SHAH ALAM, 7 OKT: Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (Unisel) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga institusi pendidikan dari Brunei, Indonesia dan Thailand.
Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata institusi terlibat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Tengku Dirundeng Meulaboh (Indonesia) dan Thamavitya Mulniti School (Thailand).
“MoU ini bertujuan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam aspek pendidikan membabitkan pelajar, kakitangan akademik termasuk aktiviti perkongsian ilmu dan penyelidikan.
“Kita juga bermatlamat untuk beri pendedahan berhubung program pengajian yang ditawarkan selain memperkasa bidang kurikulum, pertukaran kursus dan menganjurkan persidangan pendidikan bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
MoU yang dilaksanakan secara dalam talian selama dua hari bermula kelmarin itu disempurnakan Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.
Universiti Islam Sultan Sharif Ali diwakili Rektornya Dr Norarfan Zainal, Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Tengku Dirundeng Meulaboh Indonesia diwakili Rektornya Dr Inayatillah dan Thamavitya Mulniti School diwakili Pengetuanya Razi Bensulong.