Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS peruntuk RM6 juta sedia tablet, data kepada 7,000 pelajar asnaf

SHAH ALAM, 5 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM6 juta bagi menyumbangkan tablet dilengkapi data internet kepada 7,000 pelajar dari keluarga asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata penerima dipilih melalui semakan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi mengenal pasti pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Menurutnya, bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) itu bagi meringankan beban keluarga asnaf dan memudahkan pembelajaran secara dalam talian.

“Setiap pelajar bukan sahaja menerima tablet malah data internet RM30 sebulan yang pembayarannya dikreditkan ke akaun ketua keluarga asnaf atau baucar tunai.

“Pada masa ini, proses penghantaran tablet ini telah dilaksanakan pembekal bermula akhir September ke alamat rumah pelajar asnaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Pada 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP itu kepada kepada asnaf dan golongan B40 terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 19 inisiatif disediakan di bawah ZSP yang memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

7,000 pelajar asnaf dapat tablet, data percuma sumbangan LZS

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 7,000 pelajar asnaf negeri ini menerima tablet berserta data internet percuma sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Inisiatif bawah Zakat Selangor Peduli berjumlah RM6 juta khusus buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi LZS, alat peranti itu diedar mulai bulan ini hingga Disember manakala data internet RM30 sebulan diberi hingga Mac tahun depan.

“Insya-Allah dengan sumbangan ini pelajar asnaf dapat terus melakar kejayaan dengan lebih banyak pada masa akan datang,” kata agensi itu.

Menurut poster yang dimuat naik di platform sama, usaha itu bagi meringankan beban pelajar dan keluarga dalam mengadaptasi pembelajaran di rumah sebagai norma baharu.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan sebanyak RM69.3 juta bagi menjayakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli untuk membantu golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif secara berperingkat sehingga Disember tahun ini dijangka memanfaatkan seramai 59,322 penerima dan 431 institusi seluruh negeri.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sumbang lebih RM90,000 bantu pelajar asnaf di Selangor

SHAH ALAM, 29 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyumbang RM96,500 menerusi program ‘Kasihku Zakat Selangor’ untuk pembangunan pendidikan pelajar asnaf di Selangor.

LZS dan PTPTN dalam satu kenyataan bersama memaklumkan daripada jumlah sumbangan zakat itu, RM50,000 diperuntukkan untuk Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) manakala RM46,500 bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Simbolik sumbangan dalam bentuk replika kad disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop dalam satu majlis ringkas.

Kesemua peruntukan itu akan diagihkan kepada setiap penerima dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“Sebanyak 500 anak asnaf terdiri daripada 100 pelajar pra sekolah, 150 pelajar sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah bagi Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100 setiap seorang.

“Manakala 155 pelajar bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula akan menerima simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap seorang,” menurut kenyataan itu.

Bait Al-Hasanah yang diperkenalkan LZS pada tahun 2007 membawa misi untuk membangunkan generasi kedua dalam kalangan asnaf fakir dan miskin bagi menjamin setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti seterusnya membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Dasuki berkata sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi pendorong kepada anak-anak asnaf belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam hidup sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan. Bantuan dalam bentuk akaun SSPN-i diberikan sebagai tabungan awal bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Saipolyazan pula berkata sehingga bulan lepas, 30 syarikat menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi menyantuni asnaf menerusi pakej bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

“Dalam suasana impak pandemik Covid-19, LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat pengeluar zakat demi menyantuni kelangsungan kehidupan asnaf yang semakin meningkat jumlahnya,” katanya.

-BERNAMA