Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kerajaan digesa perkukuh ekosistem cipta kerja baharu

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Badan pemikir progresif Research for Social Advancement (REFSA) menyeru kerajaan untuk melaksanakan dasar industri “berorientasikan misi” yang bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan baharu dalam jangka sederhana hingga panjang.

Hal ini berikutan laporan suku kedua 2020 Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) susut sebanyak 17 peratus dan kadar pengangguran berada pada 4.9 peratus setakat Jun, iaitu seramai 773,200 orang tanpa kerja.

REFSA dalam satu kenyataan berkata dasar berorientasikan misi mengambil kira hubung kait antara pelbagai badan dalam sektor swasta dan kerajaan bagi menjayakan sesuatu misi yang menjana kebaikan sosial, seperti memastikan keselamatan makanan, menyelesaikan krisis kesihatan masyarakat, atau menangani perubahan iklim.

“Kerajaan boleh memberikan galakan melalui insentif dan melabur secara langsung dalam industri sasaran bagi mencapai tujuan misi tersebut

“Langkah ini dapat mencipta peluang dan permintaan untuk pelbagai jenis kemahiran dan tenaga kerja di samping memenuhi keperluan mustahak negara seperti kemampuan setiap perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan gangguan dan teknologi baharu berbeza,” kata kenyataan itu.

REFSA berkata, kerajaan perlu memainkan peranan aktif dalam membentuk dan mencipta pasaran ekonomi masa depan dengan bertindak sebagai pemangkin.

Langkah awal ini dapat menarik pelabur dan seterusnya memajukan pasaran dan mencipta peluang pekerjaan.

Pengarah Komunikasinya Iskandar Fareez berkata Malaysia memerlukan dasar sosio-ekonomi yang berani untuk memulakan pemulihan ekonomi dan menyusun semula keutamaan ekonomi ke arah bentuk pekerjaan yang lebih lestari dan mampan.

“Kita ingin memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Ia perlu dihasilkan melalui sistem ekonomi yang lebih kukuh yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul daripada ketidakseimbangan, kerendahan mobiliti sosial dan kekurangan perlindungan masyarakat.

“Tetapi, untuk menyelamat dan mencipta pekerjaan dalam ekonomi yang sedang meleset ini, kerajaan mesti bertindak dengan serta-merta dan berani,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagaikan sumber hasil tingkat pendapatan negara

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kerajaan akan terus meneroka pelbagai pilihan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara termasuk mempelbagaikan sumber hasil kerajaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata keutamaan dan fokus pada masa ini adalah untuk melindungi rakyat dan menyokong perniagaan agar ekonomi negara dapat diperkukuh dan dipulihkan.

Tengku Zafrul berkata defisit fiskal negara dijangka meningkat antara 5.8 peratus sehingga 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus KDNK yang diunjurkan sebelumnya.

Ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia pada purata US$41 setong antara Januari dan Jun tahun ini berbanding purata US$61 setong yang digunakan pada Belanjawan 2020, katanya.

“Bagi setiap penurunan harga minyak sebanyak US$1 setong, ia akan mempunyai impak sebanyak RM300 juta kepada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, defisit Kerajaan Persekutuan akan naik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion sebelum ini adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka sederhana dan panjang.

Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana secara berperingkat dan seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan pernah menurunkan kadar defisit sebelum ini kepada 3.8 peratus pada 2013 dan 3.4 peratus pada akhir 2019 daripada 6.7 peratus pada 2009 selepas krisis ekonomi dunia.

“Pada masa ini, kerajaan menggunapakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) di samping selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.

“Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus. Oleh itu, kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana,” katanya.

-BERNAMA