Categories
SELANGOR

SSP, PBP bantu pantau prestasi pegawai penguatkuasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 6 MEI: Prestasi pegawai penguat kuasa di Majlis Perbandaran Subang Jaya kini mampu dipantau secara lebih berkesan dan komprehensif melalui kesediaan fungsi sistem aplikasi pintar ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) serta ‘Parkbyphone’ (PBP).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, modul penguatkuasa SSP turut membantu pegawai penguat kuasa untuk menjalankan kerja penguatkuasaan parkir seterusnya membolehkan penggunaannya di lapangan.

“Selain itu, kertas kompaun juga dapat dicetak secara ‘real time’ bagi kesalahan seperti tidak membayar parkir dan meletakkan kenderaan di luar petak.

“Kewujudan aplikasi ini juga berjaya meningkatkan fenomena mesra pengguna, infrastruktur yang selesa dan pembangunan sebuah lapisan digital untuk memastikan tahap perkhidmatan awam lebih ceka, efisien dan saksama untuk semua penduduk di dalam dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP), di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Pengarah Urusan SSDU, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Sze Han yang juga ADN Kinrara menyambut baik komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melaksanakan aplikasi pintar berkenaan yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan Selangor sebagai sebuah Smart State terulung di rantau Asia menjelang 2025.

“Aplikasi ini adalah satu pendekatan Smart State untuk menyediakan penyeragaman perkhidmatan pelbagai PBT melalui satu aplikasi telefon pintar untuk kegunaan rakyat.

“Saya harap sistem pembayaran parkir dilaksanakan MPSJ dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) serta dioperasikan Godell Parking Sdn Bhd dapat memudahkan transaksi pembayaran parkir juga kompaun untuk penduduk setempat,” katanya.

Sebanyak 44,639 atau 60 peratus petak letak kereta diwartakan MPSJ bagi kawasan komersial, manakala 35,214 atau 40 peratus di kawasan industri dan industri bercampur melalui kedua-dua aplikasi pintar berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

Aplikasi PBP, SSP mudahkan pengguna bayar parkir dan kompaun

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 6 MEI: Penduduk di Subang Jaya kini mempunyai pebagai landasan melunaskan
bayaran letak kereta dan kompaun apabila Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan aplikasi Parkbyphone (PBP) dan Smart Selangor Parking (SSP).

Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar berkata, pembayaran itu memberi peluang kepada pengguna untuk memilih landasan pilihan mereka.

“Hasil tiga gabungan kepakaran iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Godell Parking bukan untuk bersaing, namun ia melengkapi antara satu sama lain sekali gus memberi inisiatif yang baik kepada pengguna.

“Pada masa sama, pembayaran melalui aplikasi itu akan mengesan lokasi secara automatik untuk memudahkan mereka dan ia mengambil masa yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta MPSJ di Laman Kenanga, Aras Satu, Bangunan MPSJ, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Turut hadir Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, Timbalan Yang Dipertua MPSJ; Mohd Zulkurnain Che Ali, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya; Michelle Ng Mei Sze, Pengarah Urusan SSDU; Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Md Jaki berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan rakan sinergi menggunakan parameter bersesuaian berdasarkan garis panduan ditetapkan pihak majlis.

“Saya berharap, aplikasi ini memberi faedah kepada pengguna selain membuat bayaran parking menggunakan mesin bayar dan peraga (PND), kupon gores dan pas bulanan.

“Pada masa akan datang, aplikasi PBP bakal dilaksanakan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ lancar Smart Selangor Parking, ‘Parkbyphone’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 6 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan sistem aplikasi pintar letak kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP) sebagai alternatif pembayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbiran berkenaan.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, sebanyak 79,853 petak letak kereta diwartakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit melalui aplikasi sistem pintar yang dilaksanakan dengan kolaboratif pintar antara Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Godell Parking Sdn Bhd itu.

Katanya, daripada bilangan itu, 44,639 petak (60 peratus) adalah petak letak kereta bagi kawasan komersial, manakala 35,214 (40 peratus) di kawasan industri dan industri bercampur.

“Sehingga kini, kita mengenakan caj parkir di kawasan komersial sahaja, dengan bilangan petak yang sebegini banyak dan kawasan yang luas, kita memerlukan kaedah atau sisitem yang dapat diakses atau digunakan pengguna.

“Caj letak kereta dikenakan adalah 50 sen/jam, RM4/hari dan RM80/bulan, manakala tempoh masa letak kereta bermula dari 8 pagi hingga 6.30 petang.

“Pengguna di MPSJ mempunyai pelbagai pilihan melaksanakan pembayaran caj letak kereta seperti mesin bayar dan peraga (PND), aplikasi telefon mudah alih, kupon gores dan pas bulanan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi itu, di Bangunan MPSJ, di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Pengarah Urusan SSDU, Dr mohammadFahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Mengulas kelebihan aplikasi itu, Noraini berkata, selain memberi kemudahan kepada pengguna lalu lintas, ia juga mempunyai pelbagai fungsi yang boleh mengingatkan pengguna berkaitan masa tamat tempoh letak kereta.

“Mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa membuat pembayaran letak kereta MPSJ kerana sistem ini membolehkan mereka membuat pembayaran di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Pengguna boleh membuat pembayaran kompaun sekiranya ada secara terus di aplikasi ini dan semakan pembayaran letak kereta sebelum pengeluaran kompaun oleh anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Terdahulu, MPSJ menjadi PBT ketujuh di Selangor yang melancarkan aplikasi pintar itu selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).