri ini wajar diberi pendidikan perniagaan dalam talian bagi meningkatkan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Dusun Tua Muhammad Zakir Abdul Razak berkata pendidikan meliputi aspek pengurusan media, iklan Facebook (FB Ads) dan perkhidmatan pelanggan.

“Perniagaan dalam talian memerlukan kos minimum namun kelemahannya adalah pengurusan media dan hebahan yang kurang berjaya walaupun ratusan peluang terpampang di hadapan mata.

“Jadi, idea saya adalah kita kenal pasti produk yang mahu diniagakan dan setelah itu baru mereka diberikan pendidikan berkaitan perniagaan dalam talian,” katanya ketika membahaskan usul Kluster Ekonomi pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor semalam.

Sementara itu, ADN Muda Dengkil Muhammad Faid Irshad Izam berkata usaha merapatkan jurang kemiskinan perlu dilaksanakan dengan menyediakan subsidi penghantaran barang antara negeri kepada mereka yang menceburi bidang itu.

“Kos penghantaran bukanlah murah dan dianggap beban kepada peniaga baharu mahupun pelanggan, malah (penghantaran) dalam negeri sahaja sudah menelan kos sebanyak RM7 hingga RM10 bagi barangan bawah satu kilogram (kg).

“Jika berat semakin naik, maka kos penghantaran terpaksa dinaikkan, akhirnya pelanggan akan mengalihkan perhatian kepada peniaga yang menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma,” katanya.

ADN Muda Sungai Panjang Muhamad Shukri Saad pula mahu Selangor memperkenalkan model ekonomi berlandas norma baharu bagi mengatasi kelembapan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri boleh kenal pasti sektor ekonomi kurang terjejas akibat wabak itu untuk diangkat sebagai industri tumpuan selepas ini untuk membuka banyak lagi peluang kerjaya dengan membekalkan bimbingan kepada graduan keluarga pendapatan rendah (B40),” katanya.

Bagi ADN Muda Batu Tiga Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz, beliau mencadangkan supaya program dan bimbingan keusahawanan diwujudkan di sekolah bagi mendedahkan remaja dan belia kepada perniagaan.

Manakala, ADN Muda Kuang Manisalaxshmi Balachandran berharap agensi atau jawatankuasa ditubuh bagi membimbing golongan tercicir mendapat bantuan dengan mengadakan kelas percuma sebagai pendedahan awal perniagaan dalam talian di luar bandar.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO galak individu hilang kerja berniaga dalam talian

SHAH ALAM, 23 JULAI: EXCO pembangunan usahawan menggalakkan individu yang hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berniaga secara dalam talian.

Rodziah Ismail berkata kaedah itu penting untuk menambah pendapatan terutama ketika penularan Covid-19 tetapi mereka dinasihatkan mempunyai ilmu atau asas perniagaan.

“Kerajaan Negeri prihatin masalah rakyat yang memerlukan pendapatan segera selepas hilang pekerjaan susulan pandemik, namun mereka digalakkan untuk memulakan langkah awal berniaga secara digital.

“Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan mereka meniaga di kaki lima, jika perlu harus memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Laporan Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan individu hilang pekerjaan meningkat 42 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Usahawan perlu manfaat lonjakan niaga dalam talian

SHAH ALAM, 13 JUN: Usahawan perlu mengubah pendekatan perniagaan dengan tumpuan kepada jualan secara dalam talian yang semakin mendapat perhatian pengguna terutama ketika berhadapan Covid-19, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata proses tersebut boleh dipelajari secara berperingkat dengan bimbingan kumpulan berpengalaman dan secara tidak langsung mewujudkan peluang kerja baharu seperti dalam bidang logistik.

“Sebenarnya dalam isu jualan dalam talian bukan sahaja mengenai jualan barangan sahaja tetapi secara tidak langsung memberikan manfaat dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri kini menekankan sistem perniagaan berkaitan yang lebih mudah dan sesuai dengan norma baharu kerana internet kini menjadi sebahagian keperluan asas kehidupan.

Rodziah berkata Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) merupakan langkah bagi membantu peniaga terutama luar bandar memasarkan produk selain melantik tiga perunding untuk membimbing 1,500 usahawan baharu di Selangor.

Selain itu, bermula 1 Julai hadapan khidmat kaunseling secara dalam talian akan diperkenalkan untuk membantu usahawan mendapatkan nasihat perniagaan.