Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beri vaksin pandu lalu untuk OKU dibuka minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Pusat pemberian vaksin (PPV) untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) secara pandu lalu akan diwujudkan minggu depan bagi mencepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada golongan itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata PPV pandu lalu itu akan beroperasi di satu lokasi di Lembah Klang dengan kerjasama pihak swasta melalui Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

“Ini (pandu lalu) ialah alternatif untuk memudahkan dan menyegerakan pemberian vaksin kepada komuniti OKU dengan hanya duduk di dalam kereta tanpa perlu keluar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) hari ini.

Rina berkata berdasarkan data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), kira-kira 577,000 OKU berdaftar di bawah JKM setakat ini, dan seramai 195,395 OKU mendaftar untuk pemvaksinan menerusi MySejahtera.

Bagi mempercepat pendaftaran OKU, beliau berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan berkaitan.

Pada masa sama, Rina berkata kementerian melalui JKM, menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) kepada pihak berkaitan bagi memastikan individu dalam kumpulan sasaran itu tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin.

Menurut beliau, untuk memudahkan pendaftaran, MAB juga menubuhkan pusat panggilan khas di talian 03-2272 2677 yang hingga hari ini telah menerima 1,900 permohonan.

Katanya PPV di MAB itu dijangkakan berupaya memberikan 200 vaksin setiap hari dengan penglibatan 20 sukarelawan JKM bagi membantu paramedik dan doktor yang bertugas.

Mengulasi tinjauannya di MAB yang merupakan PPV OKU pertama di negara ini, Rina berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan program imunisasi di situ.

Mengikut perancangan program imunisasi negara, fasa kedua pemberian vaksin menyasarkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan OKU dalam tempoh April hingga Ogos depan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bimbang kawalan di taska, suami isteri bawa anak buat saringan percuma

KLANG, 31 MEI: Bimbang tahap kebersihan dan keselamatan di taman asuhan kanak-kanak (taska) mendorong sepasang suami isteri membawa dua anak mereka membuat saringan Covid-19 semalam.

Nor Najihah Nordin, 32, berkata dia dan suami, Mohd Syafiq Azmal, 33, mengambil langkah itu bagi memastikan Muhammad Aryan Rizqi, 5, dan Muhammad Areez Rifqi, 8 bulan, bebas jangkitan wabak.

“Kami memilih kaedah pandu lalu kerana tidak mahu beratur panjang selain mengelak berkumpul dengan orang ramai. Kami hanya perlu menunggu giliran kurang 10 minit untuk disaring.

“Proses saringan berjalan lancar walaupun mereka berdua baru pertama kali merasainya,” katanya yang menetap di Setia Alam dan menjalani saringan di Dewan Eng Ann, Klang.

Nor Najihah yang berkhidmat sebagai jurukur bahan turut menyeru ibu bapa memanfaatkan program percuma ditawarkan Kerajaan Selangor kerana mampu menjimatkan kos tanpa perlu ke klinik swasta.

Menurutnya, langkah itu juga bagi mengenal pasti status kesihatan diri berikutan kes Covid-19 ketika ini agak membimbangkan terutama dengan penemuan varian baharu yang cepat berjangkit.

Nur Syahirah Mohd Yusoff dan Nurina Hassan

“Ambil peluang ini dan bawa keluarga sebab virus kita tidak nampak, apatah lagi orang yang tiada simptom pun boleh positif. Kita pergi kerja dan anak pula di pusat jagaan jadi risau jika antara kami menjadi ‘pembawa senyap’.”

Sementara itu, dua rakan sekerja mengambil kesempatan cuti hujung minggu melakukan saringan melalui kaedah sama kerana salah seorang daripada mereka mengalami simptom demam dan sakit kepala.

Nur Syahirah Mohd Yusoff dan Nurina Hassan, masing-masing 21 tahun membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak tiga hari lalu.

“Kami hanya menunggu giliran kurang 30 minit walaupun banyak lagi kenderaan lain berbaris, malah ujian calitan sekejap sahaja dan berharap keputusan saringan negatif,” kata Nur Syahirah.