Categories
GLOBAL

Kebanjiran pelarian Rohingya ke Bangladesh terus meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

TEKNAF, 26 FEB: Ratusan penduduk Rohingya dilaporkan masih merentasi sempadan Myanmar ke Bangladesh setiap minggu selepas gelombang keganasan baharu di negeri Rakhine yang mencetuskan krisis pelarian terbesar, pada tahun lalu.

AFP melaporkan, pelarian etnik itu semakin meningkat dalam tempoh enam bulan selepas kemelut itu.

Salah seorang pelarian yang dikenali sebagai Nur Muhammad berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila pasukan keselamatan bertindak menculik pemuda, di kampungnya.

“Kami memilih untuk terus tinggal kerana berharap situasi itu akan pulih.

“Tetapi, keadaan menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini, malahan pasukan keselamatan turut menculik pemuda, di kampung kami,” katanya.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) berkata, kebanjiran pelarian masih berterusan apabila lebih 2,500 memasuki kem sesak di Cox’s Bazar sejak awal bulan lalu walaupun Dhaka dan Yangon kini sedang berbincang berhubung proses penghantaran pulang etnik terbabit.

Pada akhir Februari lalu, Bangladesh sudah menghantar senarai mengandungi 8,000 nama untuk pengesahan Myanmar selepas kedua-dua negara itu memeterai perjanjian untuk menghantar pulang kira-kira 750,000 pelarian Rohingya dalam tempoh dua tahun.

Categories
GLOBAL

Pelarian Rohingnya ke Bangladesh lebih 400,000

NEW YORK, 18 SEPT: Sekurang-kurangnya lebih 400,000 pelarian Rohingnya melarikan diri ke Dhaka, Bangladesh bagi mencari perlindungan di negara itu.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mendapati peningkatan pelarian setinggi 18,000 orang dalam sehari.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina merayu bantuan antarabangsa bagi membantu negara itu berdepan krisis kemanusiaan tersebut.

“Beliau menuntut pemberhentian keganasan di Rakhine dan minta PBB hantar pasukan misi cari fakta di negeri itu ketika Perhimpunan Agung PBB di New York,” kata jurucakapnya, Nazrul Islam, lapor AFP.

Situasi kini meruncing di bandar sempadan Cox’s Bazar berikutan kem pelarian sesak dengan kira-kira 300,000 pelarian tidak lagi dapat menampung kemasukan baharu golongan itu.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Malaysia perlu tunjuk kepimpinan moral dalam isu pelarian

Oleh: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Saya cukup terkejut membaca laporan berita yang berkata beberapa bot yang mengandungi kira-kira seramai 500 orang pelarian Rohingya dan Bangladesh – termasuk wanita dan kanak-kanak – telah dipintas Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) dan dihantar semula ke laut.

Saya dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) amat prihatin dan risau tentang keadaan pelarian Rohingya dan Bangladesh yang kini tersadai di tengah laut. Beberapa laporan media menganggarkan hampir 8,000 orang pelarian kini berada di tengah laut dan menanti dibenarkan masuk ke Indonesia, Thailand atau Malaysia.

ROHINGYA-MT-7-622x414Saya menggesa pihak berkuasa melaksanakan siasatan penuh terhadap isu pemerdagangan manusia (people trafficking) di sempadan Thailand-Malaysia dan mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan. Pada masa yang sama, perlu saya perjelaskan bahawa isu terkini ini bukan sahaja satu isu bantuan kemanusiaan, tetapi ia juga isu kepimpinan moral.

Putrajaya sepatutnya lebih bersiap sedia untuk menghadapi krisis serantau seperti ini, lebih-lebih lagi tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan juga ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR). Tidak berguna menjadi pengerusi badan-badan seperti ini jika tidak berani bertindak atas asas nilai kemanusiaan dalam isu pelarian ini.

Putrajaya perlu menyediakan bantuan kemanusiaan asas dengan menyediakan makanan, tempat tinggal, dan keperluan perubatan asas pada kadar segera. KEADILAN turut meminta pasukan TLDM untuk mengenalpasti mana-mana lagi bot yang mengandungi pelarian seumpama ini dan memberikan bantuan kemanusiaan pada kadar segera.

Saya akan membangkitkan isu ini di dalam sidang Parlimen terdekat, apabila Rang Undang-Undang Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (Pindaan) 2015 akan dibahas.

Sekali lagi saya tegaskan, isu ini bukan sahaja satu isu kemanusiaan, tetapi ia juga satu isu kepimpinan moral. Malaysia seharusnya ke depan dan memberikan kepimpinan moral yang sewajarnya.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden KEADILAN