Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemandu van sekolah hilang mata pencarian kesan pandemik

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pandemik Covid-19 yang berlarutan menyebabkan seorang pemandu van sekolah bergelut dengan masalah kewangan selepas hampir dua tahun hilang mata pencarian.

Norrisah Shaari, 58, berkata pekerjaan yang dilakukan sejak 24 tahun lalu terpaksa dihentikan sementara berikutan penutupan sekolah selain bimbang situasi semasa wabak.

Biarpun masih boleh bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu teksi selain puteri sulung yang menjual makanan snek Jepun (takoyaki), namun ibu lima anak itu mengakui ia sekadar cukup makan.

“Jika dulu saya boleh raih pendapatan mencecah RM5,000 sebulan tetapi sekarang langsung tiada. Malah, dua van yang dimiliki hanya tersadai di rumah.

Norrisah Shaari, 58, pemandu van sekolah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Memang pada suatu ketika kerajaan buka sesi persekolahan namun saya tidak berani ambil risiko apatah lagi melibatkan kanak-kanak kerana kes Covid-19 masih tinggi serta membimbangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau antara 100 pemandu van sekolah, teksi dan penghantar makanan yang menerima bantuan keperluan asas sumbangan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar di sini semalam.

Menurut Norrisah, dia juga belum bersedia untuk kembali melakukan pekerjaan tersebut walaupun sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka tidak lama lagi.

“Mungkin tidak (teruskan) dalam masa terdekat, saya tunggu keadaan betul-betul pulih kerana keselamatan itu lebih penting buat saya,” katanya.

Beliau yang menetap di Kampung Lindungan di sini turut menghargai sumbangan dan keprihatinan wakil rakyat terhadap golongan terjejas pendapatan.

“Seorang kenalan mencadangkan nama saya sebagai penerima bantuan, jadi saya bersyukur dan berterima kasih kepada beliau (Halimey) kerana mengambil berat kesusahan dihadapi penduduk,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

20 pemandu van sekolah terjejas pendapatan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik hari ini menyampaikan bantuan makanan asas kepada 20 pemandu van sekolah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan kepada pemandu van di daerah ini disampaikan secara pandu lalu di Seksyen 2.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan serba sedikit bebanan mereka,” kata Mohd Najwan Halimi menerusi Facebook.

Pada 28 Mei, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.

Namun, PKP 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun susulan jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.