AMPANG, 23 APR: Pentadbiran Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional bagai langit dengan bumi kalau nak dibezakan.
Demikian ungkapan yang terpacul dari mulut Umar Hamzah Yaacob, salah seorang watak penting yang bangkit mempertahankan hak penduduk Kampung Berembang, sebuah kampung peneroka bandar yang dirobohkan semasa pentadbiran Umno-BN Selangor dahulu.
Kini, lebih 690 penduduk kampung itu boleh duduk selesa di dalam unti pangsapuri mereka yang diperjuangankan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pada Julai tahun lepas.
Akan tetapi, Umar Hamzah masih ingat peristiwa perit enam tahun dahulu apabila kampung itu, yang wujud sebelum Merdeka, dirobohkan untuk tujuan pembangunan.
Menurut laman web NGO Jerit.org, penduduk kampung yang majoritinya Melayu itu, menentang perobohkan kampung tersebut. Penduduk kampung mengadakan protes bersama beberapa NGO untuk menghalang kemasukkan jentera pembinaan.
Malah Umar Hamzah yang lantang membantah pemindahan oleh pentadbiran Umno-BN ketika itu bersama 68 penduduk yang lain disenarai-hitamkan dan tersingkir daripada menuntut pampasan rumah.
Umar Hamzah berkata beliau menentang pemindahan dan perobohan itu kerana Kerajaan Umno-BN dahulu tidak menjamin mereka akan dapat pinjaman bank untuk rumah baru.
“Nyata apa yang kami jangkakan betul-betul berlaku. Bila sampai proses pemindahan, rumah ditawarkan, memang ramai tidak layak mendapat pinjaman. Hampir separuh penduduk tidak layak,” katanya.
Projek rumah pangsapuri yang hendak mengantikan rumah kampung mereka itu juga dihantui berbagai masalah sejak ia mula dibina pada 2005.
Akan tetapi projek pangsapuri tersebut masih belum disiapkan sehingga Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.
Pengerusi Penduduk Pangsapuri Berembang Indah, Noralizan Ali mendakwa terdapat pihak berkaitan Umno-BN dahulu yang menempah 150 unit rumah tersebut untuk dijualkan kepada penduduk dengan harga yang lebih tinggi.
?Dia bayar pada harga sekitar RM 35,000 untuk sebuah rumah kepada pemaju. Tapi jual semula rumah itu dengan harga
RM 60,000 hingga RM 70,000.?
Akhirnya projek tersebut berjaya disiapkan setelah mereka merayu kepada Menteri Besar dan Exco Perumahan Iskandar Abdul Samad.
?Kami merayu kepada Menteri Besar sekarang (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) prihatin dengan rayuan kami dan desak rumah ini disiapkan. Iskandar Abdul Samad kerja teruk memastikan kami mendapat rumah ini,” ujar Noralizan lagi.
Unit-unit rumah yang ?ditempah? pihak tidak bertanggungjawab itu juga berjaya diselamatkan dan diberikan kepada keluarga yang dahulu disenarai-hitam itu.
Akhirnya kesemua peneroka asal Kampung Berembang menerima kunci untuk unit baru mereka pada Julai tahun lepas.