Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan pemandu dalam video tular insiden langgar lari

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Polis menahan seorang pemandu kereta yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sebuah motosikal bersama pembonceng di Kilometer 56.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata video kemalangan itu tersebar luas di media sosial dan mencetuskan kemarahan netizen.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung maklumat video tular itu dan menahan suspek pada kira-kira 6.51 petang.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta berkenaan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan di hadapan dan telah melanggar motosikal yang sedang menggunakan lorong kecemasan itu dan terus melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Azisman berkata mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal terbabit telah dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong.

Tindakan pantas JSPT menahan suspek dalam kes itu telah meredakan kemarahan warga maya terhadap pemandu kereta terbabit, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aidiladha: Dua juta kenderaan dijangka bergerak hari ini hingga Ahad

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis menjangkakan pergerakan kira-kira dua juta kenderaan mulai hari ini sehingga Ahad ini sempena Hari Raya Aidiladha, Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata susulan itu, seramai 1,450 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di seluruh negara dalam Op Lancar sepanjang tempoh empat hari berkenaan.

Beliau berkata pegawai dan anggota polis akan ditempatkan untuk memantau aliran trafik di kawasan “hot spot’ dan lebuh raya yang dikenal pasti akan mengalami kesesakan.

Mengulas mengenai aliran trafik di lebuh raya, Azisman berkata aliran trafik bergerak perlahan menuju pantai timur di Plaza Tol Gombak pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

“Terdapat kesesakan berlaku kira-kira enam kilometer di sepanjang jalan berkenaan. Saya ingin menasihatkan kepada semua yang memandu supaya bersabar dan berhati-hati,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada sekatan perjalanan dan orang ramai boleh pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta cegah jenayah dicadang terhadap penganjur lumba haram

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata langkah itu disaran ekoran kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa dan di bawah akta tersebut, penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

“Tindakan POCA ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Lagi pun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem polis supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

“Jadi apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, adalah sukar untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod yang mereka ada,” katanya.

Azisman turut menasihati semua pihak, terutama anak muda, supaya sedar dan berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan seperti ini.

Beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Azisman juga berkata polis akan meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

“Kita difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi untuk membuat aksi yang berbahaya,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam satu operasi tertutup JSPT di Lebuhraya Pantai Timur 1 menghala ke Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang pada Ahad lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

70 kemalangan libat pemandu mabuk, 29 maut

SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 70 kemalangan membabitkan pemandu mabuk direkodkan seluruh negara sepanjang 2018 hingga Mei lalu, kata pengarah jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik Bukit Aman.

Datuk Azisman Alias berkata dalam tempoh sama, 29 individu dilaporkan maut manakala 41 mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

“Seramai 50 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 20 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dilaporkan Harian Metro.

Azisman berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 278 Ops Mabuk sudah dilakukan dengan 1,213 pemandu disaring.

“Operasi akan diteruskan termasuk pantauan berhampiran premis menyedikan minuman keras bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan tiada kemalangan berpunca akibat mabuk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tegas sekat perjalanan rentas negeri

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Polis membuat pemeriksaan teliti terhadap semua kenderaan yang mahu melintasi sempadan negeri di semua sekatan jalan raya bagi memastikan tiada perjalanan rentas negeri yang bertujuan menyambut Aidilfitri dilakukan.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias menasihati mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian agar tidak mencuba nasib.

“Mereka yang ingkar akan diarah berpatah balik. Kami tidak akan berkompromi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya sikap golongan ini juga mengganggu aliran trafik bagi kenderaan perkhidmatan penting kerana menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya.

Ditanya mengenai aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak yang merupakan laluan utama ke selatan, utara dan pantai timur, beliau berkata pergerakan di ketiga-tiga plaza tol terbabit adalah lancar setakat ini.

Beliau berkata polis turut mengadakan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Bukit Mahkota dan Plaza Tol Skudai di samping jalan-jalan susur keluar di plaza tol di setiap negeri.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak setakat 6.30 petang tadi mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya adalah baik dan trafik juga lancar.

Kesesakan yang berlaku di plaza tol utama terbabit adalah berpunca daripada sekatan jalan yang dilakukan pihak berkuasa.

Seorang anggota polis yang sedang bertugas di Plaza Tol Gombak berkata rata-rata pengguna jalan raya ketika ini merupakan mereka yang perlu merentas negeri untuk ke tempat kerja.

“Hampir semua yang ditahan (untuk pemeriksaan) merupakan mereka yang bekerja merentas negeri dan mereka mempunyai surat kebenaran untuk berbuat demikian.

“Sekiranya terdapat daripada mereka yang lolos dalam usaha untuk merentas negeri. Ingatlah bahawa terdapat sekatan jalan raya yang ketat turut diadakan di susur keluar setiap negeri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayar saman dalam talian, nikmati diskaun 50 peratus

PETALING JAYA, 16 MEI: Pengguna jalan raya mempunyai saman tertunggak boleh mendapat diskaun sehingga 50 peratus dengan membuat bayaran secara dalam talian mulai 18 hingga 21 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata diharap pengguna berkaitan akan mengambil peluang itu bagi menyelesaikannya dengan melayari laman www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

“Kita faham dengan keadaan sukar dihadapi kini ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala sebahagian pula bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri,” katanya dipetik The Star online.

Mengulas lanjut, beliau berkata kaunter perkhidmatan di ibu pejabat polis daerah di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat mulai 18 Mei untuk kemudahan pembayaran saman dan pembekalan dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

Kaunter dijangka dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang setiap hari Isnin dan Rabu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Manakala pada Jumaat, kaunter akan dibuka dari jam 9 pagi hingga tengah hari.

Sementara itu, di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, kaunter akan dibuka setiap Isnin, Rabu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Azisman berkata pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi tatacara operasi piawai semasa PKPB ketika berurusan di kaunter.

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat 16: 122 kematian direkod dalam lapan hari

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebanyak 122 kematian daripada 113 kes nahas maut direkodkan dalam tempoh lapan hari sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan pada 18 Januari lepas, sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 82 kematian.

Menurutnya Selangor merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 23 kes, diikuti Johor (15 kes), Sarawak (14), manakala Kedah serta Kelantan, masing-masing 11 kes.

“Dalam tempoh berkenaan sebanyak 12,948 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan jumlah nahas tertinggi iaitu 3,870 kes, diikuti Johor (2,005), Kuala Lumpur (1,540) dan Pulau Pinang (1,059),” katanya dalam satu kenyataan di sini

Selain itu, sejumlah 205,414 saman turut dikeluarkan dengan 128,539 saman atau 62.6 peratus membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Selamat 16: Lebih 11,000 kemalangan dalam tujuh hari

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Sejumlah 11,788 kemalangan jalan raya melibatkan 17,901 kenderaan dilapor dalam tempoh tujuh hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baru Cina sejak ia dilancarkan pada 18 Januari lepas sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu sebanyak 3,611 kes, Johor (1,824 kes), Kuala Lumpur (1,432 kes) dan Pulau Pinang (978 kes).

“Daripada 97 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 71 kematian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 178,906 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu 110,872 saman melibatkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak mematuhi lampu isyarat; memandu melebihi had laju; menggunakan lorong kecemasan; memotong barisan; dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari bersempena perayaan Tahun Baru Cina akan berlangsung sehingga 1 Februari depan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PDRM akur keputusan kerajaan berhubung peraturan baharu cermin gelap

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akur akan keputusan kerajaan berhubung peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan.

“Kami akur dan menghormati apa jua keputusan menteri (Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook) berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir memberikan juadah berbuka puasa kepada pegawai dan anggota trafik yang bertugas mengawal lalulintas di Jalan Tun Perak, di sini.

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Anggota Polis Trafik membaca doa sebelum berbuka puasa ketika bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Tun Perak hari ini.
Pada waktu orang ramai meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga, anggota beruniform di seluruh negara terpaksa berbuka di lapangan atas tuntutan tugas demi menjaga keselamatan dan keselesaan orang ramai.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan baharu membenarkan cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk polis.

Beliau berkata, pihaknya menghormati pandangan PDRM dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambilkira pandangan daripada semua pihak termasuk polis.

Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

SUMBER: BERNAMA