Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Sebutan semula kes Neelofa langgar SOP ditangguh 23 Jun

SEREMBAN, 31 MEI: Sebutan semula kes usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai, awal bulan ini, ditangguhkan pada 23 Jun ini.

Peguam pasangan itu M Haresh berkata kes pengurusan kes itu sepatutnya disambung semula Jumaat ini tetapi ditangguhkan oleh mahkamah susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok hingga 14 Jun ini.

“Mahkamah Majistret Seremban menetapkan 23 Jun sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.

Mereka berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mengenai perkembangan mengenai dakwaan Noor Neelofa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu, Haresh berkata perkara itu masih dalam siasatan polis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beli-belah di Nilai 3: Neelofa, PU Riz sekali lagi disiasat polis

SEREMBAN, 3 MEI: Selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dalam masa terdekat berkaitan penularan video pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihak polis menjalankan siasatan berhubung penularan video itu yang mengaitkan artis tersebut selepas dipercayai berada di sebuah premis perniagaan karpet di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini semalam.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya setelah selesai siasatan. PDRM menasihati orang ramai mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial apabila Neelofa bersama suaminya dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.

-BERNAMA