Categories
AGENDA NASIONAL

Pelabuhan Klang, PTP tersenarai 15 pelabuhan paling sibuk di dunia tahun lalu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), yang disenaraikan antara 20 pelabuhan utama dunia, berjaya melakar pencapaian terbaik dengan jumlah kontena masing-masing sebanyak 13.64 juta dan 11.2 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata bagi Pelabuhan Klang, prestasi itu adalah pencapaian terbaik sepanjang tempoh penubuhannya, meskipun terkesan akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor pada akhir 2021.

Beliau berkata bagi PTP pula, jumlah TEU itu juga dianggap luar biasa apabila merekodkan kenaikan sebanyak 14 peratus berbanding prestasi tahun sebelumnya.

“Kita berasa kagum, dalam senarai 20 pelabuhan terbesar dunia, dua daripadanya iaitu Pelabuhan Klang dan PTP tersenarai sebagai 15 pelabuhan paling sibuk. Rekod ini menunjukkan kita (Malaysia) berdaya saing dan berjaya tingkatkan pengurusan kapasiti,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Wee berkata kerajaan sentiasa meneliti potensi setiap pelabuhan di negara ini termasuk melakukan perluasan pelabuhan susulan keperluan untuk menguruskan jumlah kenaikan TEU setiap tahun.

Sementara itu, semasa berucap di MMW 2022, Wee berkata industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan adalah cara yang baik untuk memastikan kejayaan sektor maritim pada era kebangkitan pascapandemik.

Beliau berkata peserta industri maritim perlu bekerjasama dalam menggunakan teknologi baharu dan menggalakkan amalan perkapalan hijau untuk mencapai matlamat tersebut.

Katanya, seiring dengan tema yang dipilih Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk Hari Maritim Sedunia 2022 iaitu Teknologi Baharu untuk Perkapalan yang Lebih Hijau, ia berperanan sebagai peluang untuk menunjukkan perlunya menyokong peralihan hijau dalam sektor maritim kepada masa depan yang mampan.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, kami memerlukan perkongsian kukuh seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menekankan semua pihak perlu terlibat dengan berkongsi dan menguar-uarkan maklumat mengenai amalan terbaik di samping untuk mengakses sumber dan pengetahuan umum,” katanya.

MMW 2022 yang bermula hari ini hingga 24 Februari adalah platform bagi pengawal selia dan peserta industri maritim meneroka pendekatan baharu dan membangunkan strategi berkesan untuk berkembang dalam normal baharu serta pulih daripada krisis pandemik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

110 kontena sisa toksik EAF dari Romania tersadai di Pelabuhan Tanjung Pelepas

ISKANDAR PUTERI, 19 JULAI: Sebanyak 110 unit kontena berisi bahan buangan debu jenis “electric arc furnace” (EAF) berasal dari Romania dikesan ditinggalkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bulan lepas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata penemuan bahan buangan terjadual berstatus transit seberat 1,864 tan itu dilaporkan oleh pihak PTP pada 3 Jun dan kemudiannya disahkan sebagai bahan buangan terjadual oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15 Jun.

“Hasil siasatan mendapati maklumat dalam borang deklarasi tidak sepertimana yang terkandung dalam kontena berkenaan (sebelum ini diisytihar membawa pekatan zink). JAS selaku pihak berkuasa Konvensyen Basel tidak pernah memberikan kelulusan dan menerima notifikasi daripada pihak pengeksport untuk buangan tersebut transit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kontena berkenaan di Wisma Kastam PTP, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Zaini Ujang, Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta pihak pengurusan PTP.

Menurut Tuan Ibrahim, bahan buangan debu EAF diklasifikasikan sebagai buangan toksik dan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW104 di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling.

Justeru, beliau berkata pihak JAS memaklumkan pihak berkuasa Konvensyen Basel bagi Romania untuk urusan penghantaran balik 110 unit kontena ke negara asal serta pihak Interpol untuk siasatan lanjut.

“Saya ingin menegaskan sebagai ahli kepada Konvensyen Basel, Malaysia komited untuk memenuhi sepenuhnya obligasi di bawah konvensyen ini,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini, terdapat 28 kes pengimportan haram buangan terjadual yang berjaya dikesan dan dipatahkan oleh JAS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa pelabuhan.

“Penemuan bahan buangan terjadual jenis debu EAF yang hanya transit di Malaysia sebelum dijadualkan ke Indonesia itu, merupakan penemuan terbesar dalam sejarah Malaysia,” kata beliau.

Katanya, bahan buangan terjadual jenis EAF yang dihasilkan daripada industri berasaskan besi dan keluli mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zink, ferum, kromium, kadmium dan plumbum.

“Jika tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur tertentu, akan menyebabkan kesan buruk bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

– BERNAMA