Categories
EXCO SELANGOR

Negeri peruntuk RM150,000 pelihara hutan bakau

SHAH ALAM, 1 DIS: Program pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bakau diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM150,000 melalui bajet pembangunan negeri.

Dana itu digunakan bagi penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Pulau Tonggak seluas dua hektar dan rawatan pokok bakau di Hutan Simpan Jugra, kata EXCO alam sekitar.

“Peruntukan juga bagi menyelenggara petak tanaman Rhu Pantai di Hutan Simpan Kapar Tambahan dan perolehan anak pokok bakau bagi penanaman oleh Jabatan Perhutanan Selangor,” kata Hee Loy Sian.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status program berkenaan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang memaklumkan kerajaan persekutuan turut menyalur peruntukan berjumlah RM82,050 bagi menjayakan program sama.

Jelasnya, dana terbabit untuk melaksanakan perkhidmatan membekal dan menanam anak benih pokok bakau serta kerja lain yang berkaitan.

Categories
SELANGOR

Hutan Paya Bakau Gedung Indah dahulu cantik sekarang menyedihkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang digesa bertindak tegas dan pantas terhadap pihak bertanggungjawab membuang sampah haram di hutan paya bakau berhampiran Taman Teluk Gedung Indah, Klang.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, keadaan ini bukan sahaja mencemarkan keindahan kawasan semula jadi itu, malah menimbulkan bau busuk sehingga mengganggu penduduk di kawasan terbabit.

“Dahulu hutan paya bakau ini sangat cantik tetapi sekarang keadaannya menyedihkan dan oleh kerana tiada tindakan menyebabkan mengeluarkan bau yang busuk,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Azmizam berharap, selain mengenakan denda yang tinggi tindakan tegas lain perlu dikenakan seperti merampas tanah terlibat.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memberi jaminan akan memberi perhatian isu terbabit.

Bagaimanapun katanya, pihak PTD Klang perlu mematuhi prosedur tertentu dengan menyerahkan notis-notis diperlukan sebelum tindakan merampas tanah diambil.

Categories
SELANGOR

1,000 bakau kurap ditanam pelihara alam

Oleh : AFIX REDZUAN

PELABUHAN KLANG, 26 NOV: Kira-kira 1,000 anak pokok bakau kurap (Rhizophora) berjaya ditanam Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang di Beting Labu Lemak di sini bagi memastikan pengekalan hutan paya laut terus terpelihara.

Program Pemuliharaan Alam Semulajadi (Tanam Bakau) dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) itu membabitkan 100 sukarelawan.

Pegawai Daerah, Mohd Zainal Mohd Nor, berkata usaha itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang prihatin dalam pemeliharaan kawasan hutan dan alam sekitar.

ALAM SEKITAR“Jika pokok bakau itu dapat hidup dengan baik, ia akan bertindak sebagai pelindung kepada kawasan Bagan Hailam dan Bagan Taucu kampung sekitar apabila berhadapan cuaca buruk atau ribut kencang,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, Pengarah JPNS, Dr Mohd Puat Dahalan, berkata zon pemeliharaan hutan paya laut diwujudkan memastikan baki hutan paya laut terjaga dan tidak ditebang atau ditukar untuk guna tanah lain seperti pertanian dan penempatan di samping perancangan pengurusan hutan paya laut secara mampan.

Hutan simpanan kekal di Selangor bertambah dari 15,090 hektar kepada 18,998 hektar pada 2009 termasuk Kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal pada 6 Mei 2009 seluas 2,365 hektar yang asalnya merupakan tanah kerajaan.

Semenjak 2010 sehingga kini, JPNS tidak mengeluarkan sebarang pewartaan keluar kawasan hutan simpanan kekal hutan paya laut yang bermaksud penebangan pokok bakau adalah tidak dibenar sama sekali.

-nR-