Kemudahan OKU ada, tapi kurang penguatkuasaan dan penyelenggaraan. Masih terdapat masyarakat yang tidak prihatin OKU
Tag: Othman Badrishah
Oleh: AFIX REDZUAN
BESTARI JAYA, 21 NOV: Kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu dimasukkan dalam perbincangan pembangunan infrastruktur supaya ia bersesuaian dengan mereka.
Tokoh OKU Kebangsaan dan Johor 2006, Othman Badrishah, berkata infrastruktur mesra OKU masih berkurangan walaupun terdapat kemudahan disediakan, bahkan aspek penguatkuasaan perlu ditekankan kerana masyarakat masih kurang prihatin terhadap nasib golongan itu.
“Masih banyak kekurangan kemudahan untuk OKU di Selangor seperti tempat meletak kenderaan. Memang ada tetapi penguatkuasaan kurang kerana orang biasa juga meletakan kenderaan di tempat OKU.
“Kemudahan jalan juga ada yang tidak sesuai dengan OKU,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Othman, 57, adalah OKU fizikal sejak berusia dua tahun dan kini bertugas sebagai pensyarah dan kaunselor Fakulti Pendidikan, Universiti Selangor (UNISEL).
Katanya, kekurangan infrastruktur mesra OKU membataskan pergerakan mereka walaupun diberikan ruang mendapat pendidikan.
Osman sebelum itu mempunyai pengalaman bertugas dalam sektor perbankan selama 20 tahun sebelum membuat kerja amal OKU pada tahun 2002.
Katanya, masyarakat perlu diberikan kesedaran secara berterusan supaya persepsi negatif mereka terhadap OKU dapat dikurangkan.
“Orang sempurna tidak faham kekurangan atau merasakan kita berlebihan. Mereka perlu diberikan kesedaran terutama sering memandang sinis kepada golongan OKU,” katanya.
Beliau turut menyambut baik langkah Kerajaan Selangor memberikan peruntukan khusus hampir RM770,000 kepada golongan OKU dalam Belanjawan 2016 dan berharap ia akan digunakan sebaik mungkin untuk keselesaan mereka.
-NFN-