Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan tablet mudahkan lima beradik yatim piatu ikuti PdPR

SHAH ALAM, 3 NOV: Sumbangan tablet kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 akan dimanfaat untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bapa saudara mereka, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, empat anak saudaranya berkongsi komputer riba kepunyaan arwah bapa mereka untuk belajar dalam talian.

“Mereka mempunyai telefon bimbit sendiri tetapi sudah lama dan sering kehabisan bateri.

“Dengan adanya sumbangan tablet dan kad sim percuma, mereka tidak perlu lagi berkongsi dan kos membeli data juga berkurangan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kerana sudi memberi sumbangan tersebut.

Semalam, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam dan Hannan Humaira, tiga, yang kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Manakala, ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir pada 8 Oktober lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek Abdul Hamid Basirun, 67 dan Kintan Sulaiman, 63.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk lebih RM80,000 agih tablet kepada penghulu, mudah urusan kerja

SHAH ALAM, 20 OKT: Sejumlah RM81,500 diperuntuk bagi agihan tablet beserta kad SIM kepada 57 penghulu mukim negeri ini, kata EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.

Borhan Aman Shah berkata pemberian tablet kepada penghulu mukim  diyakini dapat memberi manfaat dan membantu memudahkan urusan harian.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, usaha sejak awal tahun dan terima kasih kepada MBI. Dalam keadaan pandemik semua memerlukan tablet dan komputer riba kerana sering melakukan mesyuarat secara hibrid.

“Selain mesyuarat, penghulu juga dapat memasukkan data-data, program Kerajaan Negeri serta menyimpan pelbagai laporan,” katanya ditemui pada majlis penyampaian tablet kepada penghulu di Foyer Bangunan SUK di sini hari ini.

Tambah Borhan, pihaknya berharap penghulu dapat memanfaatkan penggunaan tablet dengan sebaiknya untuk menyampaikan program dan dasar Kerajaan Negeri.

Terdahulu, seramai 57 penghulu mukim di Selangor menerima tablet dan kad SIM percuma sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB agih 57 tablet, kad sim kepada penghulu mukim Selangor

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 57 penghulu mukim di Selangor menerima tablet dan kad sim percuma sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu majlis di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Amirudin dalam ucapan berkata tanggungjawab penghulu dahulu dan kini berbeza mengikut peredaran zaman serta berubah fasa demi fasa.

“Jika dahulu tugas penghulu mendamaikan kampung, lesen, permit, kebenaran untuk penguatkuasaan tertentu dan keharmonian, namun kini menjurus kepada pentadbiran dan mengurus bencana.

“Penghulu kini banyak menguruskan aspek-aspek berkaitan data, maklumat dan kebarangkalian yang menjurus ke arah proses digitalisasi yang memerlukan kemudahan,”katanya.

Amirudin bagaimanapaun berkata kemudahan teknologi penggunaan tablet hanya 25 peratus tetapi perkara utama adalah bagaimana penghulu hendak menggunakannya untuk manfaat rakyat.

“Secara keseluruhan sumbangan ini kecil tetapi mengorak peluang besar untuk proses digitalisasi dalam penjawat awam termasuk penghulu kerana mereka juga mempunyai balai sendiri dan bergerak dalam komuniti setiap hari.

“Mari kita usaha sama-sama membangunkan negeri dan memastikan Selangor pulih selepas dilanda pandemik Covid-19 yang tidak pernah dijangka. Terima kasih kepada MBI kerana merealisasikan harapan penghulu setelah sekian lama,”katanya.

Majlis turut dihadiri EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS peruntuk RM6 juta sedia tablet, data kepada 7,000 pelajar asnaf

SHAH ALAM, 5 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM6 juta bagi menyumbangkan tablet dilengkapi data internet kepada 7,000 pelajar dari keluarga asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata penerima dipilih melalui semakan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi mengenal pasti pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

Menurutnya, bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) itu bagi meringankan beban keluarga asnaf dan memudahkan pembelajaran secara dalam talian.

“Setiap pelajar bukan sahaja menerima tablet malah data internet RM30 sebulan yang pembayarannya dikreditkan ke akaun ketua keluarga asnaf atau baucar tunai.

“Pada masa ini, proses penghantaran tablet ini telah dilaksanakan pembekal bermula akhir September ke alamat rumah pelajar asnaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Pada 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP itu kepada kepada asnaf dan golongan B40 terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 19 inisiatif disediakan di bawah ZSP yang memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

7,000 pelajar asnaf dapat tablet, data percuma sumbangan LZS

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 7,000 pelajar asnaf negeri ini menerima tablet berserta data internet percuma sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Inisiatif bawah Zakat Selangor Peduli berjumlah RM6 juta khusus buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi LZS, alat peranti itu diedar mulai bulan ini hingga Disember manakala data internet RM30 sebulan diberi hingga Mac tahun depan.

“Insya-Allah dengan sumbangan ini pelajar asnaf dapat terus melakar kejayaan dengan lebih banyak pada masa akan datang,” kata agensi itu.

Menurut poster yang dimuat naik di platform sama, usaha itu bagi meringankan beban pelajar dan keluarga dalam mengadaptasi pembelajaran di rumah sebagai norma baharu.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan sebanyak RM69.3 juta bagi menjayakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli untuk membantu golongan terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif secara berperingkat sehingga Disember tahun ini dijangka memanfaatkan seramai 59,322 penerima dan 431 institusi seluruh negeri.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah terima bakul makanan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah yang terkesan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) diberi bakul makanan sejak Disember lalu.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata 1,000 bakul makanan diedar setiap bulan oleh pusat khidmatnya dengan peruntukan setiap bantuan bernilai RM50.

“Kawasan saya antara yang banyak menerima sumbangan, selain peruntukan Kerajaan Negeri kita juga menerima bantuan pihak swasta yang setiap bulan menyalurkan RM50,000 untuk 1,000 bakul makanan.

“Malah ada bakul makanan turut diagih luar kawasan Pandan Indah, kita mahu pastikan agihan dibuat secara adil bagi memastikan semua yang terkesan menerima bantuan,” katanya menerusi bual bicara bertajuk `Membangun negeri, menyambung merdeka’ yang disiarkan menerusi platform Media Selangor malam tadi.

Izham juga memaklumkan pihaknya juga memberi bantuan 500 tablet dan 200 komputer riba kepada pelajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ia bukan sahaja di Pandan Indah tetapi juga seluruh Selangor dengan yang terbaru sim kad percuma selama setahun yang melibatkan 68,000 kad sim untuk diedar di seluruh Dewan Undangan Negeri.

“Saya juga difahamkan kit ujian kendiri juga akan diedar sebanyak 1,000 setiap DUN. Jadi banyak program sedang diusahakan kepada rakyat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang tablet untuk pelajar SAM Tinggi Tengku Ampuan Jemaah

SHAH ALAM, 28 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 15 unit tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di sini bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata peranti jenis Lenovo bernilai RM700 setiap satu disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selepas pemilihan dibuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

“Mereka yang dikenal pasti ini mempunyai masalah untuk mengikuti PdPR dalam talian sepanjang tempoh pandemik kerana ketiadaan peranti malah ada sebahagian mereka terpaksa berkongsi satu gajet dengan adik-beradik lain.

“Kita berharap kemudahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk belajar dan mengelak melakukan perkara tidak sepatutnya,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjangkakan akan menerima lebih banyak permohonan mendapatkan kemudahan sama mengambil kira sesi PdPR dilanjutkan sehingga akhir Ogos.

“Setakat ini ada dua permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), namun kebiasaannya kita mengehadkan antara 10 hingga 15 unit kerana perlu membantu sekolah lain.

“Insya-Allah, kita masih lagi mampu untuk memberi sumbangan seperti ini sehingga hujung tahun berdasarkan baki peruntukan tersedia melalui pakej bantuan Covid-19,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO tawar 100 gajet percuma kepada pelajar susulan banyak permohonan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Susulan permohonan memberangsangkan, EXCO pertanian dan asas tani meningkatkan jumlah pemberian komputer riba dan tablet percuma kepada 100 unit berbanding 50 sebelum ini.

Ir Izham Hashim menerusi Twitter memaklumkan sebanyak 60 komputer riba dan 40 tablet akan diberikan kepada pelajar berusia 15 hingga 25 tahun di Selangor untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya jumlah peranti yang akan diberikan sebelum ini hanya 50 unit masing-masing 25 komputer riba dan tablet, ketika tawaran diumum pada 11 Julai lalu.

“Namun permohonan yang diterima memberangsangkan bukan sahaja dari negeri ini malah seluruh negara. Saya berharap pemberian gajet ini nanti dapat memberi manfaat sepanjang PdPR,” katanya.

Izham yang juga wakil rakyat Pandan Indah berkata pemenang akan diumumkan pada 1 Ogos nanti.

“Saya harap pelajar gunakan sebaik mungkin untuk tingkat pembelajaran dan dapat membantu ibu bapa daripada segi tabungan ekonomi,” katanya.

Permohonan boleh dikemukakan melalui mesej terus (DM) di Twitter @IrIzhamHashim dan tarikh tutup pada 31 Julai.

Pemohon perlu menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat terkini serta tujuan memerlukan kemudahan tersebut.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Ratusan pelajar susah di Pandan Indah dapat tablet untuk PdPR

SHAH ALAM, 19 JUN: Sebanyak 480 peranti mudah alih disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan sekitar Pandan Indah bagi memudahkan pembelajaran secara maya.

Ahli Dewan Negerinya berkata agihan meliputi 300 unit tablet dan 180 komputer riba kepada pelajar sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi.

“Saya memastikan tablet dan komputer riba jenis Chromebook yang diserahkan menepati piawaian serta berkualiti tinggi supaya anak-anak ini dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik.

“Mereka adalah aset masa depan yang akan mewarisi negara dan seharusnya mendapat sumber pendidikan sempurna tanpa mengira perbezaan agama serta bangsa,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

Kelmarin, sebanyak 25 unit alat peranti itu diserahkan kepada pelajar terpilih di kawasan terbabit dalam sumbangan fasa keempat.

Ketika ini, pelajar masih mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan penularan kes Covid-19 pada tahap membimbangkan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang 25 tablet kepada anak orang asal

SHAH ALAM, 6 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyumbang tablet kepada 25 anak orang asal dari Kampung Air Kuning di sini bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Wakil Rakyatnya Najwan Halimi berkata mereka terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik Seksyen 6 di sini yang dikenal pasti kurang kemampuan untuk memilik peranti berkenaan.

“Semoga dengan pemberian peranti elektronik itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan memberi semangat kepada mereka untuk terus belajar walaupun hanya di rumah.

“Malah, sumbangan ini juga bukti bahawa kita tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan orang asal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya agihan tablet itu akan diteruskan berdasarkan pemilihan pelajar yang dibuat pihak sekolah bagi memastikan hanya yang benar-benar layak terima manfaat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB harap sumbangan tablet, inisiatif taska bantu KKM

SHAH ALAM, 4 FEB: Sumbangan tablet dan pembukaan taska untuk anak petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang diharap dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut merupakan salah satu bentuk kerjasama Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

“Saya menyerahkan tablet sumbangan Kerajaan Negeri untuk kegunaan para petugas barisan hadapan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Saya turut mengambil kesempatan melawat taska sementara untuk anak-anak petugas di PKRC,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Selasa lalu, Amirudin berkata taska yang menempatkan anak petugas hadapan di PKRC Serdang bakal beroperasi mulai Isnin depan dan 41 kanak-kanak sudah berdaftar setakat ini.

Beliau turut menyerahkan 14 unit tablet bagi melancarkan urusan petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut.

Kerajaan Selangor melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan secara percuma selama dua bulan untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Program itu melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang tablet kepada murid kurang mampu

SHAH ALAM, 31 JAN: Kira-kira 30 murid sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima sumbangan tablet untuk memudahkan pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata bantuan bernilai RM20,000 melalui peruntukan program Mesra Rakyat bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

Najwan Halimi memaklumkan kriteria pemilihan murid dibuat dengan kerjasama sekolah untuk memastikan hanya yang layak menerima manfaat.

“Saya terima banyak rungutan daripada ibu bapa yang tidak mampu untuk membeli komputer atau tablet kepada anak mereka, justeru saya mengambil keputusan untuk menyumbang keperluan ini,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, sebanyak tiga tablet sudah diagihkan kepada murid berkenaan setakat ini dan selebihnya akan diberi secara berperingkat.

Sementara itu, wakil penerima Siti Hajar Haderan, 30, berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri atas bantuan itu dan mengakui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agak mencabar.

“PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan dan bersabar bagi memastikan anak tidak tercicir terutama yang baharu memasuki alam persekolahan,” katanya.