Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M umum pakej rangsangan ekonomi 27 Februari

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak koronavirus 2019 (Covid-19) terhadap Malaysia di samping memelihara kebajikan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.

“Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara bangkit semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak Covid-19 berakhir,” katanya.

Koronavirus, kini dikenali sebagai Covid-19, kali pertama dikesan di Wuhan, China. Di Malaysia, 19 orang telah disahkan dijangkiti virus tersebut, dengan 13 merupakan warganegara China dan enam rakyat Malaysia.

Seramai tiga orang telah diberi rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital di Malaysia.

Menjelas lebih lanjut, Lim berkata perhatian utama diberikan kepada aliran tunai, dan syarikat-syarikat yang terkesan hendaklah memastikan supaya mereka terus kekal beroperasi dan berupaya meraih manfaat daripada lonjakan semula ekonomi.

“Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik, dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain,” katanya.

Ini juga melibatkan langkah mengekalkan daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan selain memastikan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan tersebut dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berserta pelbagai agensi.

Kerajaan telah mengadakan sesi rundingan dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik, dan kewangan. Kementerian-kementerian tersebut juga telah mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan juga tabung dan syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, Lim berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik dalam membendung wabak Covid-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas di khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Sektor binaan pacu ekonomi tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan pelaksanaan projek pembinaan pada separuh kedua 2020 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan cabaran di peringkat luaran, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata selain merangka pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), kerajaan dijangka menumpukan aspek perbelanjaan bagi membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pengeluaran dan pelancongan yang terjejas akibat penularan virus tersebut.

“Bagaimana pun, peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula adalah memadai untuk merangsang sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Affin Hwang, kerajaan juga diunjurkan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur pada tahun ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyamai langkah pada 2001, 2003, 2008 dan 2009 menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi untuk menampan sebarang penyusutan.

Pada Mei 2003 misalnya, kerajaan telah mengumumkan rangsangan ekonomi RM7.3 bilion untuk mengurangkan impak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dengan tumpuan menyokong perbelanjaan swasta dan membantu PKS serta perniagaan berkaitan pelancongan.

Antara projek infrastruktur berskala besar dijangka dihidupkan semula tahun ini adalah Projek Bas Rapid Transit, Projek Sistem Transit Rapid (antara Johor Bahru dan Singapura) dan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain itu, ‘nasib’ mengenai kemungkinan projek lain yang disambung semula seperti Laluan 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura juga dijangka diketahui pada tahun ini.

“(Berikutan itu) kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan belian utama membabitkan saham syarikat Gamuda, SunCon, AQRS dan HSS, Konsortium AME Elite, Pintaras Jaya serta Taliworks,” katanya.

-BERNAMA