Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat Tahun Baharu Cina catat peningkatan kemalangan maut

SHAH ALAM, 5 FEB: Jumlah kematian yang direkod dalam Op Selamat Tahun Baharu Cina meningkat enam peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata 230 kes dicatat dalam operasi dua minggu berakhir 1 Februari lalu berbanding 216 sebelum ini, lapor Sinar Harian.

Daripada keseluruhan 23,208 nahas, beliau berkata jumlah kemalangan maut merekod peningkatan sembilan kes berbanding 197 kes tahun lalu dengan penunggang motosikal korban tertinggi iaitu 147 kes.

Bercakap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 Sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Aman di sini pagi tadi, Mazlan berkata, kecuaian terhadap aspek keselamatan jalan raya menjadi penyumbang terbesar.

Categories
AGENDA NASIONAL

290,567 saman dikeluarkan, lebihi had laju punca utama kemalangan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sebanyak 290,567 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara sepanjang 11 hari Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina sejak 18 Januari lepas sehingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin berkata kebanyakan saman meliputi kesalahan memandu melebihi had laju dengan mencatatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan saman.

Beliau berkata ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih tidak berubah walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

“Dalam data kami, mendapati faktor memandu melebihi had laju punca utama kemalangan jalan raya.

“Kalau kita lihat kebanyakan kenderaan terbabas disebabkan memandu laju dan bukannya sebab faktor lain,” katanya ketika hadir menjadi tetamu program Bernama Radio, di sini, hari ini.

Bakri berkata jumlah kemalangan pada Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan 10 peratus iaitu 16,940 kemalangan dalam tempoh 11 hari berbanding tempoh sama dalam op tahun lepas iaitu 15,464 kemalangan.

“Kami mendapati kumpulan penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kemalangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat 16: 122 kematian direkod dalam lapan hari

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebanyak 122 kematian daripada 113 kes nahas maut direkodkan dalam tempoh lapan hari sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan pada 18 Januari lepas, sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 82 kematian.

Menurutnya Selangor merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 23 kes, diikuti Johor (15 kes), Sarawak (14), manakala Kedah serta Kelantan, masing-masing 11 kes.

“Dalam tempoh berkenaan sebanyak 12,948 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan jumlah nahas tertinggi iaitu 3,870 kes, diikuti Johor (2,005), Kuala Lumpur (1,540) dan Pulau Pinang (1,059),” katanya dalam satu kenyataan di sini

Selain itu, sejumlah 205,414 saman turut dikeluarkan dengan 128,539 saman atau 62.6 peratus membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat 16: Lebih 11,000 kemalangan dalam tujuh hari

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Sejumlah 11,788 kemalangan jalan raya melibatkan 17,901 kenderaan dilapor dalam tempoh tujuh hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baru Cina sejak ia dilancarkan pada 18 Januari lepas sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu sebanyak 3,611 kes, Johor (1,824 kes), Kuala Lumpur (1,432 kes) dan Pulau Pinang (978 kes).

“Daripada 97 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 71 kematian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 178,906 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu 110,872 saman melibatkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak mematuhi lampu isyarat; memandu melebihi had laju; menggunakan lorong kecemasan; memotong barisan; dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari bersempena perayaan Tahun Baru Cina akan berlangsung sehingga 1 Februari depan.

– BERNAMA