Categories
SELANGOR

26,268 guna aplikasi parkir dalam talian Flexi Parking

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 26,268 orang menggunakan aplikasi parkir dalam talian dikendali Flexi Parking bagi empat pihak berkuasa tempatan (PBT), di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jumlah keseluruhan itu dicatatkan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dam Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Daripada jumlah itu, seramai 10,819 menggunakannya di MBSA, 8,876 (MPAJ), 3,660 (MPSp) dan 2,913 (MPS).

“Manakala jumlah kos pengurusan Flexi Parking pula hanya di MPAJ berjumlah RM3,995.14,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Telok Datok, Loh Chee Heng dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kos pengurusan itu hanya membabitkan MPAJ kerana MBSA, MPS dam MPSp tidak mempunyai kos berkaitan.

Katanya, perkara itu ditanggung pihak konsesi di tiga PBT berkenaan.

Categories
SELANGOR

MBPJ wajibkan 10% bangunan komersil sedia tempat letak kereta wanita

Oleh: Norhayati Umor

PETALING JAYA 12 MEI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini mewajibkan semua bangunan komersial sekitar kawasan pentadbirannya menyediakan tempat letak kereta khas untuk wanita.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib, berkata 10 peratus dari jumlah petak parkir kereta, sama ada luar atau dalam bangunan perlu menyediakan kemudahan berkenaan.

parking mb[jKatanya, tempat letak kenderaan bagi wanita itu perlu disediakan sama ada bangunan baru atau bangunan lama.

“Bagi bangunan baru, kami mengenakan syarat berkenaan kepada pemaju atau pemilik bangunan ketika proses permohonan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Jika mereka ingkar, CCC tidak akan dikeluarkan.

“Bagi bangunan sedia ada, kami akan laksanakan syarat berkenaan bila mereka mahu memperbaharui lesen,” katanya ketika sidang media di Program Hari Tanpa Kenderaan Petaling Jaya, di sini, semalam.

Puasa berkata, kemudahan berkenaan perlu dilengkapi dengan penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan bagi memastikan keselamatan wanita terjamin.

Sebelum ini, sebagai permulaan, MBPJ memperuntukkan dua buah tempat letak kereta di hadapan premis Public Bank dan Ambank.

Kemudahan yang terletak di Pusat Bandar Seksyen 52 itu disediakan di kawasan strategik yang lengkap dengan pengawal keselamatan dan CCTV.

Selain itu, Puasa turut memaklumkan laluan basikal dan pejalan kaki sepanjang 6 kilometer (km) mengelilingi Pusat Bandar Seksyen 52 akan disediakan di bawah Projek ‘PJ City Cycleways Network’ dan jalan utama dijadikan laluan sehala mulai Jun ini.

Projek itu adalah sebahagian daripada program pengangkutan mampan yang membabitkan 56km laluan basikal bagi keseluruhan kawasan Petaling Jaya, di mana sehingga kini 13km sudah siap dibina dan sepanjang 16km lagi dijangka siap tahun ini.

EZY