Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Kesan masalah mental menerusi gaya hidup dunia digital

SHAH ALAM, 17 JULAI: Masyarakat kini perlu lebih peka melihat perubahan seseorang dalam dunia maya atau digital bagi mengesan masalah kesihatan mental dihidapinya.

Pakar Psikiatri Hospital Miri Dr Ravivarma Rao Panirselvam berkata masalah yang boleh mendorong kepada bunuh diri itu tidak hanya boleh dilihat dari sikap dalam kehidupan luaran sahaja.

Menurutnya, dalam penggunaan meluas teknologi masa kini perubahan sikap atau percakapan sahaja tidak mencukupi tetapi harus membabitkan kehidupannya di dunia digital.

“Contohnya bagaimana dia membuat hantaran di media sosial atau pesanan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya dibiarkan ada tanda biru (sudah dibaca) tanpa dibalas.

“Kita boleh lihat perwatakannya serta tanda dirinya mengalami masalah mental, itu tidak boleh diambil mudah dan harus dibantu segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara SelangorTV: Cegah bunuh diri, tanggungjawab bersama yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Dr Ravivarma berkata mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu segera mendapat rawatan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk seperti bunuh diri.

“Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan baik milik kerajaan atau swasta, boleh dapatkan bantuan juga di 20 Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) di hospital seluruh negara.

“Jangan biarkannya, kerana kita ada kes seseorang pesakit membiarkan masalah mental berlarutan tanpa rawatan sehingga 20 tahun, ini berlaku di bandar bukan pedalaman menyebabkan sukar dirawat,” jelasnya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar khidmat psikiatri, bantu golongan terkesan PKP

SHAH ALAM, 8 JUN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menyediakan perkhidmatan pakar psikiatri kepada penduduk setempat dengan bayaran serendah RM50 setiap sesi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rajiv Rishyakaran berkata pihaknya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Relate Mental Health bagi menangani isu kesihatan mental susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Kebiasannya kadar bayaran RM300 dikenakan untuk setiap sesi tetapi pusat khidmat DUN beri subsidi untuk menggalakkan mereka yang menghadapi masalah berjumpa pakar profesional.

“Saya berharap golongan terlibat mengambil kesempatan tawaran ini dan tidak malu tampil ke hadapan,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Rajiv berkata sebagai permulaan pihaknya menyediakan 50 slot sesi terapi dan mereka yang berminat boleh mendaftar di bawah pautan https://forms.gle/HXNaBp1mQs7TYLYq6.