Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD: Kesan 419 kes positif di Mentari Court

PETALING JAYA, 13 JULAI: Sebanyak 419 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan penduduk Mentari Court, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak 1 Julai hingga semalam.

Pegawai daerah Petaling berkata daripada jumlah kes positif itu, seramai 68 individu dirujuk ke hospital serta pusat kuarantin manakala pesakit lain menjalani kuarantin di rumah dengan dipantau jabatan kesihatan.

“Secara keseluruhan 9,054 penduduk diuji menggunakan Rapid Test Kit (RTK). Daripada jumlah ini, seramai 5,797 menjalani pemeriksaan lanjut menerusi ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

“Langkah melaksanakan PKPD membolehkan ujian pengesanan Covid-19 dijalankan secara bersasar serta mengelak penularan wabak,” kata Datuk Johary Anuar kepada media berhubung penamatan PKPD kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 6,178 penduduk Mentari Court menerima suntikan vaksin termasuk 76 individu menerima dua dos sepanjang tempoh PKPD.

“Baki 2,876 individu yang tidak disuntik dalam program ini terdiri mereka yang sudah menerima vaksin atau menerima janji temu suntikan, berusia kurang 18 tahun serta mempunyai masalah kesihatan.

“Selain itu sepanjang 12 hari PKPD, seramai 395 penduduk diberi perkhidmatan rawatan melibatkan pelbagai kes,” katanya.

PKPD Pangsapuri Mentari Court PJS8 ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 14 Julai.

Penduduk Mentari Court juga menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO, rakan sedia 120 juta kit ujian pantas kesan Covid-19

GENEVA, 29 SEPT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakan pada Isnin berkata akan menyediakan 120 juta kit ujian pantas Covid-19 kepada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, lapor agensi berita Xinhua.

Kit ujian itu boleh memberikan keputusan dalam masa kira-kira 15-30 minit berbanding sebelum ini beberapa hari atau jam, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata demikian pada taklimat media bersama pertubuhan dan rakan kongsi termasuk Yayasan Inovatif Diagnosis, Dana Global, Unitaid dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Afrika.

Projek ini memungkinkan pembangunan pengujian, terutamanya di kawasan sukar dilawati atau daerah pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan makmal atau pekerja kesihatan terlatih mencukupi.

Menurut WHO, kit ujian itu berharga US$5 per unit, jauh lebih murah berbanding kit ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

WHO berkata perjanjian antara dua pengeluar dan Yayasan Bill & Melinda Gates, boleh menyumbang sebanyak 120 juta kit ujian yang lebih canggih dan mudah digunakan, dalam tempoh enam bulan.

-BERNAMA