Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB kecam komen rasis ke atas pemain badminton negara

SHAH ALAM, 4 OKT: Dato’ Menteri Besar mengecam sekeras-kerasnya kritikan berbaur perkauman yang ditujukan kepada pemain badminton negara S Kisona.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan sukan wadah penyatuan rakyat Malaysia yang wajar dihormati bersama.

“Tahniah kepada skuad badminton kebangsaan yang beraksi di Piala Sudirman 2021. Aksi dan usaha yang memberangsangkan.

“Saya turut mengecam sekeras-kerasnya kritikan berbentuk perkauman ditujukan kepada pemain kebangsaan, S Kisona. Sukan wadah penyatuan rakyat Malaysia yang wajar dihormati bersama,” katanya.

Komen berbaur rasis terhadap Kisona tular di media sosial ketika pemain itu beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir.

Kenyataan itu turut mendapat kritikan Persatuan Badminton Malaysia yang menegaskan tidak akan berkompromi terhadap apa juga tindakan diskriminasi kepada pemain.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen dilarang guna perkataan hasutan, rasis dan biadab

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Semua ahli Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan berlangsung.

Yang Dipertuanya, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sesi persidangan pagi ini berkata, beliau dan timbalannya akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan sedemikian masih digunakan oleh ahli parlimen.

Azhar berkata beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil whip parti semalam bagi membincangkan perkara itu dan semua yang hadir menyatakan komitmen dalam memastikan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan.

“Adalah diharapkan semua ahli-ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Yang Berhormat semua dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di sini memberi tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat pada kita semua,” katanya.

Mereka yang hadir pada perjumpaan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan ketua whip kerajaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (wakil Barisan Nasional), Datuk Seri Hamzah Zainudin (wakil Bersatu), Datuk Takiyuddin Hassan (wakil PAS), Datuk Seri Fadillah Yusof (wakil GPS) dan Datuk Johari Abdul (wakil KEADILAN).

Turut hadir, Alice Lau Kiong Yieng (wakil DAP), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (wakil Amanah), Ahmad Hassan (wakil Warisan), Dr Maszlee Malik (wakil bebas) dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbencher) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Dalam pemaklumannya, Azhar turut berharap semua ahli parlimen berbahas dengan tertib dan sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela serta kesucian Dewan Rakyat sentiasa dijaga.

– BERNAMA