Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat pengangkutan awam dilarang naik kadar tambang

SHAH ALAM, 16 MEI: Syarikat pengangkutan awam tidak dibenarkan untuk menaikkan kadar tambang ketika ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata syarikat pengangkutan awam kini menikmati harga bahan bakar lebih murah, susulan penurunan harga minyak sejak beberapa bulan lalu.

“Kebiasaannya kadar tambang dinaikkan apabila harga minyak meningkat, namun bila harga bahan bakar turun, kadar tambang tak berkurang.

“Kita faham pengusaha pengangkutan awam terpaksa bawa penumpang separuh dari biasa (untuk penjarakan sosial), tetapi kerugian boleh ditampung dengan harga minyak yang rendah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat aduan caj tambang perkhidmatan feri di Pulau Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis dinaikkan RM10 semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengangkutan awam kembali operasi sepenuhnya mulai 4 Mei

PUTRAJAYA, 1 MEI: Mulai 4 Mei (Isnin), semua perkhidmatan pengangkutan awam akan kembali beroperasi seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Berikutan keputusan kerajaan untuk membuka semula ekonomi negara secara berperingkat, beliau berkata beberapa panduan berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam akan dikuatkuasakan mulai 4 Mei bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja dan membolehkan syarikat terbabit beroperasi dengan baik.

“Semua penumpang dan kakitangan dalam perkhidmatan pengangkutan awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa berikutan PKP masih lagi dikuatkuasakan dan belum ditamatkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata memandangkan lebih ramai pengguna akan berada di stesen dan perhentian atau terminal berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pengendali pengangkutan awam diarahkan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Ini termasuk memastikan jarakan selamat diamalkan, cecair pembasmi kuman mudah diperoleh dan kerap menjalankan sanitasi di tandas awam, tempat duduk serta tempat yang sentiasa disentuh orang ramai, katanya.

“Pengguna pengangkutan awam diingatkan supaya mematuhi semua garis panduan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter selagi mana ia boleh dilaksanakan. Gunakan kaedah tanpa sentuhan ketika berurus niaga jika boleh,” katanya.

Wee juga menasihatkan pengguna supaya mematuhi peraturan tambahan yang ditetapkan pengendali pengangkutan awam, sekiranya ada.

“Penumpang dan kakitangan pengangkutan awam juga digalakkan untuk memakai penutup hidung dan mulut serta membersihkan tangan sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan individu yang mempunyai suhu badan tinggi agar tidak menggunakan pengangkutan awam dan segera menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan terdekat.

Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawahnya akan terus meningkatkan pemeriksaan kesihatan di stesen pengangkutan awam secara berkala.

Wee berkata garis panduan kesihatan untuk perkhidmatan pengangkutan awam juga boleh diguna pakai oleh pekerja di bahagian logistik.

Beliau berkata operasi sektor darat digalakkan menggunakan mod pengangkutan kargo melalui rel dan bukannya pengangkutan jalan raya seperti pemindahan antara terminal, selagi boleh.

“Kenderaan seperti lori perlu dinyahkuman dengan kerap dan para pemandu juga perlu sentiasa mengamalkan jarak selamat ketika berada di tempat kerja,” katanya.

Wee juga memaklumkan setakat ini, operasi untuk kapal persiaran tidak dibenarkan.

– BERNAMA