Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anak muda ‘sihat’ berisiko maut, kadar oksigen rendah tanpa sedar

SHAH ALAM, 27 JUN: Golongan muda yang tampak sihat harus waspada walau tidak termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi berdepan Covid-19.

Perkembangan mutakhir di seluruh dunia menunjukkan mereka boleh dijangkiti sekalipun tiada sebarang gejala.

Lebih membimbangkan, paras kandungan oksigen di dalam badan menjadi rendah tanpa disedari dan boleh membawa maut akibat kegagalan organ.

Keadaan ini dikenali sebagai ‘happy hypoxia’, jelas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu paras oksigen di dalam darah merosot teruk daripada tahap normal iaitu 95 peratus.

Berbeza dengan ‘hypoxia’ biasa, atau keadaan kekurangan oksigen, ‘happy hypoxia’ tidak menunjukkan gejala dan tidak menimbulkan kesan sakit selepas jangkitan Covid-19.

Infografik di Facebook KKM pada 26 Jun, menjelaskan tanda seseorang menghidap ‘hypoxia’ antaranya bingung, gelisah dan sesak nafas.

Mereka kemudian mengalami pening kepala, sukar bernafas, batuk, denyutan jantung laju, gelisah, peluh sejuk dan kulit kebiruan.

Namun ‘happy hypoxia’ boleh dikesan melalui penggunaan jam pintar yang boleh mengira perubahan denyutan jantung dan kandungan oksigen dalam tubuh.

Keadaan ini juga boleh dikesan menggunakan ‘oximeter’ atau alat pengukur kandungan oksigen dalam darah.

Dalam kenyataan pakar perunding perubatan dan paru-paru Pusat Perubatan Sunway Velocity di Harian Metro yang dikongsi KKM, ‘hypoxia’ boleh menyebabkan kerosakan pada otak, paru-paru dan organ dalaman badan sekali gus membawa maut.

Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata tahap pernafasan pesakit boleh menjangkau sehingga 40 hingga 50 kali seminit berbanding normal iaitu antara 12 hingga 20 kali seminit.

Lebih membimbangkan, katanya, pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas sebaliknya tenang dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen dalam badan rendah.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ‘happy hypoxia’ dikesan menyerang segelintir pesakit Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Categories
NASIONAL

Insiden sesak nafas: Keputusan sampel darah diketahui esok

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Keputusan sampel darah mangsa yang terkesan akibat sesak nafas yang melibatkan pelajar dan murid sekolah di Pasir Gudang Khamis lalu dijangka diketahui esok, kata Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan sampel darah daripada pihak berkaitan untuk mengetahui punca sebenar insiden sesak nafas itu.

“Kita masih tidak tahu (punca). Tiba-tiba pelajar kena gejala mual, muntah dan pengsan. Kalau yang (kes) lepas, kita dapat cari (punca) dari Sungai Kim Kim tapi yang ini tidak pasti. Kita masih tunggu sampel darah daripada pesakit, dari situ nanti kita akan dapat tahu punca sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Peletakan Struktur Akhir Projek Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian bersepadu susulan dua insiden termasuk kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas, Sahruddin berkata kerajaan negeri akan melihat kesesuaian perkara itu.

Beliau berkata, satu perbincangan akan dibuat bersama Plan Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) kelak untuk melihat secara terperinci kesesuaian berkenaan.

“Itu nanti kita akan bincang, kita akan buat satu lagi siasatan yang lebih terperinci dan mungkin juga tubuhkan jawatankuasa,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Insiden sesak nafas: Johor tutup tiga sekolah dan dua tadika

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Jabatan Pendidikan Negeri Johor akur dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk menutup tiga buah sekolah dan dua tadika di bawah kendaliannya, bermula hari ini.

Pengarahnya, Azman Adnan berkata, pihaknya telah pun mengambil tindakan memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah, sejurus ia diumumkan.

“Jabatan ini akur dengan keputusan Jawatankuasa Teknikal untuk menutup sekolah-sekolah dan tadika di bawah kawalan Kementerian Pendidikan iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan Tadika Pintar Bestari Mawar selama dua hari bermula 23 Jun, bagi tujuan perluasan radius pemantauan untuk memastikan tahap keselamatan terkawal.

“Penutupan sekolah ini melibatkan semua murid, guru dan kakitangan semua sekolah serta tadika yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah untuk memantau dengan dekat keadaan dari semasa ke semasa demi kebajikan semua pihak.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata penutupan sekolah dan tadika itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas yang membabitkan 15 orang murid di kawasan berkenaan Khamis lepas.

Kesemua sekolah dan tadika yang ditutup itu berada dalam radius antara 100 hingga 800 meter dari Sekolah Agama Taman Mawar, yakni tempat yang menjadi lokasi kejadian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangkitan kuman terhadap orang asli sejak awal Mei

 

GUA MUSANG, 9 Jun : Masalah jangkitan kuman yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh di sini telah dimaklumkan kepada banyak pihak sejak awal bulan lepas namun tiada tindakan diambil sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.

“Mungkin jika perkara itu diambil tindakan awal keadaan akan menjadi lebih terkawal dan tidak seramai itu yang menjadi mangsa kerana kampung ini jauh dari bandar,” kata guru agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fazdzli Mahmok.

Beliau berkata penduduk Orang Asli yang dijangkiti kuman itu mula dibawa keluar seminggu lalu selepas keadaan semakin kritikal, tetapi ramai yang diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan musibah yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan) Che Isham Sharudin Che Hamat berkata isu itu membabitkan nyawa dan keselamatan masyarakat Orang Asli berkenaan dan langkah segera perlu diambil bagi menanganinya untuk mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Kita semua bersimpati dengan musibah yang menimpa masyarakat Orang Asli di sana dan kita tidak mahu perkara yang dialami itu memberi ruang kepada mana-mana pihak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Che Isham berkata dalam situasi ini tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat menerusi jabatan yang berkeaan. -BERNAMA