Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit kukuh bawa impak positif pasaran ekuiti – analisis

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Kekukuhan ringgit ketika ini dijangka membawa impak positif kepada pasaran ekuiti di tengah-tengah kelemahan dolar AS, apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 30.24 mata untuk ditutup bagi minggu pertama 2021 pada paras tertinggi harian 1,633.19.

Ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan tahun ini dan firma penyelidikan berkenaan percaya kelemahan dolar itu akan berterusan.

Seorang penganalisis berkata ia terbukti pada Jumaat minggu yang baru berakhir ini, selepas FBM KLCI bergerak rendah semasa sesi pagi, dan ramai pembeli mencari mana-mana saham rendah dalam pasaran membangun dan langkah itu membayangkan ekuiti serantau berada di landasan untuk meningkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata 2021 bakal menjadi tahun yang lebih baik dengan sokongan ringgit yang kukuh, yang bakal menarik lebih ramai pelabur asing.

“Faktor-faktor yang menggalakkan termasuk sokongan pada masa akan datang dalam bentuk mudah tunai daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pengurangan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan Belanjawan 2021, keterlibatan tinggi pelabur runcit, lantunan semula kukuh pendapatan korporat dan kenaikan harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar US$55 setong.

“Jangkaan umum Covid-19 dapat dibendung pada 2021 juga meningkatkan sentimen susulan berita pelaksanaan vaksinasi tidak lama lagi.

“Kekuatan ringgit yang meyakinkan berbanding dolar AS juga akan menjadi penyumbang untuk menarik pelabur asing secara berperingkat ke Malaysia pada 2021,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan kepada data yang diperoleh bagi tahun penuh 2020, pelabur antarabangsa menjual RM24.6 bilion bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.

Nazri berkata dengan ringgit yang mencatatkan prestasi lebih baik, ia akan membawa kesan domino kerana ia menyokong banyak sektor, antara lainnya adalah komoditi yang bakal merangsang pasaran ekuiti.

“Apabila ringgit kukuh, orang akan berpusu-pusu membeli minyak sawit mentah. Apabila komoditi dalam nilai dolar AS ini menjadi murah untuk dibeli oleh peniaga, begitu juga negara-negara seperti China dan India,” katanya.

Nazri berkata pelabur runcit sudah tentunya masih mendominasi dengan sokongan rangsangan daripada Belanjawan 2021 memandangkan mereka kini membentuk 37 peratus dalam pasaran dan diharapkan akan mencapai 40 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata sektor sasaran yang akan meningkat pada tahun ini berbeza daripada tahun lepas apabila sektor yang merosot akan menjadi pemacu — menjadi tumpuan dana asing.

“Sektor yang akan meningkat merupakan penerima manfaat dana asing seperti Telekom Malaysia, British American Tobacco, Genting, Inari dan bank-bank, selain pembinaan dan hartanah yang akan menjadi peneraju seiring dengan tenaga atau minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata belanjawan 2021 memberikan penekanan penting kepada projek berimpak pengganda tinggi yang disambung semula seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo dan dijangka mewujudkan impak positif seawal suku pertama 2021.

Nazri berkata menjelang akhir tahun, sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berada pada paras 1,800, yang manaka kali terakhir dicatatkan adalah pada 2018, meskipun pada anggaran yang agak agresif iaitu nisbah 16.5 setahun, dipacu oleh penerima manfaat dana asing serta sektor-sektor kitaran.

Beliau turut menekankan beberapa kemungkinan risiko yang boleh menjejaskan keadaan misalnya ketidaktentuan politik, isu melibatkan garis masa vaksin dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

“Risiko itu termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya umum dan garis masa vaksin. Tidak dapat dipastikan bilakah vaksin ini akan berada di Malaysia, diharapkan tiada kelemahan dalam (pengedaran) vaksin sekiranya mereka berdepan pengalaman buruk dalam logistik kerana ia juga risiko besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak berputus asa dalam mengharungi cabaran besar pada 2020, dan mengatasi kebanyakan negara di rantau ini seperti Indonesia, Singapura dan Thailand meskipun FBM KLCI berada pada paras terendah dalam tempoh lapan bulan pada Februari dan Mac.

“Pada satu ketika, FBM KLCI susut 30 peratus, namun kita mampu bangkit semula dengan bantuan saham pengeluar sarung tangan dan pelabur runcit yang berdaya tahan,” kata Nazri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur, Top Glove paling untung

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kebanyakan saham wajaran tinggi dengan aktiviti belian dalam saham permodalan kecil dan saham berharga rendah, dalam dagangan yang turun naik, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.45 peratus atau 6.98 mata kepada 1,547.98 daripada 1,554.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.21 mata kepada 1,554.75 dan bergerak antara 1,538.26 dan 1,558.95 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 566 berbanding 444, manakala 388 kaunter tidak berubah, 636 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 5.82 bilion saham bernilai RM3.39 bilion.

Seorang penganalisis berkata pasaran ekuiti tempatan yang turun naik turut menjejaki bursa serantau, yang berada pada aliran penurunan, walaupun prestasi bercampur-campur di Wall Street.

Dow Jones Industrial Average semalaman susut 0.21 peratus manakala S&P 500 meningkat 0.36 peratus.

Nikkei 225 susut 0.14 peratus, Indeks Hang Seng jatuh 0.21, Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) merosot 0.21 peratus dan Indeks Straits Times berkurangan 0.94 peratus.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka terus turun naik dengan kecenderungan penurunan dengan paras sokongan segera dilihat pada 1,550 manakala paras halangan pada 1,570.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM7.47, Top Glove naik 62 sen kepada RM26.02, Public Bank susut 30 sen kepada RM16.66, Tenaga berkurangan dua sen kepada RM11.00, dan Hartalega susut enam sen kepada RM16.44.

Dalam kalangan saham cergas, CME dan XOC, masing-masing menambah 2.5 sen kepada 12 sen dan 27.5 sen, dan Konsortium Transnasional meningkat 12 sen kepada 17 sen.

Kaunter paling rugi — Nestle merosot RM1.70 kepada RM139.00, Petronas Dagangan susut 52 sen kepada RM20.70 dan Carlsberg jatuh 40 sen kepada RM22.48.

Sementara itu, Top Glove merupakan kaunter paling untung, diikuti Dutch Lady yang naik 58 sen kepada RM40.28 dan Supermax meningkat 42 sen kepada RM20.22.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.52 mata kepada 11,157.48, Indeks FBMT 100 merosot 20.98 mata kepada 10,960.17, bagaimanapun FBM 70 naik 83.45 mata kepada 14,501.30.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.10 mata kepada 13,200.19 dan FBM ACE naik 147.18 mata kepada 10,036.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 74.85 mata kepada 12,839.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.42 mata kepada 140.16, dan Indeks Perladangan turun 37.05 mata kepada 7,039.29.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangkaan rundingan perdagangan dua hala AS-China, pengaruhi pasaran ekuiti

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Perbincangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung perdagangan dua hala mereka dijangka mempengaruhi pasaran ekuiti minggu depan, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin menjadi sumber kepada ketidakstabilan pasaran dengan pemainnya ketika ini bimbang akan pergolakan dalam pasaran global.

“Secara umumnya perniagaan semakin mengelak risiko apabila sesetengah negara terutamanya China dan negara ASEAN mencatatkan indeks pembuatan di bawah paras 50 mata.

“Malahan, indeks pembuatan US ISM menunjukkan trend yang serupa, susut sebanyak 5.2 mata kepada 54.1 pada Disember 2018.

“Kebiasaannya, perniagaan akan mengurangkan perbelanjaan modal dan pengambilan pekerja mereka kerana akan lebih berhati-hati dengan prospek permintaan, jadi kami menjangka pasaran ekuiti kekal lemah dalam tempoh terdekat ini,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, paras sokongan semasa berada pada 1,653.

Katanya, FBMKLCI mungkin menguji paras ini sekiranya perbincangan itu tidak mencapai hasil yang positif.

Bagi minggu dagangan singkat yang baharu berakhir ini, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah terjejas disebabkan terutamanya oleh faktor luar seperti keadaan politik AS yang tidak menentu, kebimbangan terhadap pertumbuhan lemah ekonomi global dan ura-ura kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Bursa tempatan dan anak syarikatnya ditutup pada Selasa sempena cuti umum Tahun Baharu.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 22.29 mata kepada 1,669.78.

Indeks FBM Emas susut 124.28 mata kepada 11,413.02, Indeks FBMT100 jatuh 131.24 mata kepada 11,323.34, FBM 70 berkurangan 67.72 mata kepada 13,023.80, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 152.51 mata kepada 11,356.91 tetapi FBM Ace naik 34.23 mata kepada 4,294.43.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 99.90 mata kepada 17,241.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.18 mata kepada 165.63, manakala Indeks Perladangan jatuh 16.84 mata kepada 6,880.90.

Perbandingan Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 7.22 bilion unit bernilai RM4.79 bilion daripada 5.70 bilion unit bernilai RM4.15 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 5.17 bilion unit bernilai RM4.37 bilion berbanding 4.16 bilion saham bernilai RM3.85 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.23 bilion unit bernilai RM282.94 juta berbanding 948.80 juta unit bernilai RM202.97 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 719.60 bilion saham bernilai RM127.20 juta berbanding 556.26 juta saham bernilai RM90.05 juta.