Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB kecam komen rasis ke atas pemain badminton negara

SHAH ALAM, 4 OKT: Dato’ Menteri Besar mengecam sekeras-kerasnya kritikan berbaur perkauman yang ditujukan kepada pemain badminton negara S Kisona.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan sukan wadah penyatuan rakyat Malaysia yang wajar dihormati bersama.

“Tahniah kepada skuad badminton kebangsaan yang beraksi di Piala Sudirman 2021. Aksi dan usaha yang memberangsangkan.

“Saya turut mengecam sekeras-kerasnya kritikan berbentuk perkauman ditujukan kepada pemain kebangsaan, S Kisona. Sukan wadah penyatuan rakyat Malaysia yang wajar dihormati bersama,” katanya.

Komen berbaur rasis terhadap Kisona tular di media sosial ketika pemain itu beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir.

Kenyataan itu turut mendapat kritikan Persatuan Badminton Malaysia yang menegaskan tidak akan berkompromi terhadap apa juga tindakan diskriminasi kepada pemain.

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Enam pemain badminton sertai kejohanan di Sepanyol positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Enam pemain badminton negara yang kembali ke Malaysia selepas menyertai kejohanan Spanish International 2021 baru-baru ini telah didapati positif Covid-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan ringkas di laman Facebook hari ini memaklumkan bahawa keenam-enam pemain tidak mempunyai gejala dan telah dihantar ke pusat kuarantin susulan keputusan ujian mereka yang positif itu.

“Sebaik pulang ke Malaysia, mereka telah menjalani kuarantin wajib seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa. Mereka belum menjejakkan kaki ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak pulang ke Malaysia dan tidak berinteraksi dengan pemain negara yang akan berangkat ke Olimpik Tokyo.

“Keenam-enam pemain hanya akan kembali ke ABM selepas pemain yang bakal beraksi di Tokyo berlepas ke Jepun. BAM mendoakan yang terbaik buat keenam-enam pemain dan semoga mereka cepat sembuh,” menurut kenyataan itu.

Malaysia diwakili 20 peserta pada kejohanan Spanish International yang berlangsung di La Nucia dari 16 hingga 19 Jun yang menyaksikan pemain badminton negara membawa pulang tiga kejuaraan.

Juara Sukan SEA 2019 S.Kisona mengenepikan pemenang kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita manakala Eoon Qi Xuan berjaya mara sehingga pertandingan separuh akhir.

Tee Kai Wun pula merangkul kejuaraan berganda apabila pemain berusia 21 tahun itu memenangi acara beregu campuran bersama Teoh Mei Xing sebelum berpasangan dengan Man Wei Chong untuk meraih kejuaraan dalam acara beregu lelaki.

-BERNAMA