Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Darah Negara lanjut waktu operasi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Pusat Darah Negara (PDN) melanjutkan waktu operasinya sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan penderma darah beragama Islam untuk menderma darah selepas berbuka puasa.

Dalam tulisan dikongsikan PDN melalui Facebooknya, PDN Jalan Tun Razak akan beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 9 malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad serta cuti umum pula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Bagi PDN Donation Suite di Midvalley Megamall, ia akan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 9 malam sepanjang Ramadan ini.

Suite Derma Darah Puspanita di Presint 10, Putrajaya pula akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu hingga Rabu dan 1 tengah hari hingga 8.30 malam setiap Khamis dan Jumaat.

“Penderma darah bukan beragama Islam diseru untuk tampil menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan stok darah kekal selamat,” menurut hantaran tersebut.

Makanan berbuka disediakan di Puspanita (tertakluk kepada 15 penderma terawal) dan PDN, Jalan Tun Razak (tertakluk 30 penderma terawal).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Stok darah Kumpulan B kurang, masyarakat digesa tampil derma

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Pusat Darah Negara (PDN) menyeru orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai darah Kumpulan B, supaya tampil menderma darah bagi meningkatkan stok darah berkenaan.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Noryati Abu Amin berkata bekalan darah daripada kumpulan itu menyusut kerana kegusaran orang ramai tampil menderma darah susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Orang ramai digalakkan untuk terus konsisten menderma darah dan tidak menjadikan peningkatan kes Covid-19 pada masa kini, sebagai penghalang untuk berbuat demikian.

“Ini amat penting bagi menampung keperluan bekalan darah setiap hari termasuk daripada Kumpulan B dan stok sedia ada susut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah tidak perlu khuatir kerana pihaknya sentiasa mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak itu.

Dr Noryati berkata pihaknya juga akan memastikan proses menderma darah yang dilakukan ke atas setiap individu itu selamat.

“Memang sebelum berlakunya penularan wabak ini, kita di PDN memang mempunyai SOP yang ketat sebelum membenarkan mana-mana individu menderma darah.

“Kita akan pastikan penderma sihat 100 peratus dan pendekatan itu juga kita guna sehingga kini, jadi mana-mana individu yang tidak sihat contohnya demam, memang kita tidak membenarkan mereka untuk menderma darah,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga tidak perlu risau kerana Covid-19 telah dikenal pasti tidak akan berjangkit melalui pemindahan darah.

Mengulas lanjut, Dr Noryati berkata sehingga hari ini PDN mempunyai kira-kira 2,000 stok beg darah dan 600 beg diagihkan untuk menampung keperluan seluruh hospital di Lembah Klang dalam sehari.

“Buat masa ini stok bekalan darah masih mencukupi namun kita bimbang sekiranya orang ramai takut dan khuatir untuk tampil menderma darah kerana peningkatan kes Covid-19, bekalan darah akan berada pada paras kritikal.

“Kita tidak mahu ini berlaku kerana kita memerlukan bekalan yang mencukupi bagi menampung kes luar jangka seperti yang membabitkan kemalangan dan pembedahan di mana pesakit memerlukan bekalan darah segera,” katanya.

-BERNAMA