Categories
NASIONAL

Pulau Indah Bakal Menjadi Pusat Pelancongan

SHAH ALAM, 25 MEI : Pulau Indah bakal menjalani proses perubahan pembangunan dengan termetrai perjanjian persefahaman (MoU) diantara Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Norzakiah Arkitek di sini semalam.

Sehubungan itu, Norzakiah Arkitek, sebuah syarikat perunding dan perkhidmatan senibina dengan kerjasama Buchan Group of Perth, Australia menyediakan pelan lengkap berkaitan pembangunan di tanah milik KHSB di Seksyen 9,10 dan 11 di Pulau Indah, Klang yang melibatkan tapak seluas 1,196 ekar.

Menurut Pengerusi Norzakiah Arkitek, Norzakiah Arshad, pelan lengkap yang dicadangkan itu melibatkan pembangunan perumahan, pusat bandar dan resort.

Pengerusi KHSB, Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, MoU itu membolehkan Norzakiah Arkitek menjalankan kajian terperinci mengenai projek itu yang dianggarkan bernilai RM8 bilion dan dijangka dimulakan mulai tahun 2013.

“Melalui projek pembangunan ini, kami menawarkan kediaman berciri ‘resort home’ dengan kos mampu milik,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani MoU itu di sini.

Majlis menandatangani MoU ini dihadiri Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Quality Hotel, Shah Alam.

Abdul Khalid berkata, Selangor menyambut baik cadangan untuk membina infrastruktur di Pulau Indah seterusnya mampu meningkatkan pelaburan di negeri ini.

“Lembah Klang khususnya sedang mengalami proses peningkatan industri hartanah yang mampu menarik pelabur asing untuk datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, projek itu bakal menjadikan Pulau Indah sebagai salah sebuah destinasi perlancongan antarabangsa kerana pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghubungkan Saujana Putra ke Pulau Indah akan siap pada 2014.

“Pelancong-pelancong boleh terus ke Pulau Indah dari KLIA melalui Kajang Saujana Putra dengan siapnya lebuhraya ini,” kata Raja Idris.