Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penduduk maklum roboh struktur demi jayakan projek tebatan banjir Sungai Pelempas

SHAH ALAM, 3 SEPT: Sebanyak 20 struktur atas rizab sungai di Desa Subang Perantau 2 di sini dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling hari ini bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas.

Sementara dua lagi struktur di situ, yang dikenali Plot B diberikan penangguhan perobohan selama dua minggu bagi membolehkan pemilik memindahkan barangan.

Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 selepas penangguhan bagi membolehkan penduduk meraikan Aidiladha.

Plot B merupakan baki daripada 45 struktur yang berada di tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Rumah di atas rizab Sungai Pelempas, Shah Alam yang dirobohkan Pejabat Daerah Petaling pada 3 September 2020 bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas. Foto oleh FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Operasi yang bermula pada jam 7.30 pagi tadi berjalan lancar dan berakhir sekitar 12.30 tengah hari dengan penglibatan lebih 200 anggota pelbagai agensi termasuk polis dan Tenaga Nasional Berhad.

Perobohan di Plot A dan C telah dilaksanakan pada 9 dan 10 Jun lalu.

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas bernilai RM15.13 juta membabitkan kerja-kerja naik taraf Sungai Pelempas sepanjang 2.1km dibuat bagi menangani masalah banjir yang kritikal di daerah Petaling dengan kekerapan lebih dua kali setahun.

Rumah di atas rizab Sungai Pelempas, Shah Alam yang dirobohkan Pejabat Daerah Petaling pada 3 September 2020 bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas. Foto oleh FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berikut kronologi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas:

1) Projek yang bermula pada 13 April 2016 sepatutnya disiapkan pada 11 Oktober 2017

2) Kedudukan struktur sedia ada menghalang pelaksanaan projek hingga mengakibatkan lanjutan masa (EOT) sebanyak empat kali, terakhir 11 Februari 2021

3) Penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara 1965 dibuat pada 30 Disember 2019 dan 13 Mac 2020

4) Lembaga Zakat Selangor mengadakan bancian penduduk Plot A, B dan C pada 17 November 2019

5) Penduduk diberikan surat tawaran Rumah Selangorku pada 10 Disember 2019

6) Penyampaian surat panggilan kepada penduduk supaya hadir mengambil cek bayaran ex-gratia pada 3 Jun 2020

7) Penduduk hadir mengambil cek bayaran ex-gratia pada 5 dan 9 Jun 2020 di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dengan peruntukan keseluruhan RM392,000

8) Perobohan Plot A dan C dilakukan pada 9 dan 10 Jun manakala Plot B dibuat 3 September

Categories
SELANGOR

Penduduk harap sampah haram Taman Damai diatasi segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penduduk berharap masalah longgokan sampah di tapak pembuangan haram di Damai Utama 7, Taman Damai, Subang Jaya, diatasi segera.

Ini kerana masalah itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk sekitarnya yang terpaksa menghidu bau busuk akibat pembuangan sampah dalam skala besar.

Seorang pengguna laman sosial dikenali sebagai Zaimi, dipercayai penduduk di kawasan itu memberi reaksi positif terhadap tindakan Exco Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa menjalankan tinjauan serta siasatan di situ, hari ini.

“Terima kasih semua kerana menjalankan pemeriksaan. Kawasan persekitaran terutama sebelah malam berbau busuk.

“Tak pasti sama ada dari tempat pembuangan sampah ini atau dari logi rawatan berhampiran. Masalah lalat yang agak banyak,” luahnya melalui akaun twitternya, @ahmadzaimi.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han bersama petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Daerah Petaling meninjau lokasi yang tercemar dengan longgokkan sampah haram.

Tinjauan mendapati sejumlah sampah dibuang hingga memasuki dan mengotorkan tasik di kawasan itu.

“Tindakan dilakukan setelah MPSJ menerima aduan penduduk sekitar kawasan itu lebih kurang dua minggu lalu.

“Siasatan dijalankan MPSJ dan Pejabat Daerah Petaling dengan notis serta amaran diberikan kepada pemilik tanah.

“Jika tiada tindakan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak merampas kawasan tanah ini,” katanya.

Pemilih tanah, sebuah syarikat pemaju dan seorang individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap satu dua minggu lalu ekoran kesalahan itu serta operasi pembersihan dikatakan akan dijalankan selepas ini.

Difahamkan pemilik tanah sudah memohon kebenaran MPSJ bagi tujuan pembangunan kawasan seluas kira-kira empat ekar itu.

 

.