Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bimbang sekatan eksport negara EU jejas pembelian vaksin

SHAH ALAM, 2 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kesatuan eropah (EU) menghormati hak negara membangun untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19.

Pasukan petugas imunisasinya berkata negara pengeluar vaksin perlu mematuhi kontrak ditandatangani negara lain dan tidak mengenakan sekatan eksport.

Menurut pasukan itu, semua pihak perlu bekerjasama menyelesaikan isu kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian.

“Kami risau keputusan terbaru EU mengenakan sekatan eksport terhadap vaksin yang dihasilkan negara tersebut selain kemungkinan lahirnya semangat nasionalisme vaksin,” kata pasukan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) dan Dr Hatta Ramli (Lumut).

Ia turut dianggotai Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Norlela Ariffin (EXCO Kesihatan Pulau Pinang), Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Selangor) dan S Veerapan (EXCO Kesihatan Negeri Sembilan).

Pasukan itu turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan status dan kesan sekatan terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Covid-19 memandangkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan.

Jelasnya, hal itu membimbangkan berikutan negara dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini dan 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April.

“Faktor ini mungkin menyebabkan kelewatan program suntikan vaksin, justeru kerajaan perlu jelaskan perancangan untuk mengatasi cabaran ini serta pelan alternatif bagi mengawal jangkitan.

“Bagaimana kelewatan ini akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kita kepada syarikat farmaseutikal? Apakah jangka masa kerajaan dengan perkembangan terbaru ini?” soal pasukan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tubuh pasukan khas yakinkan rakyat terima vaksin

SHAH ALAM, 29 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menubuhkan Pasukan Petugas Imunisasi bagi membantu kerajaan meyakinkan segelintir masyarakat antivaksin.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi PAKATAN, Dr Dzulkefly Ahmad berkata semangat kerjasama antara parti perlu agar program imunisasi Covid-19 dapat dijayakan.

“Demi kepentingan rakyat dan masa depan negara, PAKATAN ingin melangkau jurang politik untuk bekerjasama dengan kerajaan. Malah, kami berharap langkah ini dapat menyakinkan rakyat dalam penerimaan imunisasi.

“Kami faham kesukaran kerajaan kendali program ini secara menyeluruh dalam masa yang singkat. Kejayaan atau kegagalan program itu akan menentukan kesihatan rakyat, keupayaan kapasiti kesihatan dan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Dzulkefly menyeru Kerajaan Persekutuan agar melibatkan wakil PAKATAN dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

“Penglibatan ini akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa Pelan Imunisasi Kebangsaan melangkau perbezaan politik dan mendapat sokongan seluruh negara,” jelasnya.

Anggota Pasukan Petugas Imunisasi PAKATAN terdiri daripada bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye serta empat ahli parlimen iaitu Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) Dr Mohd Hatta Ramli (Bandar Kuching) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Selain itu, turut terlibat tiga EXCO Kesihatan negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor), Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang) dan S Veerapan (Negeri Sembilan).