Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2021: Pertimbang biasiswa, pinjaman untuk pasca siswazah Kuis

SHAH ALAM, 21 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) meminta Kerajaan Negeri pertimbang pemberian pinjaman dan biasiswa kepada pelajar peringkat pasca siswazah di institusi itu.

Rektornya, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata setakat ini pinjaman dan biasiswa hanya ditawar kepada mahasiswa di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda pertama.

“Di Kuis kita memang ada program pasca siswazah, jadi kita berharap pinjaman atau biasiswa dapat dikembangkan untuk anak kelahiran Selangor yang mahu mengambil program ini.

“Kita minta supaya ada peruntukan (pinjaman dan biasiswa) sepanjang tempoh pengajian pasca siswazah mereka di Kuis,” katanya ketika diminta mengulas harapannya berhubung Belanjawan Selangor 2021.

Beliau menambah kemudahan pembelajaran dalam talian di universiti itu juga perlu dinaik taraf berikutan capaian internet sedia ada tidak mampu menampung kapasiti pelajar termasuk pensyarah.

Langkah itu, katanya, memerlukan kos yang agak tinggi dan wajar diberi perhatian bagi memastikan warga institusi bergerak seiring dengan perubahan serta perkembangan teknologi maklumat.

“Saya percaya bantuan seperti ini amat membantu kerana di Kuis kita mengamalkan konsep pembelajaran secara teradun (blended learning) iaitu gabungan (pembelajaran) dalam talian dan konvensional sekali gus mendorong pelajar serta pensyarah melakukan tugas dengan lebih berkesan.

“Malah, ini akan memudahkan pihak universiti untuk memperkenal lebih banyak program berkonsepkan maya misalnya pemasaran dan perniagaan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Categories
SELANGOR

KUIS realisasi program pasca siswazah

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANGI, 30 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) giat merealisasikan rancangan penawaran program pasca siswazah sarjana dan kedoktoran dalam usaha memartabatkan ilmu.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata perancangan itu dirangka bagi memenuhi sasaran mencapai taraf universiti penuh menjelang tahun hadapan.

“Usaha ini akan dimulakan dengan kerja menaik taraf dan menambah beberapa program baharu di peringkat sarjana muda supaya lebih berdaya saing seiring dengan perubahan zaman.

abd-halim“Selain itu, pelajar diploma dan sarjana muda juga diharap akan menjadikan KUIS sebagai institusi pilihan mereka bagi melanjutkan pelajaran dalam pengajian sarjana juga doktor falsafah,” katanya.

Beliau berkata, KUIS giat memperbaiki mutu pembelajaran selaras dengan sasaran kemasukan 6,000 pelajar, tahun hadapan.

Dalam tempoh 20 tahun, katanya, KUIS sudah melahirkan lebih 15,000 graduan yang menabur khidmat dalam pelbagai bidang dan kerjaya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran di KUIS.

“Sebanyak RM12 juta disediakan untuk dana bantuan pendidikan Selangor dan RM5 juta tajaan Tabung Pendidikan Tahfiz Wal Qiraat. Ia membolehkan KUIS menjadi hab pendidikan bagi melahirkan huffaz di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

IMG_20150829_092446Seramai 1,188 mahasisawa menerima ijazah dan diploma dalam Majlis Konvokesyen KUIS ke-18 di Dewan Konvokesyen, di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIS, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ijazah dan diploma kepada mahasisawa dalam majlis berkenaan.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi serta Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Shafie Ngah.