Categories
SELANGOR

80 pelajar tonton filem Paskal sempena Program Patriot Muda 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 12 NOV: Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diberi peluang menonton filem Paskal, sempena Program Patriot Muda 2018, di TGV Cinemas Bukit Tinggi, di sini, Sabtu lalu.

Siri pertama program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN itu membabitkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun serta diiringi guru masing-masing.

Ahli Dewan Negerinya, Zawawi Mughni berkata, program terbabit bertujuan mendekatkan anak muda tempatan terhadap perjuangan besar yang dicurahkan anggota keselamatan demi menjaga keharmonian negara.

“Saya mahu anak-anak muda ini dapat menghayati perjuangan atau kerja yang dilakukan oleh wira-wira kita di maritim dan mengawal keselamatan negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan aktiviti kuiz kepada semua pelajar terbabit sejurus tamat menonton filem berkenaan.

Katanya, acara itu menjadi sebahagian daripada pengisian Program Patriot Muda 2018.

“Sambutan diterima amat baik dan menggalakkan, bahkan mereka turut memberikan maklum balas positif termasuk daripada pihak sekolah.

“Saya yakin lebih banyak program susulan akan diadakan kepada pelajar-pelajar ini, pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Azmin: Jangan terpedaya Umno mainkan lagu beri satu kerusi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 OGOS: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diingatkan tidak terpedaya dengan rayuan Umno supaya memberi mereka satu lagi kerusi DUN di Selangor.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemenangan Umno akan memberi isyarat yang salah kepada pengundi di kawasan lain.

“Walaupun ini hanya PRK tetapi ia memberi makna yang sangat besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Jangan terpedaya apabila Umno mainkan lagu hanya satu kerusi kerana walaupun kita menang besar di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi memberi kemenangan kepada Umno memberi isyarat pengundi boleh menerima perompak dan perasuah mewakili rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Grand Finale PRK Sungai Kandis di Padang Rakan Muda Taman Seri Andalas di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, pada PRU14 lalu pengundi telah membuktikan pendirian tegas menolak kleptokrat.

Katanya, tidak mungkin pengundi di Selangor memberi kemenangan sekiranya pemimpin Kerajaan Negeri mengamalkan rasuah.