Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JKNS sedia 3,000 tangki oksigen di PKRC Serdang – pengarah

SHAH ALAM, 23 JULAI: Jabatan Kesihatan Selangor menyediakan 3,000 tangki oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Serdang 2.0 untuk disalurkan kepada institusi rawatan memerlukan bantuan segera.

Pengarahnya, Datuk Dr Shaari Ngadiman berkata pada masa sama pihaknya juga sedang membaiki kemudahan oksigen di dua hospital penuh Covid-19, Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

“Bagi Hospital Ampang, kerja menggantikan regulator sedang dilaksanakan, dan jam 7 petang ini, ia akan dapat diatasi. Pada masa sama, kita pastikan silinder oksigen juga mencukupi” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Shaari berkata bekalan di Hospital Selayang juga akan distabilkan selepas dilapor mengalami tekanan rendah susulan pertambahan katil.

“Di Hospital Selayang ada 1,350 tapak oksigen yang mampu menampung kapasiti 960 katil namun sekarang di sana ada 1,200 katil menyebabkan tekanan rendah, kita akan stabilkannya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anak muda ‘sihat’ berisiko maut, kadar oksigen rendah tanpa sedar

SHAH ALAM, 27 JUN: Golongan muda yang tampak sihat harus waspada walau tidak termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi berdepan Covid-19.

Perkembangan mutakhir di seluruh dunia menunjukkan mereka boleh dijangkiti sekalipun tiada sebarang gejala.

Lebih membimbangkan, paras kandungan oksigen di dalam badan menjadi rendah tanpa disedari dan boleh membawa maut akibat kegagalan organ.

Keadaan ini dikenali sebagai ‘happy hypoxia’, jelas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu paras oksigen di dalam darah merosot teruk daripada tahap normal iaitu 95 peratus.

Berbeza dengan ‘hypoxia’ biasa, atau keadaan kekurangan oksigen, ‘happy hypoxia’ tidak menunjukkan gejala dan tidak menimbulkan kesan sakit selepas jangkitan Covid-19.

Infografik di Facebook KKM pada 26 Jun, menjelaskan tanda seseorang menghidap ‘hypoxia’ antaranya bingung, gelisah dan sesak nafas.

Mereka kemudian mengalami pening kepala, sukar bernafas, batuk, denyutan jantung laju, gelisah, peluh sejuk dan kulit kebiruan.

Namun ‘happy hypoxia’ boleh dikesan melalui penggunaan jam pintar yang boleh mengira perubahan denyutan jantung dan kandungan oksigen dalam tubuh.

Keadaan ini juga boleh dikesan menggunakan ‘oximeter’ atau alat pengukur kandungan oksigen dalam darah.

Dalam kenyataan pakar perunding perubatan dan paru-paru Pusat Perubatan Sunway Velocity di Harian Metro yang dikongsi KKM, ‘hypoxia’ boleh menyebabkan kerosakan pada otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut.

Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata tahap pernafasan pesakit boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding normal iaitu antara 12 hingga 20 kali seminit.

Lebih membimbangkan, katanya, pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas sebaliknya tenang dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ‘happy hypoxia’ dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.