Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: NFCP pelan dinamik lima tahun

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) merupakan pelan pelaksanaan lima tahun dari 2019 sehingga 2023 yang dinamik dan akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pelan yang berpaksikan tujuh sasaran utama dengan kos kira-kira RM21.6 bilion itu merupakan pelan kerajaan untuk menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.

Tujuh sasaran itu ialah pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar satu peratus Pendapatan Negara Kasar (GNI) pada 2020; ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri pada 2023; 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minimum 500Mbps pada 2021.

Ia turut merangkumi 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps pada 2022; rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos pada 2022; kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk pada 2023 dan penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo setelah selesai pembinaan.

Di bawah NFCP, Dr Wan Azizah berkata, kira-kira 4.14 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar kelajuan yang lebih tinggi melalui rangkaian gentian optik.

“Lebih ramai rakyat akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar, termasuk di kawasan pinggir bandar dan luar bandar,” katanya ketika melancarkan NFCP itu di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP dianggar mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital.

“Projek NFCP ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan B40 dan M40, di mana pelbagai kepakaran dan kemahiran diperlukan untuk membina infrastruktur digital ini,” katanya.

Pembinaan infrastruktur digital di bawah NFCP akan memberi manfaat kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor kecil dan pembekal peralatan yang akan memberi impak yang positif kepada ekonomi negara, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP juga penting memastikan Malaysia kekal sebagai ‘preferred choice’ bagi pelabur asing.

“Kita harus menyedari betapa pentingnya persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan aliran masuk modal asing dan teknologi, demi untuk mengukuhkan daya saing industri Malaysia di pasaran global,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pelaksanaan NFCP tepat pada masanya kerana ia akan menjadi satu platform atau landasan untuk negara menyambut ketibaan 5G menjelang tahun 2021 atau 2022.

“Industri vertikal tanah air yang bakal memanfaatkan teknologi 5G di masa hadapan termasuklah automotif, bandar pintar, keselamatan awam, media dan hiburan, pertanian, pendidikan, pengilangan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kesalinghubungan akan menjadi lebih kritikal dalam konteks Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), di mana dunia tanpa sempadan kini telah bertukar ke era ‘boundless connectivity’.

Beliau berkata, NFCP juga akan memberi kesan kepada setiap industri dan secara langsung melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Memetik kajian oleh Bank Dunia, Wan Azizah berkata, kenaikan sebanyak 10 peratus bagi kadar penembusan jalur lebar talian tetap akan menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 1.38 peratus, iaitu sebanyak hampir RM20 bilion.

Dr Wan Azizah berkata, melalui pembuatan pintar, kerajaan berharap ia mampu menarik ‘high value-added, high technology’ dalam bidang seperti aeroangkasa, bahan kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan, peralatan perubatan dan elektrik elektronik.

Beliau berkata, prestasi sektor elektrik dan elektronik yang mewakili bahagian terbesar eksport negara iaitu 38 peratus juga boleh dipertingkatkan lagi ke rantaian nilai yang lebih tinggi seperti pembuatan litar bersepadu dan fabrikasi.

“Dalam konteks ini juga, kira-kira 98.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi sektor pembuatan. Oleh itu, sektor tersebut berpotensi untuk memperkuatkan daya saing serta mempamerkan dinamisme selain dari menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Mengenai kos RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP itu, Dr Wan Azizah berkata, kira-kira antara RM10 bilion dan RM11 bilion akan diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun Universal Service Provision (USP) Fund.

Selebihnya pula akan dilaburkan oleh pemberi perkhidmatan bagi membina rangkaian gentian optik dan pemancar komunikasi mudah alih antaranya, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sasar NFCP capai minimum 500 Mbps menjelang 2021

KUCHING, 16 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyasarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) mencapai minimum 500 Mbps di 100 peratus premis di semua ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih menjelang tahun 2021.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, bagi kawasan berpenduduk pula, KKMM menyasarkan 98 peratus kawasan mempunyai akses itu dengan mencapai kelajuan purata 30Mbps menjelang tahun 2023.

“Kementerian ini amat menyedari keperluan untuk meningkatkan usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan Malaysia mampu menghubungkan rakyatnya, perniagaan dan industri ke dunia global.

“Kepentingan penembusan jalur lebar adalah satu daripada penentu kelangsungan ekonomi negara. Kerajaan juga komited dalam mengiktiraf kesalinghubungan sebagai utiliti sama seperti bekalan air dan elektrik,” katanya semasa berucap pada program Merdeka@Komuniti 2019 di Balai Raya Kampung Saratau di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Morgan dan Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.

Program hari ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk menjalin ikatan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat setempat sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negara.

Sementara itu, Willie berterima kasih kepada KKMM kerana atas usaha dan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kini di kawasannya sudah mempunyai akses komunikasi yang lebih baik.

“Di kawasan Puncak Borneo sudah terdapat 20 menara komunikasi yang telah siap dibina manakala saya difahamkan lapan daripadanya sudah pun ‘on-air,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NFCP penekanan seimbang internet antar penduduk bandar, luar bandar

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion telah dipersetujui Jemaah Menteri dengan ia memberi penekanan seimbang bagi akses internet di antara penduduk bandar dan luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, infrastruktur digital yang baharu ini akan turut memberi faedah kepada golongan yang kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital seperti golongan petani, nelayan dan Orang Asli.

“Pihak kerajaan melihat NFCP sebagai satu projek infrastruktur yang penting dan juga sebagai satu usaha strategik untuk meningkatkan daya saing negara dan rakyat Malaysia dalam era digital ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelan lima tahun (2019–2023) NFCP yang diterajui kementerian itu antara lain bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negara selain menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

Gobind berkata, menerusi pelaksanaan pelan itu, antara faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat termasuklah perkhidmatan pendidikan secara digital, e-kesihatan dan e-sports. Manakala golongan peniaga pula akan dapat menikmati faedah menerusi e-dagang yang diharapkan akan dapat menembusi pasaran baharu termasuk ke luar negara.

“Secara keseluruhannya, kerajaan berharap bahawa melalui NFCP, taraf kehidupan rakyat akan meningkat dan model perniagaan baharu akan muncul yang akan mengakibatkan lebih peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kos RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP akan melibatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di beberapa kawasan sasaran yang dijangka boleh memberi suntikan positif kepada ekonomi negara secara langsung terutamanya kepada syarikat pemberi perkhidmatan, kontraktor-kontraktor kecil dan pembekal peralatan.

Jumlah yang besar itu akan dibiayai melalui peruntukan Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan secara komersil oleh syarikat pemberi perkhidmatan.

“Kaedah pembiayaan melalui Kumpulan Wang PPS yang akan dipertimbangkan adalah sama ada dalam bentuk pembiayaan penuh, pembiayaan sepadan atau pembiayaan sebahagian kepada pihak-pihak yang layak,” katanya.

Jelas beliau, kaedah pembiayaan itu akan membantu mengurangkan modal perbelanjaan syarikat pemberi perkhidmatan dan penjimatan kos tersebut akan memanfaatkan pihak pengguna melalui penyediaan perkhidmatan mampu milik.

Satu Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh KKMM dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan juga akan ditubuhkan bagi menyelaras penyediaan infrastruktur digital di sekolah, balai polis, hospital dan perpustakaan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MCMC, Kerajaan Negeri bekerjasama laksana infrastruktur digital NFCP

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri di seluruh negara bagi memudah cara pelaksanaan infrastruktur digital yang akan menyokong Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dalam memastikan orang ramai menikmati liputan jalur lebar lebih berkualiti sekali gus memajukan industri komunikasi dan multimedia negara.

“Selari dengan NFCP, matlamat paling utama ialah untuk menjamin kesalinghubungan digital yang mampan, berkualiti tinggi, menyeluruh dan mampu milik.

Dalam konteks ini, pihak kerajaan melalui MCMC dan pihak industri komited dan akan memberikan sokongan kepada kerajaan-kerajaan negeri daripada segi penyediaan infrastruktur yang inklusif pada kos yang efisien dan juga perkongsian amalan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Al-Ishsal berkata, sebagai permulaan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Perak, Sarawak, Kedah, Melaka dan Selangor dalam masa terdekat.

Pihaknya juga telah bermesyuarat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 11 Mei lepas dan akan membentuk Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bagi penyelarasan, perancangan dan pelaksanaan berkaitan telekomunikasi negeri itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

NFCP pacu matlamat Malaysia ke arah 5G

PUTRAJAYA, 19 APR: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan memacu Malaysia ke arah matlamat melaksanakan teknologi 5G (generasi kelima), menurut penasihat pasukan petugas khas 5G Kebangsaan, Prof Dr Tharek Abd Rahman.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan meneruskan pembangunan NFCP, pelan lima tahun bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan gentian optik secara keseluruhan.

Dr Tharek yang juga anggota Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, NFCP yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar merupakan kaedah berkesan untuk melaksanakan 5G.

“5G merupakan subset NFCP. Gentian optik menyambungkan lokasi, namun pembolehnya adalah 5G,” katanya kepada pemberita di luar forum Siri Unjuran Digital 2019: Membentuk Landskap Digital bersempena Program 5G Malaysia di sini, hari ini.

Antara matlamat utama kewujudan NFCP ialah sasaran mencapai garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps supaya 5G dapat dilaksanakan secara efektif di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman.

Program 5G Malaysia dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bagaimana teknologi itu memberi kesan kepada kehidupan mereka selain faedah kepada rakyat.

Program berkenaan terbuka kepada orang awam selama dua hari bermula esok.

Pengenalan teknologi 5G adalah sebahagian pemacu NFCP bagi kerajaan dalam menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, komprehensif, berkualiti tinggi dan mampu milik.

SKMM menubuhkan pasukan khas 5G kebangsaan pada November tahun lepas untuk mempromosi pelaksanaan 5G yang dianggotai pihak berkepentingan dan penggiat industri untuk menyemak semula dan mencadangkan strategi yang holistik.

Dr Tharek berkata, kumpulan kerja ini dijangka mengemukakan laporan kepada kerajaan menjelang akhir tahun ini membabitkan spektrum, kawal selia, kegunaan kes dan infrastruktur.

SUMBER: BERNAMA