Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor titah warga Paskal tidak cemarkan maruah, kehormatan pasukan

LUMUT, 1 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya tidak sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan pasukan.

Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah lambang trimedia yang tersemat di dada anggota Paskal adalah lambang kehormatan, yang perlu dipertahankan.

“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga Paskal supaya tidak mengabaikan tuntutan agama dan sentiasa mengingati Tuhan, walau dalam apa jua keadaan sekali pun selain sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran terutamanya ketika bertugas.

“Doa akan memberikan kekuatan dan keberanian dan menghindar dari ketakutan. Insya-Allah,” titah baginda.

Baginda bertitah faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulang kali sebelum latihan dilaksanakan dan mahu semua warga pasukan komited, melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.

Titah baginda, hampir 39 tahun penubuhan, Paskal telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi-misi yang dipertanggungjawabkan, di dalam mahupun di luar negara dan berharap prestasi dan imej Paskal dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

“Jika diimbas kembali, penubuhan Paskal pada tahun 1982, pasukan ini telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan, selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota Tentera Laut dari dalam dan luar negara, melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan.

Titah baginda lagi, untuk melayakkan diri menjadi seorang anggota Paskal bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap pegawai dan anggota perlu melalui latihan-latihan yang keras dan memerlukan daya tahan yang luar biasa, malah pelbagai bentuk latihan berat perlu dihadapi bagi menguji ketahanan fizikal dan juga mental para pelatih.

Baginda turut mengingatkan semua warga Paskal supaya persiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental, serta memastikan sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

80 pelajar tonton filem Paskal sempena Program Patriot Muda 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 12 NOV: Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diberi peluang menonton filem Paskal, sempena Program Patriot Muda 2018, di TGV Cinemas Bukit Tinggi, di sini, Sabtu lalu.

Siri pertama program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN itu membabitkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun serta diiringi guru masing-masing.

Ahli Dewan Negerinya, Zawawi Mughni berkata, program terbabit bertujuan mendekatkan anak muda tempatan terhadap perjuangan besar yang dicurahkan anggota keselamatan demi menjaga keharmonian negara.

“Saya mahu anak-anak muda ini dapat menghayati perjuangan atau kerja yang dilakukan oleh wira-wira kita di maritim dan mengawal keselamatan negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan aktiviti kuiz kepada semua pelajar terbabit sejurus tamat menonton filem berkenaan.

Katanya, acara itu menjadi sebahagian daripada pengisian Program Patriot Muda 2018.

“Sambutan diterima amat baik dan menggalakkan, bahkan mereka turut memberikan maklum balas positif termasuk daripada pihak sekolah.

“Saya yakin lebih banyak program susulan akan diadakan kepada pelajar-pelajar ini, pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
NASIONAL SENI

Panglima TLDM puas hati tayangan filem ‘Paskal The Movie’

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin amat berpuas hati dengan sentuhan pengarah filem Paskal The Movie, Adrian Teh kerana berjaya menghasilkan filem itu, setelah 42 tahun berkhidmat dengan TLDM.

Ahmad Kamarulzaman yang akan bersara pada akhir November, turut menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kerana menitahkan kejayaan misi menumpaskan lanun Somalia di Teluk Aden itu wajar dibukukan dan jika boleh dibuat filem agar ia terpahat dalam sejarah TLDM.

“Saya ucapkan syabas kepada rakan strategik TLDM iaitu syarikat AsiaTropical khasnya pengarah dan penerbit filem ini kerana semua pembikinan filem berkenaan adalah dirancang dan mengambil peluang latihan-latihan yang diadakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berbangga filem itu telah menembusi pasaran luar negara bermula dengan Singapura dan bakal ditayangkan di beberapa buah negara termasuk Brunei, Turki dan juga China.

“Syabas kepada anggota Paskal TLDM yang sama-sama terlibat membuat aksi berbahaya dan khas yang memerlukan mereka terlatih dan berkelayakan melakukannya kerana mereka ini adalah pelakon di belakang tabir,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata filem ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada filem tempatan kerana berjaya menyuntik semangat patriotisme.

Paskal ataupun Pasukan Khas Laut yang ditubuhkan dengan rasmi pada 1 Okt 1982 merupakan pasukan operasi khas TLDM yang antaranya terlibat dalam perang gerila, antipengganas, menyelamatkan tebusan dan lain-lain.

Filem Paskal the Movie yang diterbitkan dengan kos produksi RM10 juta merupakan filem tempatan termahal pernah diterbitkan. Filem arahan pengarah muda itu memaparkan dua insiden sebenar membabitkan PASKAL – Operation Dawn 8: Gulf of Eden dan peranan pasukan itu dalam United Nations Angola Verification Mission II.

Dalam Operation Dawn 8: Gulf of Eden yang dramatik pada 20 Jan 2011 pasukan Paskal berjaya mematahkan percubaan lanun Somalia merampas kapal Malaysia MT Bunga Laurel yang membawa bahan kimia di Teluk Aden, berhampiran Yemen.

Filem itu menyaksikan kutipan box-office RM2 juta pada tayangan sulungnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Paskal tingkat jumlah pengambilan anggota hadapi ancaman maritim

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Bilangan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan ditingkatkan dua kali ganda daripada jumlah sedia ada bermula tahun ini.

Panglimanya Laksamana Pertama Anuar Alias berkata kekuatan pasukan elit itu, yang bilangannya dirahsiakan, perlu ditingkatkan berikutan ancaman semasa maritim yang dilihat semakin mencabar.

“Saya telah diarahkan untuk menambah jumlah kekuatan sedia ada dan pelbagai pendekatan dilakukan.

“Pendekatan saya adalah transformasi kursus asas komando. Daripada 25 sahaja yang berjaya bagi setiap pengambilan sebelum ini, kami boleh tingkatkan dengan transformasi sistem latihan yang kami laksanakan tanpa menjejaskan kualiti hasil yang kami mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Kolaborasi TLDM Hasilkan filem PASKAL’ terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Anuar berkata setiap anggota Paskal perlu melepasi tiga kursus iaitu kursus asas komando, kursus penyelam kapal dan kursus asas payung terjun yang memerlukan ketabahan dan jiwa yang kental.

“Kalau anggota tidak cukup tabah dan kental jiwa, selalunya mereka tidak boleh melengkapkan ketiga-tiga kursus ini jadi ada yang baru lulus dua kursus sudah menarik diri ataupun disebabkan masalah kesihatan selain kecederaan,” katanya.

Ditanya sama ada Paskal yang ditubuhkan pada 1 Ok 1982 akan pertimbangkan penglibatan anggota wanita, Anuar berkata setakat ini pihaknya belum bersedia namun ia boleh diusahakan bermula dengan penyelam wanita.

Filem Paskal, hasil inspirasi kisah sebenar bagi mengetengahkan kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada 1998 selain misi menyelamatkan kapal dagang MT Bung Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011, diharapkan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai pasukan itu, katanya.

Antara aset tentera yang dapat disaksikan menerusi filem itu termasuk kapal ronda (PV), bot tempur CV90, pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), Kapal Bunga Mas 5 di perairan pantai Timur Sabah, helikopter Fennec, pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal selam Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman, katanya.

Filem arahan Adrian Tan yang menjalani penggambaran di Lumut, Perak; Semporna, Sabah dan Mahgribi itu menampilkan pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

SUMBER: BERNAMA