Categories
AGENDA SUKANKINI

Paralimpik Tokyo: Liek Hou terus cemerlang, ungguli kumpulan B

TOKYO, 3 SEPT: Pemain badminton para negara Cheah Liek Hou mengekalkan prestasi terbaiknya di Sukan Paralimpik Tokyo selepas merekodkan satu lagi kemenangan untuk muncul juara Kumpulan B perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada Jumaat.

Juara dunia badminton para enam kali itu hanya mengambil masa 41 minit untuk menewaskan pemain tuan rumah Taiyo Imai 21-19, 21-12 pada hari ketiga perlawanan badminton yang diadakan di Yoyogi National Stadium.

Selepas mendahului atlet Jepun itu dengan 11-9, beberapa kesilapan dilakukan Liek Hou sehingga membolehkan Taiyo mengikat keputusan seri 19-19, sebelum pemain negara mendapat semula rentaknya untuk memenangi set pertama 21-19.

Pada set kedua, pemain pilihan kedua temasya itu tidak dapat ditandingi Taiyo, apabila berjaya menunjukkan aksi cemerlang sedari awal untuk menang 21-12.

Mengulas mengenai perlawanan akhir kumpulan itu, Liek Hou mengakui beliau begitu menginginkan kemenangan pada set pertama, yang memberi kelebihan kepada Taiyo untuk bangkit sebelum beliau menang dengan beza dua mata.

Walaupun mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat buat negara, Liek Hou berkata beliau ingin meneruskan perlawanan itu langkah demi langkah dan berharap mendapat keputusan baik dalam separuh akhir nanti.

“Tiada masa untuk saya fikirkan tentang pingat lagi kerana saya tidak mahu hilang fokus pada separuh akhir,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.

Perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung esok pagi manakala final akan diadakan pada sebelah petang.

Sementara itu, perenang para negara Brenda Anellia Larry gagal untuk mara ke final 50 meter kuak lentang wanita S4 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan penampilan sulungnya pada Sukan Paralimpik di kedudukan kelima dalam saringan pertama hari ini.

Atlet berusia 16 tahun dari Sabah itu mencatat masa 59.33 saat (s) dan menduduki tempat ke-11 daripada 15 perenang menerusi dua saringan yang diadakan di Tokyo Aquatics Centre.

Hanya lapan atlet terbaik daripada dua saringan mara ke peringkat akhir lewat hari ini.

Yu Liu dari China dalam saringan kedua, muncul perenang terpantas sekali gus memecahkan rekod dunia 46.51s yang dicatat rakan segenaranya Jiao Cheng di Mexico pada 2017, dengan rekod baharu 45.81s hari ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dua atlet Selangor ke Paralimpik Tokyo terima RM20,000

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20,000 kepada dua atlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung bulan ini.

EXCO sukan berkata atlet olahraga Mohd Ziyad Zolkefli dan atlet berbasikal Muhammad Hafiz Jamali masing-masing menerima RM10,000.

“Sumbangan ini diharap dapat membakar semangat mereka untuk beraksi cemerlang dan menghadiahkan pingat buat negara.

“Selangor komited melahirkan seberapa ramai atlet untuk temasya sukan antarabangsa selain terus memantau pencapaian dan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman pada majlis perjumpaan dan sembang santai bersama atlet Selangor secara maya hari ini.

Beliau berkata sekiranya kedua-dua atlet berkenaan dapat meraih pingat di sukan dunia itu, mereka bakal menerima ganjaran lebih besar.

“Jika pulang dengan cemerlang, kami akan bawa (bincang) ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk beri ganjaran bersesuaian. Sejarah dah buktikan Ziyad terima sebuah rumah ketika menang (Paralimpik Rio 2016).

“Kita harap Ziyad dapat kekalkan pingat emas dan Hafiz boleh mengambil semangat juang Datuk Azizul Hasni Awang (pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020) dalam penampilan pertama ini,” katanya.

Pada kejohanan di Rio, Ziyad melakar kilauan pingat emas apabila mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Seramai 22 atlet termasuk empat wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya sukan bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

Sejak mengambil bahagian pada 1972, Malaysia mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.