Categories
AGENDA NASIONAL

PH terus perjuang perpaduan rakyat, tolak politik kebencian

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus memperjuangkan perpaduan rakyat dan menolak politik berasaskan kebencian bagi menjadikan Malaysia yang lebih baik, makmur, bersih serta inklusif.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan PH komited menjaga perpaduan rakyat tanpa mengira agama, kaum, wilayah dan usia dalam usaha untuk melihat Malaysia yang lebih baik dan maju meskipun ada pihak cuba mencemarkan keharmonian etnik di Malaysia serta memainkan isu perkauman menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai, 16 November depan.

“Mandat yang diberikan rakyat untuk melihat Malaysia lebih baik, makmur, bersih, dan inklusif akan terus diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebarang usaha mengganggu perpaduan nasional akan melambatkan agenda pembangunan ekonomi Malaysia dan akan mengembalikan kerajaan kleptokrasi mentadbir anak cucu kita pada masa hadapan,” menurut kenyataan Majlis Setiausaha PH itu.

Majlis Setiausaha PH dianggotai Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung – KEADILAN (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), BERSATU (Datuk Marzuki Yahya), AMANAH (Datuk Anuar Tahir) dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Majlis Setiausaha itu turut menyatakan sokongan penuh Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Bersama ke Arah Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober, yang menzahirkan komitmen kerajaan PH memacu pembangunan ekonomi Malaysia berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tindakan sesetengah pihak mencemarkan keharmonian kaum ketika kerajaan berusaha menyediakan Belanjawan 2020 bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu penting, menurut kenyataan itu.

“Usaha tidak murni ini hanyalah bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting, iaitu meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat berbanding isu perkauman yang hanya mengundang kepada perbalahan emosi dan suasana tidak harmoni antara etnik.

“Isu perkauman ini kian rancak apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semakin dekat,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: PH bentuk kerajaan tanpa BERSATU hanya pendapat peribadi

MELAKA, 23 OKT: Kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah pandangan peribadi beliau, kata Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata gabungan itu masih berpegang kepada janji bersama empat parti – KEADILAN, BERSATU, DAP dan AMANAH, dalam membentuk kerajaan.

“Apa yang diperkatakan oleh Ronnie (Liu) adalah beliau cuma memberi pendapat sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Makmal Ujian Perlanggaran MIros PC3, di sini, hari ini.

Semalam, Liu, yang merupakan Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa BERSATU serta mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengejar model Barisan Nasional yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Hari ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilaporkan berkat,a DAP akan merujuk Liu kepada Majlis Presiden PH dan Jawatankuasa Disiplin DAP berhubung kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tun M: Kekuatan PH bergantung pada perpaduan ahli

PORT DICKSON, 19 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kekuatan Pakatan Harapan (PH), amat bergantung kepada perpaduan dan keutuhan ahlinya.

Beliau berkata untuk itu, semua anggota parti tidak boleh membiarkan diri terganggu dan hilang fokus dengan perkara-perkara sampingan, yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju negara.

“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita, adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

“Kita juga perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita akan terus mendapat mandat daripada rakyat, jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa tanpa sedar, kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa,” katanya dalam ucapan pada Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan PKR pusat dan negeri.

Menyingkap kembali kejayaan PH, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata buat sebelum gabungan itu berkuasa, kesemua komponen parti telah bersama-sama mengetepikan perbezaan-perbezaan seperti dendam, marah serta rasa benci yang wujud.

“Kenapa kita boleh ketepikan itu semua? Kerana kita sedar dan nampak akan kerosakan yang telah dan sedang berlaku ketika itu, dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara serta rakan-rakan seperjuangan mereka. Kita juga sedar jika kita tak lakukan sesuatu untuk menyekat mereka (merujuk kepada BN), masa depan negara dan anak cucu kita akan hancur berkecai.

“Kita bertemu dan berbincang. Kita bertengkar dan kemudian berdamai. Kita bercanggah pendapat dan kita juga bertolak ansur. Walaupun mungkin masih ada saki baki rasa tak puas hati terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan,” katanya.

Berbicara lanjut, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata PH juga buat julung kalinya sebagai gabungan pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, bersetuju menggunakan simbol PKR memandangkan Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkan simbol PH digunakan.

Katanya, semua ini dilakukan kerana semua pihak dalam gabungan mengambil sikap bahawa menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang sayangkan negara, untuk bertindak menyekat kerosakan-kerosakan yang sedang berlaku dan dilakukan ketika itu.

“Saya yakin, semasa kita ambil tanggungjawab tersebut, kita berpegang pada prinsip jika bukan kita, siapa lagi. Jelas keputusan yang kita ambil untuk bersama-sama di dalam PH adalah keputusan yang tepat, dan majoriti rakyat mengundi kita memastikan kita menang PRU14 dan menolak BN,” katanya.

Dr Mahathir berkata jika dahulu ramai yang tidak yakin gabungan itu mampu berjaya dan di dalam kemelut menangani kejayaan dan kemenangan, oportunis-oportunis mula mengerumuni PH dan berjaya menyusup masuk dengan kemahuan jelas, untuk mencari kepentingan peribadi untuk kekayaan diri dan melaga-lagakan ahli.

“Sehingga hari ini, kita masih lagi berusaha untuk menangani musuh-musuh dalam selimut dan kadang kala sabotaj yang dilakukan mereka, mampu membawa kepada keruntuhan kerajaan kita, jika kita tak dapat menanganinya.

“Di masa yang sama, pihak yang kalah tidak dapat menerima hakikat, bahawa mereka ditolak rakyat kerana telah merompak harta rakyat dan apabila melihat kelemahan di pihak kita, mereka akan eksploit seberapa mungkin dan menampilkan diri mereka sebagai pejuang rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menekankan bahawa PH tidak mempunyai banyak masa untuk melaksanakan janji-janji dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, dan meminta semua ahli dan pemimpin komponen PH bertekad bekerja seberapa mampu dan mempermudahkan hidup rakyat.

“Ini adalah satu amanah dan apabila kita sudah tidak memegang kuasa, ukuran rakyat ialah sama ada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah, yang telah mereka berikan kepada kita.

“Tugas kita bukan terhenti atau berakhir setiap kali pilihan raya umum diadakan. Apabila kita merencanakan masa depan negara, ia harus berupaya melakar satu hala tuju melangkaui jangka masa yang panjang, kerana ini memastikan kelestarian atau sustainability,” katanya.

Dr Mahathir berkata oleh kerana Wawasan 2020 agak tersasar dan wawasan baru, Wawasan Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity), diperkenalkan adalah bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi, sehingga mewujudkan keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang 2030.

“Rakyat yang bersatu tanpa prasangka, dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya, adalah asas kepada penyatuan negara bangsa. Untuk mencapai Kemakmuran Bersama dan lain-lain agenda negara, yang telah kita janji dan tetapkan, keutuhan gabungan PH merupakan kunci kejayaan mereka,” katanya.

Terdahulu, program Temurapat Majlis Pimpinan Keadilan Pusat berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PH selamatkan hampir setengah bilion ringgit wang DBKL

PUTRAJAYA, 22 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah dapat menyelamatkan hampir setengah bilion ringgit wang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini.

Beliau berkata, ini dilakukan melalui rundingan semula 97 transaksi tanah di ibu negara, sekali gus menambah pendapatan DBKL dengan tepat sebanyak RM481 juta.

Beliau berkata, ia merupakan antara kejayaan utama kementeriannya dalam tempoh setahun sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional.

Menurut laporan media sebelum ini, rundingan semula itu diadakan susulan ada kes transaksi tanah yang dibuat tanpa melalui tender terbuka dan ada kes tanah dijual di bawah harga pasaran semasa pentadbiran BN.

Tambahan pendapatan itu diperoleh dalam bentuk tunai dan nilai tanah, antaranya termasuk lima transaksi tanah yang dirunding di luar mahkamah dan mendapat bayaran balik dalam bentuk infrasturktur, kata menteri itu dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini sempena setahun PH mentadbir negara.

Selain itu, kata Khalid, pewartaan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 pada Oktober lepas juga merupakan langkah terbaik yang dilakukan kementerian bertujuan mengawal pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.

Menyentuh perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya sedang merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040 dan akan dipamerkan kepada orang ramai pada penghujung tahun ini.

Khalid berkata, apabila menerajui kementeriannya, beliau mendapati pada asalnya pembangunan yang dirancang di ibu negara mempunyai kepadatan penduduk dan pembangunan yang tinggi dengan densiti 2,000 orang bagi satu 0.4 hektar.

“Jadi bagi Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040 ini apa yang kita akan tetapkan dalam pewartaan ialah maksimum densiti tidak boleh melebihi 1,000 orang bagi satu ekar tanah,” katanya sambil menambah kata kepadatan pembangunan juga dikurangkan bagi mengawal pembangunan.

Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu golongan B40, Khalid berkata, DBKL telah mengambil alih perkhidmatan Bas Go KL dan ditempatkan di kawasan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).

Khalid berkata, perkhidmatan itu memberikan servis percuma bagi perjalanan untuk ke kawasan mudah akses seperti stesen kereta api dan pengangkutan awam lain, selain memanfaatkan lebih 1,000 penumpang setiap hari.

Mengenai projek Taman Rimba Kiara, beliau berkata, pihaknya telah berjaya membuat rundingan dengan pemaju untuk menurunkan keluasan pembangunan daripada 4.9ha (12 ekar) kepada 3.2ha (8 ekar) sahaja susulan terdapat bantahan daripada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tidak bersetuju dengan pembangunan projek tersebut.

“Saya telah berunding dengan pemaju untuk ‘scale down’ (mengecilkan) projek daripada lapan blok kepada empat blok pangsapuri sahaja dan satu blok pangsapuri akan tetap dibekalkan kepada 100 keluarga rumah panjang sepertimana yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berkata, penubuhan Mesyuarat Majlis Menteri di bawah DBKL membuktikan ketelusan kerajaan PH dalam usaha membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.

Perkara itu dapat dilihat dengan penglibatan 11 Anggota Parlimen yang turut menganggotai mesyuarat tersebut, selain Datuk Bandar Kuala Lumpur serta pegawai DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Mesyuarat yang diadakan setiap dua bulan sekali ini merupakan satu inovasi apabila kita memanggil 11 Anggota Parlimen duduk bersama dengan DBKL dan kementerian di mana mereka turut sama memikirkan seolah-olah sebagai kerajaan yang memerintah KL dan merancang bersama untuk menentukan dasar dan polisi bagi pembangunan Kuala Lumpur.

“Sebelum ini anggota Parlimen tidak ada fungsi sangat dalam keputusan DBKL, jadi apabila kita ambil alih kita mahu mengimbangi kuasa wakil rakyat dan membuka jalan bagi mereka bersama-sama melontarkan idea,” katanya.

Khalid berkata, usaha itu juga sekali gus dapat membawa suara rakyat di bawah kawasan Parlimen masing-masing termasuk isu seperti kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan dan laluan pejalan kaki di kawasan Kuala Lumpur.

SUMBER: BERNAMA