Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pemeriksaan kesihatan ibu bapa ada anak OKU bukti Selangor prihatin

BANTING, 17 DIS: Program pemeriksaan kesihatan kepada ibu bapa yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) bukti Kerajaan Selangor prihatin kebajikan golongan itu.

Pengerusi Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor berkata ini kerana menjaga anak OKU bukan mudah, sudah tentu memerlukan tahap kesihatan yang baik.

“Kami menyambut baik inisiatif yang diumum Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari)…ini bukti Kerajaan Selangor cakna bukan hanya kebajikan OKU sebaliknya penjaga turut mendapat perhatian.

Pengerusi Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Selangor S Murugaiyah @ Mr Jeevah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Menjaga anak OKU bukannya mudah ia memerlukan kesabaran malahan kesihatan juga harus dijaga,” kata S Murugaiyah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kebajikan Lestari Selangor 2021 di Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor di sini semalam.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Kerajaan Selangor mengumumkan Program Khas Pemeriksaan Kesihatan diwujudkan khusus untuk golongan ibu bapa anak OKU.

Inisiatif itu bertujuan menjaga kebajikan ibu bapa (yang mempunyai kad OKU) dalam aspek kesihatan supaya dapat terus memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada anak mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir masuk IJN, jalani pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara di sini hari ini untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut.

Menurut satu kenyataan daripada IJN, Dr Mahathir tiba di institut itu pada pukul 7 malam ini.

“Yang Amat Berbahagia Tun dijangka berada di IJN untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Seorang daripada pegawainya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Ya , benar sebagaimana dalam kenyataan,” kata beliau.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penduduk sekitar diminta lakukan pemeriksaan kesihatan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 19 APR: Penduduk sekitar kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang diminta melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan bebas daripada bahan kimia.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, pihaknya juga menyeru kepada orang ramai untuk tidak membuat spekulasi bahawa racun plumbum tersebar meluas sehingga mencemari kawasan itu.

Katanya, Kerajaan Negeri akan melakukan siasatan lebih terperinci dalam tempoh dua minggu daripada sekarang dan keputusan sama ada kilang itu harus terus ditutup atau beroperasi kembali akan diumumkan nanti.

“Saya nasihatkan penduduk setempat untuk membuat pemeriksaan di hospital bagi memastikan sama ada mereka dijangkiti plumbum atau tidak, jika boleh lakukan ujian darah.

“Bukan sahaja penduduk sekitar namun pekerja di kilang ini dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital sekali gus tampilkan kepada kami bukti sekiranya benar anda dijangkiti plumbum berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan tapak ke kilang terbabit di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau meminta orang ramai bersabar dan tunggu keputusan selepas dua minggu nanti berkenaan status kilang ini.

“Kita mohon jangan membuat spekulasi ini dan beri peluang kepada pihak berkaitan melakukan siasatan dengan lebih terperinci,” katanya.

Terdahulu, terdapat kira-kira 50 orang dipercayai penduduk kawasan sekitar melakukan demonstrasi di hadapan kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, di sini.

Difahamkan, mereka mahu menuntut supaya kilang berkenaan ditutup kerana menganggap ia membawa kesan buruk seperti pencemaran udara dan air di kawasan itu.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)