Categories
NASIONAL

Haniza Ketua Wanita, Daroyah timbalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Pemilihan KEADILAN 2018 dalam merebut jawatan Ketua Wanita memihak kepada Haniza Talha, bergandingan dengan Dr Daroyah Alwi selaku timbalan, bagi sesi 2018-2021.

Haniza yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata, pemilihan pimpinan wanita baharu itu adalah gandingan muka baharu dan lama merentasi Sabah, Sarawak serta negeri lain.

“Gabungan mantap ini akan membawa agenda KEADILAN sebelum ini dan saya meletakkan harapan tinggi kepada pasukan baharu untuk memberikan idea segar serta boleh diterima juga dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikia dalam sidang media selepas tamat Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Haniza turut mengajak pimpinan wanita baharu untuk bersama memikirkan hala tuju asas perjuangan parti dan memenuhi hasrat rakyat.

“Selepas ini, saya akan berjumpa dengan Ketua Cabang Wanita baharu dan akan menjelajah seluruh negara bagi mendengar serta merancang pelan tindakan seterusnya.

“Terima kasih kepada semua ahli parti kerana memilih pimpinan baharu ini dan sudah tentu banyak tanggungjawab menanti selepas ini,” katanya.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan Faizah Arifin, Sangetha Jayakumar dan S Wasanthee sebagai Naib Ketua Wanita bagi Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat.

Categories
NASIONAL

“Yes Bos, Yes Madam” bukan DNA anggota KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Berbeza dengan amalan Umno, anggota KEADILAN menolak budaya mengampu dengan bersetuju secara membuta tuli terhadap setiap keputusan kepimpinan parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, budaya Umno itu akhirnya merosakkan parti sendiri.

“Kami berbeza dengan Umno, kenapa Umno jadi macam tu? Kerana semuanya ‘yes bos’, ‘yes madam’ dan ini akhirnya mendatangkan masalah kepada mereka.

“Kita tak mahu jadi macam tu di mana ini budaya KEADILAN dan cuba kita suruh orang KEADILAN duduk diam, dia tak akan duduk diam kerana ini memang DNA kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK di Kongres AMK 2018 di IDCC di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, anggota KEADILAN tetap bersatu di bawah satu perjuangan membawa obor reformasi.

Katanya, beliau percaya semua anggota AMK akan kembali memperkukuhkan parti selepas Pemilihan KEADILAN 2018, baru-baru ini

Categories
NASIONAL

Terima keputusan, terus mara kehadapan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Semua pihak perlu akur dengan keputusan Biro Politik KEADILAN berhubung perkara berbangkit sepanjang Pemilihan KEADILAN 2018 berlangsung.

Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, barisan kepimpinan baharu perlu mengambil iktibar terhadap semua isu yang berlaku dan memperbaikinya supaya ia tidak berulang di masa hadapan.

“Pemilihan sudah berakhir. Sekarang masa untuk perkemas keputusan. Biro Politik sudah buat keputusan mengenai isu undi ragu, undi hilang; semuanya sudah diberikan penjelasan dan pengesahan.

“Ini keputusan dibuat semua pihak dalam mesyuarat. Jadi kita perlu akur dan terima, gerak ke hadapan.

“Bagi pihak kita pun ada banyak yang ingin dibangkitkan. Saya mengambil ini sebagai satu iktibar dan apabila pembentukan barisan kepimpinan baharu, maka saya nak pastikan perkara ini (aduan) dikaji semula, semak dan diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata, persoalan berbangkit yang ditimbulkan sepanjang pemilihan ini sudah dijangka sejak awal cadangan penggunaan sistem E-Voting, namun ia perlu dilihat pada sudut positif bagi meletakkan kedudukan KEADILAN sebagai sebuah parti progresif dan berwibawa.

Dalam perkembangan sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota KEADILAN Selangor yang terus memberikan sokongan padu terhadap Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam pemilihan kali ini.

Menurutnya, Selangor perlu dijadikan sebagai kubu kuat KEADILAN dan ia perlu dipimpin tokoh berwibawa yang mempunyai rekod kepimpinan cemerlang.

“Selangor akan menjadi kubu KEADILAN. Maka Selangor perlu dipimpin orang berkaliber, berwibawa dan mempunyai rekod (pentadbiran) yang baik.

“Saya menghargai kerana anggota KEADILAN Selangor faham perkara ini dan mereka memberikan sokongan kuat kepada (Mohamed) Azmin dan Amirudin,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemilihan KEADILAN 2018: MB enggan umum pendirian

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari enggan mengumumkan pendirian sama ada mahu bertanding atau sebaliknya pada Pemilihan KEADILAN 2018 akan datang.

Menurutnya, sekarang merupakan masa untuk memberikan tumpuan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri memandangkan beliau baru sahaja dilantik menerajui Selangor.

“Belum sampai masa untuk umum. Banyak kerja yang saya perlu lakukan bagi memastikan pentadbiran Selangor berjalan lancar. Semua itu semua beri kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, semalam.

Menyentuh soal kedudukan Dato’ Seri Mohamed Azmin sama ada perlu kekal bertanding sebagai Timbalan Presiden atau jawatan lain Amirudin berpandangan terpulang kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk membuat keputusan.

“Itu terpulang kepada keputusan beliau. Ia juga bergantung kepada pengumuman kini dan kedudukan semasa.

“Bagaimanapun, KEADILAN sebagai sebuah parti paling demokratik dalam negara, parti pertama yang menganjurkan pilihan raya terus walaupun ramai yang mempertikaikan tetapi kita dapat lihat hasilnya sekarang.

“Kita merupakan parti yang mempunyai majoriti besar dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) sekarang,” katanya.