Categories
AGENDA SUKANKINI

Muhammad Hafiz yakin cemerlang walau kali pertama ke Paralimpik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Atlet berbasikal para negara Muhammad Hafiz Jamali berasa yakin akan beraksi cemerlang walaupun kali pertama menyertai Sukan Paralimpik.

Atlet kelahiran Selangor itu berkata biarpun mengakui berdepan tekanan namun dengan persiapan dilakukan, beliau mampu mengawal emosi dan bersedia ke kejohanan berlangsung di Tokyo hujung bulan ini.

“Kita dapatkan nasihat jurulatih, ada juga penasihat psikologi malah turut belajar (pengalaman) dengan kawan yang pernah pergi paralimpik sebelum ini.

“Sekarang kita di minggu akhir latihan. Segala peralatan, teknik, kaedah termasuk penggunaan simulator akan digunakan sepenuhnya,” katanya pada majlis perjumpaan dan sembang santai secara maya hari ini bersama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohd Nizam Marjugi.

Terdahulu Mohd Khairuddin mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Muhammad Hafiz dan jaguh olahraga para Mohd Ziyad Zolkefli yang mewakili negara di Paralimpik Tokyo 2020 bermula 24 Ogos hingga 5 September.

Muhammad Hafiz berkata beliau menjadikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai inspirasi dan pembakar semangat dalam acara ditandingi untuk meraih pingat.

“Ada juga jumpa dia (Azizul) masa berlatih di sini (Malaysia). Dapat jumpa sekejap-sekejap sebab masing-masing kuarantin. Ada bertegur dan cakap pasal persiapan,” katanya.

Pada perlumbaan final acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu Tokyo Ahad lalu, Azizulhasni atau Jijoe yang berasal dari Dungun, Terengganu menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menduduki tempat kedua.

Pada Olimpik Rio 2016 pelumba berusia 33 tahun yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu meraih gangsa.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dua atlet Selangor ke Paralimpik Tokyo terima RM20,000

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20,000 kepada dua atlet Selangor yang mewakili negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung bulan ini.

EXCO sukan berkata atlet olahraga Mohd Ziyad Zolkefli dan atlet berbasikal Muhammad Hafiz Jamali masing-masing menerima RM10,000.

“Sumbangan ini diharap dapat membakar semangat mereka untuk beraksi cemerlang dan menghadiahkan pingat buat negara.

“Selangor komited melahirkan seberapa ramai atlet untuk temasya sukan antarabangsa selain terus memantau pencapaian dan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman pada majlis perjumpaan dan sembang santai bersama atlet Selangor secara maya hari ini.

Beliau berkata sekiranya kedua-dua atlet berkenaan dapat meraih pingat di sukan dunia itu, mereka bakal menerima ganjaran lebih besar.

“Jika pulang dengan cemerlang, kami akan bawa (bincang) ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk beri ganjaran bersesuaian. Sejarah dah buktikan Ziyad terima sebuah rumah ketika menang (Paralimpik Rio 2016).

“Kita harap Ziyad dapat kekalkan pingat emas dan Hafiz boleh mengambil semangat juang Datuk Azizul Hasni Awang (pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020) dalam penampilan pertama ini,” katanya.

Pada kejohanan di Rio, Ziyad melakar kilauan pingat emas apabila mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Seramai 22 atlet termasuk empat wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya sukan bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

Sejak mengambil bahagian pada 1972, Malaysia mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.