Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bahaya Covid-19, tidak sedar kurang oksigen

Masalah kekurangan oksigen di dalam badan dikenali hypoxia dan selalunya ia ada gejala-gejalanya. Kekurangan ini boleh menyebabkan kerosakan otak, hati dan organ-organ lain.

Namun tidak semua hypoxia mempunyai gejala atau dirasai oleh pesakit Covid-19. Walau oksigen merosot teruk, bawah paras normal 95 peratus, seseorang pesakit tidak menyedari badannya sudah kurang gas penting tersebut.

Keadaan ini disebut happy hypoxia. Seseorang menganggap dirinya masih sihat walau sudah dikesan positif tetapi tiba-tiba mengalami masalah kesihatan. Apatah lagi seseorang itu tidak perasan dirinya sudah dijangkiti Covid-19. AFIX REDZUAN menyusun situasi membimbangkan ini

Tanda-tanda hypoxia (kurang oksigen):

  • gelisah
  • pening kepala
  • sukar bernafas
  • batuk
  • peluh sejuk
  • degupan jantung lebih laju
  • kekeliruan atau kebingungan
  • kulit kebiruan

Selain serangan Covid-19, punca lain hypoxia:

  • serangan asma
  • kerosakan atau penyakit pada paru-paru
  • masalah jantung
  • anemia (kurang sel darah merah)
  • keracunan sianida (bahan kimia dalam pembuatan plastik)

Risiko Happy Hypoxia:

  • Orang muda yang kelihatan sihat, di luar lingkungan usia golongan berisiko

Bagaimana ukur Happy Hypoxia?

    • alat pengukur kandungan oksigen dalam darah dan denyutan nadi (oximeter)
    • jam pintar, ada perisian ukur degupan jantung dan kandungan oksigen
    • melalui gejala (selalunya lewat)

Sumber: Portal WebMD.com, 14 Jun 2020, Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia, 17 Jun 2021 dan 
Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 25 Jun 2021

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anak muda ‘sihat’ berisiko maut, kadar oksigen rendah tanpa sedar

SHAH ALAM, 27 JUN: Golongan muda yang tampak sihat harus waspada walau tidak termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi berdepan Covid-19.

Perkembangan mutakhir di seluruh dunia menunjukkan mereka boleh dijangkiti sekalipun tiada sebarang gejala.

Lebih membimbangkan, paras kandungan oksigen di dalam badan menjadi rendah tanpa disedari dan boleh membawa maut akibat kegagalan organ.

Keadaan ini dikenali sebagai ‘happy hypoxia’, jelas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu paras oksigen di dalam darah merosot teruk daripada tahap normal iaitu 95 peratus.

Berbeza dengan ‘hypoxia’ biasa, atau keadaan kekurangan oksigen, ‘happy hypoxia’ tidak menunjukkan gejala dan tidak menimbulkan kesan sakit selepas jangkitan Covid-19.

Infografik di Facebook KKM pada 26 Jun, menjelaskan tanda seseorang menghidap ‘hypoxia’ antaranya bingung, gelisah dan sesak nafas.

Mereka kemudian mengalami pening kepala, sukar bernafas, batuk, denyutan jantung laju, gelisah, peluh sejuk dan kulit kebiruan.

Namun ‘happy hypoxia’ boleh dikesan melalui penggunaan jam pintar yang boleh mengira perubahan denyutan jantung dan kandungan oksigen dalam tubuh.

Keadaan ini juga boleh dikesan menggunakan ‘oximeter’ atau alat pengukur kandungan oksigen dalam darah.

Dalam kenyataan pakar perunding perubatan dan paru-paru Pusat Perubatan Sunway Velocity di Harian Metro yang dikongsi KKM, ‘hypoxia’ boleh menyebabkan kerosakan pada otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut.

Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata tahap pernafasan pesakit boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding normal iaitu antara 12 hingga 20 kali seminit.

Lebih membimbangkan, katanya, pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas sebaliknya tenang dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ‘happy hypoxia’ dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.