Categories
AGENDA NASIONAL

Guna dron, alat pengesan jarak jauh pantau tapak pembinaan

PETALING JAYA, 6 APRIL: Pemain industri pembinaan digesa menggunakan dron atau alat pengesan jarak jauh dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Zailee Dollah berkata penggunaan kedua-dua teknologi itu dilihat berkesan bagi memastikan kadar pematuhan peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Beliau berkata penggunaan teknologi itu dipercayai dapat membantu mengurangkan kemalangan yang kerap berlaku dan meningkatkan KKP pada aras tertinggi.

“Selain itu, jumlah kemalangan maut di tapak pembinaan pada 2019 turun sebanyak 22 peratus sejak garis panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) diperkenalkan empat tahun lepas.

“Sebanyak 189 kes direkodkan pada 2017 manakala pada 2018 dan 2019 masing-masing mencatatkan 169 dan 144 kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis persidangan tahunan KKP Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai sindiket kartel projek yang berjaya ditumpaskan Ahad lepas, beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Perkara ini, kita baru tahu ia wujud… kalau tidak ada penangkapan kita tidak akan tahu maka biarlah pihak berkuasa dan kerajaan yang ambil tindakan,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menumpaskan sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh individu termasuk seorang ketua sindiket.

Sindiket kartel projek yang dikatakan beroperasi sejak 2014 itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek RM3.8 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Kerja pembinaan perlu dihenti kecuali Perkhidmatan Perlu – KKR

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kerja pembinaan perlu dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri yang terlibat, kecuali bagi kerja disenaraikan Perkhidmatan Perlu, kata Kementerian Kerja Raya.

Menurut kenyataan kementerian itu, kerja perlu merangkumi, antaranya penyelenggaraan dan pembaikan kritikal seperti pembaikan cerun dan jalan; pembinaan infrastruktur awam utama serta pembinaan bangunan bagi projek yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Pengecualian juga diberikan bagi operasi perkhidmatan profesional/perunding serta perkhidmatan lain dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan dan penghantaran bahan, terhad kepada tapak bina yang diluluskan beroperasi.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) berkaitan PKP yang dikeluarkan kementerian itu, kebenaran beroperasi perlu diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) MITI.

Majikan juga perlu mematuhi peraturan waktu operasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, pekerja pembinaan tidak dibenar berpindah dari satu tapak bina ke tapak yang lain, di samping mereka perlu membawa pas pekerja yang sah atau surat kebenaran majikan dan surat kelulusan beroperasi CIMS MITI untuk sebarang pergerakan.

Menurut FAQ itu, Pegawai Penguasa Projek bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya serta mengawal pergerakan keluar/masuk di tapak bina sepanjang tempoh PKP.

Kementerian itu turut mengulangi arahan semua pekerja asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik kerana kit ujian RTK Antigen telah dibekalkan oleh Perkeso kepada klinik panel,” menurut FAQ itu.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja pembinaan kritikal boleh diteruskan sepanjang PKP – KKR

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam sektor pembinaan, semua kerja pembinaan di enam negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, perlu dihentikan sepanjang tempoh PKP yang bermula esok.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagaimanapun terdapat pengecualian diberikan ke atas kerja pembinaan tertentu yang dikategorikan dalam senarai Perkhidmatan Perlu bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan.

“Terdapat lima kategori dalam sektor pembinaan yang diberikan pengecualian iaitu kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam utama; kerja pembinaan bangunan; perkhidmatan profesional atau perunding dan serta perkhidmatan lain di dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan, penghantaran bahan dan sebagainya

“Maklumat terperinci jenis-jenis kerja ini akan dinyatakan dengan jelas di bawah tatacara operasi piawai (SOP) sektor pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 dari tapak bina ke komuniti setempat, kawalan pergerakan keluar masuk pekerja binaan ke tapak pembinaan dan penginapan pekerja (CLQ) juga perlu diambil berat.

“Kontraktor perlu menyediakan pengangkutan terhad untuk membawa pekerja dari CLQ ke tapak bina dan balik ke CLQ tanpa persinggahan ke lain-lain tempat.

“Oleh itu, kontraktor perlu memastikan semua keperluan harian pekerja di tapak pembinaan termasuk makanan dan keperluan pembersihan diri disediakan sepenuhnya bagi mengelakkan pekerja mereka perlu ke kedai runcit atau gerai makanan yang akan menyebabkan pergaulan berlaku dengan penduduk setempat,” katanya.

Semua pekerja binaan juga tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke satu tapak bina yang lain sepanjang tempoh PKP ini bagi mengelakkan penularan wabak dari satu tapak pembinaan ke tapak yang lain.

“Pegawai Penguasa Projek adalah bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan SOP sepenuhnya apabila kerja-kerja pembinaan dijalankan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Bagaimanapun, kebenaran beroperasi untuk semua kategori syarikat pembinaan yang terlibat dengan sesuatu projek, perlu diperolehi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal CIMS MITI (COVID-19 Intelligent Management System) di ruangan ‘notifications miti.gov.my’.

Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan sepanjang PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang)

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Sektor binaan pacu ekonomi tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan pelaksanaan projek pembinaan pada separuh kedua 2020 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan cabaran di peringkat luaran, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata selain merangka pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), kerajaan dijangka menumpukan aspek perbelanjaan bagi membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pengeluaran dan pelancongan yang terjejas akibat penularan virus tersebut.

“Bagaimana pun, peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula adalah memadai untuk merangsang sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Affin Hwang, kerajaan juga diunjurkan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur pada tahun ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyamai langkah pada 2001, 2003, 2008 dan 2009 menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi untuk menampan sebarang penyusutan.

Pada Mei 2003 misalnya, kerajaan telah mengumumkan rangsangan ekonomi RM7.3 bilion untuk mengurangkan impak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dengan tumpuan menyokong perbelanjaan swasta dan membantu PKS serta perniagaan berkaitan pelancongan.

Antara projek infrastruktur berskala besar dijangka dihidupkan semula tahun ini adalah Projek Bas Rapid Transit, Projek Sistem Transit Rapid (antara Johor Bahru dan Singapura) dan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain itu, ‘nasib’ mengenai kemungkinan projek lain yang disambung semula seperti Laluan 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura juga dijangka diketahui pada tahun ini.

“(Berikutan itu) kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan belian utama membabitkan saham syarikat Gamuda, SunCon, AQRS dan HSS, Konsortium AME Elite, Pintaras Jaya serta Taliworks,” katanya.

-BERNAMA