Categories
KENYATAAN MEDIA

NOW: Beri perlindungan pemberi maklumat kes rasuah

OLEH AKMAL NASIR

Pelbagai media telah melaporkan kenyataan Datuk Bahri Mohd Zin iaitu bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menyebut bahawa beliau memilih bersara awal disebabkan kecewa dengan undang-undang yang hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pesalah besar terlepas begitu sahaja.

Lebih mengejutkan lagi, beliau membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai “semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah”.

Ini merupakan satu tuduhan berat terhadap SPRM seolah-olah SPRM tidak mampu memerangi rasuah dan seterusnya mencabar integriti pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak.

Merujuk kepada kes-kes rasuah, ketirisan, penyelewengan dan pembaziran yang begitu teruk pada tahun 2016 seperti yang dilaporkan melalui pendedahan-pendedahan skandal, Laporan Ketua Audit Negara atau Indeks Pembaziran Kerajaan NOW yang secara tidak langsung memberi asas memungkinkan ada kebenaran dalam pengakuan yang dibuat oleh Datuk Bahri.

Demi mencari kebenaran dalam usaha melawan rasuah dan membersihkan nama baik pentadbiran beliau, Dato’ Seri Najib Razak seharusnya menerima pengakuan Datuk Bahri dengan hati terbuka dan mengambil tindakan yang berani iaitu:-

1. Mengiktiraf Datuk Bahri sebagai seorang pemberi maklumat. Ini termasuk memberi perlindungan kepada beliau seperti yang ditawarkan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2012) bagi membolehkan beliau benar dan mendedahkan nama-nama pemberi rasuah dan penerima rasuah.

2. Bagi membolehkan Datuk Bahri membuktikan maklumat-maklumat beliau, Dato’ Seri Najib perlu mengdeklasifikasikan (declassified) dokumen-dokumen berkaitan yang terletak dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

3. Individu-invididu yang dinamakan oleh Datuk Bahri sebagai pemberi rasuah atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka. Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas Parlimen atau dengan membentuk Suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan.

Ini merupakan peluang terbaik Dato’ Seri Najib Razak untuk memulihkan integriti pendtabiran beliau dalam usaha melawan rasuah. Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Datuk Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan.

* AKMAL NASIR adalah Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW)

Categories
NASIONAL

NOW: Jangan biar dana MARA terus diseleweng

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BESI, 17 FEB : Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa supaya tidak sewenangnya membiarkan penyelewengan membabitkan dana kewangan institusi terbabit terus berlaku.

Pengarah National Oversight and Whistle Blower (NOW), Akmal Nasir, berkata skandal dan ketidaktelusan itu hanya akan mengunggat kepercayaan rakyat terhadap institusi terbabit.

NOW AKMAL“NOW mengulangi pendirian bahawa MARA sewajarnya menuntut kembali RM14 juta hasil lebihan bayaran pembelian hartanah (di Australia) dan pelbagai penyelewengan yang didedahkan sebelum ini.

“Kami percaya ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi kemelut masalah kewangan MARA yang menyebabkan ramai pelajar tajaannya menghadapi kesempitan,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat NOW, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa agensi berkaitan kerajaan terpaksa mengurangkan bantuan pembiayaan pendidikan tahun ini.

Bahkan, MARA juga sebelum ini terlewat membuat pembayaran biasiswa pelajar ekoran beberapa masalah kewangan dihadapi institusi itu.

Perkara itu turut memberi kesan kepada hampir 1,000 pelajar baharu di 33 kolej swasta yang didapati sukar untuk meneruskan pengajian mereka.

Pada masa sama, keadaan itu sekaligus menimbulkan kebimbangan berkenaan kedudukan sebenar MARA untuk terus membiayai pendidikan golongan Bumiputera seperti dimandatkan.

-AA-

Categories
NASIONAL

NOW: Hukum pesalah rasuah, pemberi maklumat dilindungi

SHAH ALAM 7 FEB: Hukuman lebih berat sewajibnya dikenakan terhadap pelaku pecah amanah, pesalah rasuah atau mahupun yang salah guna kuasa, bukan pemberi maklumat yang perlu dilindungi.

Pengarah National Oversight & Whitsleblowers (NOW), Akmal Nasir, berkata cadangan Peguam Negara menghukum pemberi maklumat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan adalah tindakan tidak wajar.

Katanya, tindakan merahsiakan urusan kerajaan melalui Akta Rasmi Rahsia (OSA) tidak lagi relevan mengambil kira aras orang ramai terhadap integriti dan ketelusan adalah tinggi sejajar dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi.

NOW grafik“Mustahil sesebuah kerajaan menyimpan rahsia terutamanya yang membawa natijah buruk kepada masyarakat kerana sesiapa sahaja memiliki maklumat tersebut dan mempunyai kesedaran serta keberanian boleh tampil ke hadapan sebagai pemberi maklumat.

“Malah, tindakan kerajaan merahsiakan perkara daripada rakyat menimbulkan syak wasangka dan lazimnya kerahsiaan itu dibuat hanya bagi melindungi golongan tertentu,” kata Akmal dalam kenyataan media.

Beliau berkata undang-undang dan pengutkuasaan sepatutnya menumpukan kepada usaha mengangkat tatakelola yang baik, keterbukaan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, kebocoran maklumat berkaitan dengan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi itu.

“Kegagalan tindakan pembaikan dan pencegahan secara dalaman menyebabkan pemberi maklumat mencari saluran alternatif.

“Kebanyakan pendedahan dibuat demi kepentingan orang ramai dan berupaya menghentikan daripada perkara itu terus berulang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pendedahan dibuat melalui Pusat Perlindungan Pemberi Maklumat dan Pemantau Kebangsaan atau National Oversight and Whitsleblowers (NOW) mempunyai asas dan bukti yang kukuh.

Katanya, usaha bersama pemberi maklumat meningkatkan integriti dan memberi ingatan kepada jabatan dan agensi berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.

“Masalah kebocoran maklumat terhenti apabila penyelewengan tidak berlaku,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

NOW: Kenapa YaPIEM beli simulator golf?

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 DIS: Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) mempersoalkan tindakan Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membeli simulator golf.

Pengarah NOW, Akmal Nasir, berkata pihaknya mengulangi persoalan mengapa YaPEIM membeli mesin tersebut kerana penyumbang yayasan berkenaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

golfKatanya, perkara itu bertentangan dengan dengan fakta daripada Bajet 2013 YaPEIM yang menyatakan Pusat Latihan Latihan INPUT Golf atau Simulator Golf dibuat untuk Sukan Korporat YaPEIM.

“Kita mempertikaikan tujuan pembelian simulator golf itu, bagi saya masih tidak jelas.

“Kini Ketua Pegawai Eksekutif mendakwa simulator golf itu adalah untuk hotel empat bintang milik YaPEIM yang masih lagi belum wujud.

“Berapa banyak mereka membayar untuk memperoleh dan mengekalkan simulator itu,” soalnya pada kenyataan semalam.

Akmal berkata hal itu disebabkan apa sahaja pendapatan YaPEIM yang dijana harus diserahkan kembali untuk aktiviti amal jariah, selaras dengan objektif yayasan itu.

Semalam, YaPEIM menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Sebaliknya, simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

Simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

EZY

Categories
NASIONAL

NOW dedah YaPEIM miliki alat simulator golf

SHAH ALAM, 17 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) didakwa memiliki peralatan simulator golf di sebuah pusat latihan, kata Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, hari ini.

Akmal turut mempersoalkan keperluan YaPEIM untuk memiliki simulator itu sedangkan ia sebuah yayasan berteraskan amal jariah dengan misi ‘Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah’.

Akmal membentangkan dua dokumen iaitu penyata kewangan YaPEIM 2014 dan belanjawan YaPEIM 2013.

NOW AKMAL“Laporan Bajet 2013 menunjukkan Kelab Sukan Korporat YaPEIM menjalankan lapan aktiviti golf bersama warganya dan kakitangan agensi lain.

“Aktiviti lain (golf) adalah untuk menubuhkan sebuah ‘Pusat Latihan Input Golf’ sebagai khidmat latihan program sukan korporat untuk YaPEIM,” katanya mengikut apa yang terkandung di dalam laporan belanjawan 2013 itu yang dipetik Malaysia Kini.

INPUT atau Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim Sdn Bhd adalah salah satu daripada enam anak syarikat yang dimiliki YaPEIM.

Perniagaan utama INPUT untuk menyediakan perkhidmatan latihan, penyelidikan dan perundingan pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam mengikut sistem pengurusan moden yang berlandaskan hukum Ssarak.

golfAkmal berkata, penyata kewangan 2014 pula menyenaraikan simulator golf itu sebagai antara aset yang susut nilai.

“Berdasarkan maklumat awam, NOW melawat simulator golf sukan INPUT,” katanya.

Beliau juga menunjukkan gambar pusat sukan itu yang didakwanya terletak di pusat komersial popular, Mentari Business Park yang turut memaparkan papan tanda ‘Pusat Latihan INPUT Golf’ dan papan tanda dimiliki oleh ‘YaPEIM INPUT’ di hadapan premis berkenaan.

Sehubungan itu, Akmal menuntut YaPEIM mendedahkan kos dan jumlah peralatan simulator golf yang dibeli.

Categories
NASIONAL

NOW: Hartanah ke-4 MARA Inc diseleweng RM63 juta

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 02 JUL: National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini mengesahkan terdapat penyelewengan dalam pembelian hartanah keempat Cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Inc, di Melbourne, Australia.

Pengarahnya, Rafizi Ramli, berkata pendedahan itu berdasarkan taklimat rasmi MARA yang diadakan di Melbourne pada Mei 2015, berbanding senarai jualan di laman web Australia untuk hartanah itu pada 2012 apabila pembelian itu dibuat.

“Hasil semakan di www.onthehouse.com.au mendapati urusniaga dilaporkan berlaku pada November 2012 itu pada harga AUD$23.5 juta (RM75.7 juta).

IMG_9376“Ini bermakna terdapat berbezaan harga jual beli RM63 juta daripada harga dalam laporan MARA iaitu RM138.6 juta,” katanya dalam sidang media, di The Trillium, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Katanya, jumlah lebihan (RM63 juta) itu berkemungkinan adalah penyelewengan untuk pemberian rasuah.

“Besar kemungkinan jumlah ini adalah rasuah kerana semua wang yang diluluskan tidak diguna untuk membeli hartanah itu,” katanya.

NOW sebelum ini berkata, MARA Inc juga membayar melebihi kadar pasaran dalam pembelian dua hartanah lain di Melbourne daripada syarikat yang tidak diketahui.

-NFN-

Categories
NASIONAL

MARA dapat kadar pulangan rendah banding harga hartanah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa digesa menjelaskan beberapa keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam isu pembelian hartanah di Australia yang didakwa merugikan badan itu.

Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli, berkata MARA didapati membeli hartanah dengan harga lebih tinggi berbanding hpasaran tetapi hanya mampu memberi kadar pulangan rendah.

“Tan Sri Annuar perlu jawab kenapa MARA meluluskan pembelian hartanah yang kadar pulangannya lebih rendah dari pulangan purata di Melbourne?

IMG_9376“Kenapa Majlis MARA meluluskan pembelian 333 Exhibition Street yang harganya RM27 juta lebih mahal dari harga pasaran?

“Dari syarikat mana dan siapa MARA Inc membeli Exhibition Street yang harganya RM27 juta lebih mahal dari harga pasaran,” katanya dalam sidang media di The Trillium, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, NOW juga yakin bukti itu jelas menunjukkan terdapat unsur pecah amanah walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikannya.

Pada Oktober 2012, pemilik asal bangunan itu menjualkannya kepada satu syarikat yang tidak dinamakan pada harga AUD$22 juta selepas dinaik taraf.

mara logoNamun, dalam enam bulan selepas itu syarikat tidak dinamakan terbabit menjual pula kepada MARA Inc pada harga AUD$31 juta, sekali gus meraih keuntungan mudah dalam jangkamasa pendek sebanyak AUD$9 juta atau RM27 juta.

MARA Inc juga didakwa membeli hartanah dengan kadar pulangan sewa rendah iaitu 5.5 hingga 6.2 peratus sebelum dijangka enam hingga 6.7 peratus selepas lima tahun berbanding kadar pulangan purata minima ketika pembelian mencecah 6.5 peratus hingga tujuh peratus.

“Apabila kadar pulangan hartanah ini antara 5.5 peratus hingga 6.2 peratus, ia berada di bawah kadar purata bagi aset sama di Melbourne. Cadangan pembelian ini perlu dihentikan serta-merta MARA,” katanya.

-NFN-