Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Rohingnya perlu dilayan sebagai rakyat atau diberi wilayah sendiri

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Etnik Rohingya seharusnya dilayan sebagai rakyat Myanmar atau diberikan wilayah sendiri untuk membentuk negeri, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, meskipun Malaysia secara amnya tidak mahu campur tangan dengan masalah dalaman negara lain, tetapi ia terpaksa berbuat demikian disebabkan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik yang berlaku di Myanmar.

“Myanmar, pada masa dulu terbentuk daripada banyak negeri. Bagaimanapun, British memutuskan untuk memerintah Myanmar sebagai sebuah negara dan disebabkan itu, banyak etnik dimasukkan di dalam negara Burma.

“Dan sudah tentu ketika ini, mereka seharusnya dilayan sebagai warganegara atau dipulangkan wilayah mereka untuk membolehkan mereka membentuk negeri,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu di Ankara ketika lawatan empat harinya ke Turki.

Pada 2017, lebih 700,000 etnik Rohingya kebanyakannya beragama Islam, diusir dari negeri Rakhine ekoran operasi diterajui tentera, tindakan yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk pembunuhan dan wanita menjadi mangsa rogol beramai-ramai.

Bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia, episod itu adalah ‘contoh buku teks pembersihan etnik’, menurut laman web PBB.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penderitaan etnik Uyghur di China, Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa mendokong penyelesaian sebarang konflik menerusi rundingan, timbang tara atau kedaulatan undang-undang.

“Kita seharusnya memberitahu China bahawa tolong layan mereka seperti warganegara. Meskipun berbeza agama, ia tidak seharusnya mempengaruhi layanan terhadap mereka.

“Apabila anda memilih keganasan, maka pasti amat sukar untuk mencari penyelesaian terbaik kerana tidak pernah ada kes di mana keganasan berakhir dengan kejayaan mencapai objektif,” katanya.

Mengulas mengenai perjuangan Turki menentang pengganas Pertubuhan Fetullah (FETO) di dalam dan luar negara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak menyokong sebarang kebangkitan di mana-mana negara.

“Memang dasar kita tidak mahu dijadikan pangkalan untuk sebarang tindakan ke atas negara lain.

“Atas alasan ini, kita menutup sekolah (yang berkaitan dengan FETO) apabila mendapati ada cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk pemberontakan terhadap kerajaan Turki,” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

65 Rohingnya terkandas di Satun mangsa pemerdagangan manusia

SATUN, 19 JUN: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kesemua 65 etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada 11 Jun lalu adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Jurucakap polis berkata, semua mangsa – 31 wanita, 29 lelaki dan lima kanak-kanak di atas bot yang terkandas itu dipindahkan ke Pusat Perlindungan dan Pembangunan Kraftangan Surat Thani dan Pusat Perlindungan Pemerdagangan Manusia, Songkhla.

“Setelah pemeriksaan secara terperinci, pihak polis mengenal pasti semua mereka atas bot tersebut merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

“Mereka kini di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia, Thailand,” katanya.

Sebelum ini, Polis Thai menahan enam lelaki iaitu juragan dan kru bot nelayan itu.

Media tempatan melaporkan jurugan bot itu, seorang warga Thailand, mendakwa dia dibayar upah 100,000 Baht oleh seorang warga Myanmar untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia. Pihak berkuasa telah mengenakan pertuduhan awal terhadapnya kerana membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

Rohingya adalah kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan ke atas mereka dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017.

Isu pelarian Rohingya adalah antara isu yang dijangka akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Asean Ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Thailand bermula 20 hingga 23 Jun.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Misi hantar pulang pelarian Rohingnya batal

BANGLADESH, 15 NOV: Rancangan menghantar pulang pelarian etnik Muslim Rohingnya ke Myanmar tidak bermula hari ini ekoran bantahan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang bimbang keselamatan mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan dua sumber yang diberi taklimat langsung mengenai perkara itu.

“Ia tidak berlaku esok (hari ini) kerana tiada siapa mahu pulang,” kata satu daripada sumber.

Bagaimanapun, Kerajaan Bangladesh gagal dihubungi untuk mengulas.

Terdahulu, Bangladesh telah memulakan persediaan menghantar pulang kumpulan pertama pelarian Rohingya ke Rakhine hari ini, sejajar dengan pelan dua hala dipersetujui antara dua kerajaan, pada Oktober lalu.

Penghantaran pulang kumpulan pertama seramai 2,200 pelarian itu sepatutnya secara rasmi bermula hari ini dan pihak berkuasa di Myanmar berkata, mereka telah bersedia untuk tujuan itu.

Bangladesh berikrar untuk tidak memaksa sesiapa kembali dan meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) memastikan mereka yang disenarai pendek untuk pulang, benar-benar mahu kembali ke negara itu.

Lebih 700,000 etnik Rohingya lari daripada tindakan keras tentera di Rakhine tahun lalu.

Pelarian Rohingya mendakwa, tentera tempatan membunuh keluarga, membakar ratusan perkampungan dan melakukan rogol beramai-ramai.

Sebelum ini, puluhan keluarga pelarian Rohingya yang berada dalam senarai penghantaran pulang ke Myanmar pada minggu ini lari meninggalkan kem di Bangladesh.

Categories
SELANGOR

Nasib anak-anak Rohingya terbela

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 10 JUN : Nasib menimpa anak-anak pelarian Rohingya kini terbela apabila mereka bakal mendapat sekolah baharu dengan persekitaran lebih baik berbanding sebelum ini.

Atas keperluan itu, Pusat pengajian sedia ada, Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS) yang sudah 15 tahun beroperasi sejak 2003 perlu berpindah berikutan lokasi itu mahu dibangunkan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sudah tiba masanya anak-anak etnik Rohingya bersekolah di sini, beralih angin ke lokasi baru.

“Untuk sementara waktu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menawarkan premis mereka untuk dijadikan sebagai gantian kepada sekolah KGLCS ini dan ia merupakan berita gembira buat etnik Rohingya kerana tempat baru itu lebih selesa dan besar.

“Saya berharap etnik Rohingya gembira dengan berita ini untuk berpindah ke tempat baharu itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Agihan Bakul Makanan yang diadakan di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, MPSJ menawarkan premis berkenaan bagi mengelakkan bangunan itu terbiar tanpa diguna pakai.

Pada masa sama, beliau menyeru mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan bagi membaik pulih premis itu supaya dapat dijadikan seperti pusat pembelajaran.

Mengulas mengenai tarikh pemindahan mereka ke sekolah baharu itu, Dr Siti Mariah berkata, ia akan berlaku secepat yang mungkin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang itu juga berkata, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk dibincangkan dengan lebih lanjut bagi mengiktiraf kehadiran etnik Rohingya ini.

“Ia kerana terdapat segelintir daripada golongan ini tidak mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) jadi sukar bagi mereka untuk diiktiraf sekali gus mudah dieksploitasi,” katanya.

Terdahulu, KGLCS ditubuhkan pada tahun 2003 dan menempatkan pelajar daripada usia enam hingga 12 tahun. Namun, sehingga kini, jumlah pelajar sudah mencecah 100 orang.

Pelajar diberikan pendedahan pendidikan asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Mereka juga diajar Bahasa Arab dan Al-Quran.

Categories
SELANGOR

Exco santuni etnik Rohingya beri bantuan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 10 JUN: Sempena kedatangan Aidilfitri, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan asas kepada 60 keluarga etnik Rohingya pada Majlis Agihan Bakul Makanan yang diadakan di Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS), di sini, hari ini.

Sumbangan berkenaan merupakan kelolaan sepenuhnya Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim dengan kerjasama UK International Mission.

Dr Siti Mariah berkata, program itu merupakan program amal selain memastikan etnik Rohingya tidak terpinggir untuk bersama menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Program ini bertujuan untuk memberi sumbangan berupa makanan mentah kepada keluarga etnik Rohingya yang bermastautin di negara ini.

“Selain itu, ia juga untuk mengeratkan lagi hubungan etnik Rohingya dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Serantau Muslim,” katanya.

Sementara itu, Pengetua KGLCS yang juga selaku Presiden ‘Ethnic Rohingya Comittee of Arakan (ERCA) Malaysia, Mohd Rafique Khairul Bashar amat terharu terhadap bantuan yang disalurkan itu.

“Sumbangan berupa bahan makanan asas sebegini adalah amat dialu-alukan terutamanya pada musim perayaan yang bakal tiba tidak lama sahaja lagi,” katanya.

Manakala, salah seorang pelajar KGLCS, Nabila Fatihah Nabil Husain, 10, berkata, beliau berasa amat gembira dengan bantuan dihulurkan, namun agak sayu apabila mengenangkan nasib etnik mereka di negara sendiri.

“Saya gembira tinggal di Malaysia kerana menerima pelbagai kemudahan yang tidak akan dapat di negara sendiri namun apabila memikirkan nasib saudara di sana, jauh di sudut hati saya amat sedih,” katanya yang juga merupakan anak yatim kematian ibu bapa akibat peperangan di sana.

Namun, bagi Saima Abdul Rashid, 12, berkata, beliau mahu belajar ke peringkat lebih tinggi dan berniat mahu selamatkan saudara senasib di negara mereka

“Saya mula masuk Malaysia sejak berusia lima tahun dan tidak dinafikan sambutan perayaan setiap tahun disambut penuh meriah dengan adanya pelbagai bantuan dari rakyat negara ini.

“Namun, saya bercita-cita mahu menyelamatkan saudara saya di sana supaya nasib kami terbela satu hari nanti,” katanya.

Categories
GLOBAL

UNICEF: Kanak-kanak rohingnya kurang gizi, boleh ancam nyawa

BANGLADESH, 5 MAC: Satu perempat daripada pelarian kanak-kanak muslim Rohingya di bawah usia lima tahun menderita kekurangan gizi yang boleh mengancam nyawa.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, berdasarkan kajian kesihatan dan pemakanan dijalankan pada Oktober lalu menunjukkan 25 peratus pelarian kanak-kanak berdepan kekurangan zat makanan dan beberapa penyakit lain.

Jurucakap UNICEF, Chritophe Boulierac berkata, hampir separuh daripada pelarian kanak-kanak di Bangladesh menghidap anemia, sehingga 40 peratus mereka mengalami cirit-birit, dan 60 peratus lagi mengalami jangkitan pernafasan akut.

Ketua UNICEF Bangladesh, Edouard Beigbeder berkata, kebimbangan dan ketakutan terburuk agensi itu kini menjadi kenyataan.

“Kanak-kanak pelarian mengalami penderitaan yang tidak dapat dibayangkan.

“Mereka melarikan diri dari kediaman mereka dan kini menghidap krisis kesihatan,” katanya.

Setakat Ogos sehingga bulan ini, lebih 655,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar, di mana separuh daripada mereka merupakan kanak-kanak.

Categories
GLOBAL

WHO fokus isu kesihatan di kem pelarian terbesar dunia

OLEH NAEEM RAFFI

ISTANBUL, 23 FEB: Lebih 1 juta etnik minoriti Islam Rohingnya berkampung di kem perlindungan sempadan Bangladesh setakat ini sekali gus menjadikannya sebagai kem pelarian terbesar di dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan berkata, kepadatan pelarian di kem berkenaan berisiko tinggi terjejas dengan pelbagai masalah kesihatan serta wabak penyakit.

Pengarah WHO Wilayah Asia Tenggara, Poonam Khetrapal Singh berkata, keperluan kesihatan terus menjadi isu utama bagi 1.3 juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar.

Katanya, usaha utama dibuat agensi Kerajaan Bangladesh adalah mencegah penyebaran penyakit seperti taun dan mengawal wabak campak serta difteria.

“Keadaan krisis kesihatan melibatkan pelarian Rohingya memerlukan usaha berterusan dan sumbangan semua pihak bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada mereka,” katanya.

Khetrapal Singh berkata, faktor air dan kawasan perlindungan perlu dioptimumkan, bagi mengelakkan risiko penyebaran wabak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya sebagai etnik paling teruk dianiaya di dunia, dengan krisis penindasan yang dihadapi mereka selama puluhan tahun.

Sehingga kini, dianggarkan 9,000 etnik Rohingya dibunuh rejim Myanmar di negeri Rakhine sejak kempen ketenteraan pada 25 Ogos lalu.

Categories
GLOBAL

MAPIM-Hijjaz teruskan Misi Bantuan Kecemasan Rohingnya di Bangladesh

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 FEB: Delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama kumpulan nasyid tanah air, Hijjaz meneruskan Misi Bantuan Kecemasan Rohingnya di kem pelarian Bangladesh, bermula 22 hingga 26 Februari.

Menerusi laman facebooknya, MAPIM memohon rakyat Malaysia mendoakan misi terbabit dipermudah.

Selain itu, MAPIM juga menyeru masyarakat prihatin untuk terus menyalurkan sumbangan bagi membantu warga Rohingnya di sana.

Sumbangan Tabung Rohingnya boleh dibuat menerusi www.danarohingya.com atau terus ke akaun Rohingya Emergency Appeal – MAPIM 2142 5760 0213 72 (RHB Bank)

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya sebagai etnik paling teruk dianiaya di dunia, dengan krisis penindasan yang dihadapi mereka selama puluhan tahun.

Sehingga kini, dianggarkan 9,000 etnik Rohingya dibunuh rejim Myanmar di negeri Rakhine sejak kempen ketenteraan pada 25 Ogos lalu.

Categories
GLOBAL

Kerakusan Tatmadaw terhadap wanita Rohingnya didedah

 

NEW YORK, 17 NOV: Human Right Watch berpusat di Amerika Syarikat mendedahkan laporan keganasan seksual dan bentuk kekejaman lain membabitkan tentera Myanmar terhadap wanita dan remaja perempuan Rohingnya.

Pendedahan dilakukan Tatmadaw itu berdasarkan temu bual dengan mangsa yang mendakwa mereka dirogol ketika kempen ketenteraan baharu dilancarkan di Rakhine, pada Ogos lalu.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, lebih 600,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh.

“Tindakan itu menyebabkan wanita dan remaja perempuan terbabit mengalami trauma melampau,” kata penulisnya, Skye Wheeler.

Sementara itu, menerusi laporan They tried to kill us all oleh kumpulan Fortify Rights, telah membongkar perbuatan kejam tentera mengelar leher penduduk Rohingya dan turut membakar mereka hidup-hidup.

“Ada bukti sudah didokumentasikan menunjukkan tindakan ini,” menurut laporan itu berdasarkan temu bual bersama lebih 200 mangsa Rohingya, saksi dan pekerja agensi bantuan antarabangsa, lapor Agensi.

Categories
GLOBAL

Manfaat WhatsApp kumpul dana, bantah penindasan

 

MYANMAR, 2 NOV: Aplikasi WhatsApp dimanfaat sebaiknya lebih 60 anak muda Rohingnya bagi mengumpul dana bagi pelarian di Cox’s Bazar dan membantah penganiayaan berterusan Tatmadaw di Myanmar.

Kumpulan pelajar dari Madarasah Qawmi di Bangladesh itu mengelarkan diri mereka Kurubul Ahbab (kawan rapat) yang dibentuk bulan lalu dengan tujuan menyemarakkan bantahan terhadap penindasan etnik minoriti Rohingnya di Rakhine.

Seorang ahlinya, Mohammad Elias berkata, kumpulan itu mempunyai seramai 63 ahli sebaya dan mereka datang ke Bangladesh dari Buthidaung pada 2013 dan 2014 untuk tujuan pendidikan.

“Dana dikumpul tidak banyak kerana kami semua pelajar dan tidak mempunyai sumber pendapatan utama. Kami hanya mengumpulkan wang hasil gaji dan upah diterima daripada tuisyen yang kami jalankan.

“Kami mengagihkan 4,500 Taka (RM229) dan 7,300 Taka (RM371) dalam dua fasa kepada beberapa keluarga di kem pelarian,” lapor Sinar Harian.

Elias bagaimanapun memberitahu, tujuan pertama mereka tetap menuntut ilmu dan seterusnya membantu masyarakat yang ketinggalan kerana buta huruf lapor Dhaka Tribune.

Categories
GLOBAL

AS gesa Myanmar henti keganasan di Rakhine

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson, menggesa ketua tentera Myanmar membantu menamatkan keganasan di Rakhine yang menyebabkan ratusan ribu etnik Islam Rohingya melarikan diri.

Dalam perbualan telefon dengan Mun Aung Hlaing, Tillerson menyatakan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan berterusan dan laporkan kekejaman di Rakhine, Menurut kenyataan jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert.

“Setiausaha Negara menggesa pasukan keselamatan Myanmar menyokong kerajaan dalam menamatkan keganasan di Rakhine dan membolehkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam krisis itu kembali dengan selamat, terutama ramai etnik Rohingya,” katanya.

Dalam pada itu, Duta Bangladesh di PBB mengatakan lebih 600,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi sempadan, menyertai lebih 300,000 lain yang tiba lebih awal di Bangladesh sebelum Ogos.

Beberapa pelarian Rohingya tiba di Bangladesh selepas berjalan tanpa makanan selama beberapa minggu.

Kebanyakan dari mereka mengalami kebuluran, kepenatan, trauma dan hampir sebahagian besar dari mereka membawa kanak-kanak.

– AFP

Categories
GLOBAL

Pelarian Rohingnya ke Bangladesh lebih 400,000

NEW YORK, 18 SEPT: Sekurang-kurangnya lebih 400,000 pelarian Rohingnya melarikan diri ke Dhaka, Bangladesh bagi mencari perlindungan di negara itu.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mendapati peningkatan pelarian setinggi 18,000 orang dalam sehari.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina merayu bantuan antarabangsa bagi membantu negara itu berdepan krisis kemanusiaan tersebut.

“Beliau menuntut pemberhentian keganasan di Rakhine dan minta PBB hantar pasukan misi cari fakta di negeri itu ketika Perhimpunan Agung PBB di New York,” kata jurucakapnya, Nazrul Islam, lapor AFP.

Situasi kini meruncing di bandar sempadan Cox’s Bazar berikutan kem pelarian sesak dengan kira-kira 300,000 pelarian tidak lagi dapat menampung kemasukan baharu golongan itu.