Categories
AGENDA NASIONAL

Amat penting kesan awal individu tidak bergejala Covid-19

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kejayaan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengenal pasti lapan individu tidak bergejala, bukti pentingnya mereka dikesan lebih awal menerusi Saringan Komuniti yang bersifat proaktif.

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kerana individu yang tidak bergejala (asymptomatic) adalah agen pembawa virus SARSCoV-2 atau Covid-19.

“Mengikut kajian terkini, replikasi virus dalam tubuh pesakit serta rembesan virus semasa batuk dan bersin, adalah maksima beberapa hari sebelum bergejala dan pada minggu pertama bergejala.

“(Sehubungan itu) Sangat mustahak untuk peribadi (pesakit tidak bergejala) ini dikesan awal secara Saringan komuniti yang bersifat proaktif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dr Dzulkefly berkata STFC menggunakan kaedah ‘Big Data Analytics’ dan kepintaran mesin untuk mengenal pasti peringkat risiko dalam zon merah untuk lebih bersasar.

“Teruskan usaha kita untuk memutuskan rantaian transmisi (Covid-19) sekali gus melandaikan keluk epidemik,” katanya.

Semalam Dato’ Menteri Besar berkata seramai 10 daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa pemeriksaan komuniti bersasar di bawah Inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor disahkan positif Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lapan daripada 10 kes positif tersebut adalah pesakit tidak bergejala.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zon merah, kuning terkawal, jangan ambil mudah

SHAH ALAM, 26 APRIL: Hulu Langat kekal sebagai mukim zon merah yang merekodkan kes tertinggi di Selangor dengan 171 kes dan 55 kes daripadanya aktif.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata keadaan zon merah dan zon kuning masih terkawal dan terjaga namun tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh diambil mudah dikhuatiri memberi kesan negatif.

“Jangkitan meluas boleh tercetus semula seandainya penjarakan sosial dan kebersihan diri dipandang ringan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Mengikut statistik Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, mukim Kajang di daerah Hulu Langat kedua tertinggi dengan 159 kes diikuti Klang 123 kes.

Mukim Sungai Buloh kekal 119 kes sementara 113 kes di Damansara walaupun dua individu disahkan positif di daerah Petaling hari ini.

Daerah Gombak yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Selangor sehingga jam 12 tengah hari dengan empat kes masih mengekalkan mukim Batu dan Hulu Kelang sebagai zon merah apabila kedua-duanya mencatatkan 50 kes.

Categories
SELANGOR

Selangor catat satu kematian akibat Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 25 APRIL: Satu kematian akibat Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor.

“Zon merah dan zon kuning terkawal namun ada satu kematian hari ini. Moga keluarga mangsa tabah.

“Juga berita melaporkan orang di zon hijau ambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan. Kita tidak tahu jika ada pesakit tidak bersimptom (asymptomatic) di sekeliling,” tulisnya dalam Twitter di sini, malam ini.

Hari ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dalam sidang medianya berkata dua kematian direkodkan di Malaysia hari ini akibat wabak itu menjadikan jumlah yang maut sehingga kini adalah 98.

Selangor mencatatkan 15 kematian manakala 1,108 pesakit pulih dan dibenarkan keluar wad setakat ini.

Daripada 1,388 keseluruhan kes direkodkan di negeri ini, 13 adalah kes dari luar negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Angka kes Covid-19 turun tapi ramai belum disaring

SHAH ALAM, 25 APRIL: Di sebalik penurunan angka kes Covid-19 pada peringkat persekutuan mahupun Selangor kebelakangan ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan masih ramai belum melakukan saringan.

Justeru, pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menasihati orang ramai supaya terus berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus dari kalangan individu tiada gejala.

“Mungkin kita gembira melihat kes positif Covid-19 semakin menurun, namun kita jangan lupa bahawa masih ramai di luar sana yang belum melakukan saringan,” katanya dalam wawancara bersama SelangorKini dan Selangor Journal.

Namun, Dr Dzulkefly percaya pendekatan Kerajaan Selangor melakukan ujian besar-besaran ke lokasi bersasar melalui Saringan Komuniti termasuk pandu lalu sebagai inisiatif terbaik.

“Saringan pandu lalu telah membantu meningkatkan bilangan orang yang melakukan saringan Covid-19, ini yang mahu kita tekankan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata program saringan Covid-19 dibantu penggunaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti dan meramal sebaran wabak menerusi sumber maklumat.

Menekankan sumber Kerajaan Negeri terhad, bekas menteri kesihatan berkata Kementerian Kesihatan wajar berkongsi data klinikal supaya pendekatan lebih bersasar dapat dijalankan pada peringkat negeri.

“Malah pendekatan atau kerjasama pintar melibatkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menjadi amat penting selepas Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berakhir terutama apabila ekonomi negeri kembali dibuka,” katanya.

Sebanyak 5,400 saringan dibuat melalui Saringan Komuniti kendalian Selcare Clinic yang dilancarkan pada 11 April lalu.

Saringan pandu lalu di sini, Gombak dan Hulu Selangor antara 18 hingga 23 April lalu juga mendapat sambutan menggalakkan.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, Selangor mencatatkan 1,387 kes terkumpul, dengan kadar infeksi 0.21, sejajar dengan purata kadar infeksi nasional pada 0.17.

Manakala, statistik pada 19 April lalu menunjukkan 71 peratus pesakit sembuh, dengan kadar mortaliti terkini pada 1.29%, sejajar dengan kadar mortaliti nasional pada 1.68%.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hanya satu kes baharu di Selangor

SHAH ALAM, 25 APRIL: Hanya satu kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di Selangor hari ini sekaligus menunjukkan penurunan drastik berbanding 18 semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor di Twitter berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi negeri ini mencatatkan 1,388 kes keseluruhannya.

“Kes ‘single digit’ (digit tunggal) lagi. Seperti biasa anda tetap perlu konsisten, patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jaga kebersihan diri,” tulisnya.

Malaysia mencatatkan 51 kes baharu positif wabak itu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 5,742 kes.

Seramai 99 pesakit pulih menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh adalah 3,762 individu manakala maut meningkat kepada 98 orang susulan dua kematian direkodkan hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19 beransur pulih, terus patuh PKP – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 24 APRIL: Malaysia berjaya mengekang kes positif Covid-19 dari terus meningkat selepas lebih 30 hari melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia dibuktikan menerusi keadaan yang beransur pulih di negeri ini apabila hanya satu mukim sahaja masih berada dalam zon merah sehingga 22 April lalu.

Sementara kes positif di Kajang juga dikesan bertambah baik dan berubah menjadi kawasan zon kuning.

“Oleh itu, orang ramai diharap dapat mengekalkan tahap disiplin sedia ada dengan terus patuh kepada PKP kerana perjuangan ini masih belum selesai.

“Bersama-sama kita terus memikul peranan ini agar dapat segera membebaskan kawasan kediaman kita daripada terus dibelenggu dengan kes-kes Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, STFC melaporkan Selangor masih mengekalkan satu mukim sahaja sebagai zon merah iaitu di Hulu Langat.

Secara keseluruhan jumlah kes terkumpul jangkitan Covid-19 di negeri ini adalah 1,369 termasuk 12 kes baharu dicatatkan semalam.

Kes aktif pula iaitu yang sedang dirawat adalah seramai 264 sementara 14 kematian dicatatkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

12 individu sedang dikuarantin positif Covid-19

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 12 kes positif Covid-19 di Selangor semalam adalah mereka yang pulang dari luar negara dan berada di pusat kuarantin, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiada kes baharu membabitkan wabak itu berlaku di Selangor sejak kelmarin.

“12 kes positif Covid-19 di Selangor hari ini (semalam) adalah kes luar negara iaitu mereka yang pulang dari luar negara dan berada di pusat kuarantin.

“Kes domestik adalah sifar hari ini (semalam) dan angka tersebut telah dicatat sejak semalam (kelmarin). Terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tulisnya di Twitter malam tadi.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan sebanyak 1,369 kes secara keseluruhan di Selangor sehingga semalam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Saringan komuniti bersasar kesan pembawa Covid-19

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menjalankan saringan komuniti bersasar untuk mengesan pembawa wabak Covid-19, kata pengerusinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia langkah penting bagi memastikan warga emas diberi tumpuan khusus supaya rawatan awal dapat dilakukan, sekali gus menyelamatkan nyawa mereka.

“Alhamdulillah, atas kesedaran tinggi rata-rata kumpulan warga emas disantuni memberikan kerjasama cukup baik kepada pasukan petugas sewaktu saringan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, maklum balas positif itu menjadi suntikan semangat kepada STFC untuk terus menggempur Covid-19 di neger ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dua kelompok warga emas dikesan berdepan risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti wabak tersebut.

Dua kelompok itu ialah mereka berusia antara 55 hingga 59 tahun dan 60 hingga 64 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penurunan kes Covid-19 di Selangor permulaan baik – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 16 APRIL: Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan penurunan kepada hanya 17 kes baharu Covid-19 di Selangor merupakan permulaan baik bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ini kerana penurunan berbanding 50 kes sebelumnya, menunjukkan warga negeri memandang serius mengenai wabak tersebut.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Selangor adalah 1,316. Lebih menarik, bilangan kes sembuh pula dua kali ganda melebihi kes baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk data STFC setakat jam 12 tengah hari semalam.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly memohon orang ramai supaya terus mematuhi arahan PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Patuhi PKP fasa ketiga, insyaAllah kita mampu depani ujian getir ini bersama-sama. Kita pasti menang,” katanya.

Pada 10 April lalu, STFC memulakan Saringan Komuniti besar-besaran di Hulu Langat bagi mengesan individu dijangkiti virus tersebut.

Sebanyak 400 hingga 500 ujian saringan akan dilaksanakan sehari supaya lebih banyak kes dapat dikenal pasti terutama melibatkan golongan berisiko tinggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 di Selangor terkawal, terus patuh perintah kawalan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Selangor merekodkan 35 kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi, mengikut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menerusi Twitter STFC, jumlah keseluruhan kes di negeri ini adalah 1,183, manakala kes di seluruh negara 4,530.

“Walau ada kenaikan namun kadar terkawal. Apa pun jangan leka, disiplin patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Covid-19 berjaya ditewaskan,” katanya.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka bilangan pesakit Covid-19 sedang dirawat turun selepas PKP fasa kedua tamat 14 April ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2,462 kes hari ini dijangka turun kepada 2,033 kes minggu depan, sekali gus menunjukkan tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Saringan Covid-19 besar-besaran di lokasi terpilih Jumaat ini

SHAH ALAM, 8 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) akan menjalankan saringan wabak itu secara besar-besaran di beberapa lokasi terpilih bermula Jumaat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,000 hingga 1,200 orang disasar menjalani ujian berkenaan susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Strategi kita adalah menambah jumlah ujian saringan berdasarkan lokasi yang akan diputuskan namun beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk melakukan ujian ini atas nasihat Jabatan Kesihatan Selangor.

“Semakin banyak ujian saringan dibuat kita akan dapat mengesan lebih ramai orang bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan,” katanya selepas pelepasan Konvoi Khidmat Bantuan Belia Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan STFC membantu melengkapkan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menghadapi penularan Covid-19 di negara ini.

“Pasukan petugas ini menggariskan beberapa panduan untuk kegunaan premis-premis perniagaan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka perlu mematuhi kriteria supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di premis yang beroperasi,” katanya.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan sebanyak 1,020 kes positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,963.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sepang berisiko jadi zon merah kelima di Selangor