Categories
ADN SELANGOR

Sarang penagih dadah di Gerai MPK diserbu, 15 ditahan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 15 individu ditahan selepas polis menyerbu kawasan dipercayai menjadi sarang penagih dadah di Gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) Sungai Aur, Pelabuhan Klang hari ini.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Persekitaran MPK jam 10 pagi tadi.

Menurut Azmizam Zaman Huri, pihak berkuasa turut menemui sampah dan sisa barang yang dikumpul penagih dadah yang menghasilkan bau busuk dan mengundang rasa kurang selesa kepada peniaga dan pengunjung gerai tersebut.

“Kesemua individu tersebut dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana mengambil tindakan pantas bagi membendung masalah najis dadah terutama di kawasan pekan Pelabuhan Klang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK segera membersihkan kawasan gerai berkenaan bagi mengelak pembiakan aedes yang boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap peniaga dan pengunjung.

Categories
AGENDA JENAYAH

Penagih kelar leher ayah ditahan

KUANTAN, 18 OGOS: Seorang penganggur yang disahkan positif dadah ditahan selepas dipercayai mengelar leher bapanya yang lumpuh di rumah mereka di Kampung Chendor Baru di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata lelaki berusia 33 tahun ditahan semasa sedang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran rumah itu selepas menyedari kehadiran polis.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi semasa mangsa yang berusia 62 tahun dan lumpuh sebelah kanan badan sejak lima tahun lalu, ditinggalkan bersama suspek serta abang suspek semasa ibu mereka bekerja.

“Ibu suspek mendakwa telah menerima panggilan daripada abang suspek memaklumkan mangsa dikelar dengan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan luka sepanjang 13 sentimeter.

“Abang suspek memberitahu semasa kejadian, dia berada di bilik dan hanya menyedarinya selepas melihat suspek keluar rumah secara tergesa-gesa,” katanya menerusi kenyatan media di sini, hari ini.

Othman berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman, Terengganu dan dilaporkan stabil.

“Setakat ini kami masih mengesan senjata yang digunakan suspek. Semakan mendapati suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penagihan dadah,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

381 penagih, pengedar dadah ditahan di Johor

JOHOR BAHRU, 30 JUL : Polis menahan 381 individu di seluruh Johor hari ini, menerusi Op Icebreaker yang bertujuan melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua mereka ditahan menerusi operasi mulai 12 malam tadi, yang dilancarkan serentak di seluruh negara oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

“JSJN Johor yang dibantu Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan daerah-daerah di bawah kontinjen Johor melibatkan seramai 340 pegawai dan anggota berjaya menahan 381 orang termasuk 12 orang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Mohd Kamarudin berkata tumpuan operasi itu adalah terhadap pengedar dan penagih dadah tegar di kawasan yang menjadi sarang penagihan dadah.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur antara 25 dan 50 tahun itu didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan iaitu membekal, memiliki dan positif terhadap dadah.

Mohd Kamarudin berkata selain penahanan mereka, polis turut merampas 181.62 gram heroin, 28.45 gram syabu, 1.7 kilogram daun ketum serta seliter air ketum.

“Operasi ini adalah secara berterusan sehingga operasi berakhir dan mereka yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada polis amat penting dalam usaha melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah dengan menghubungi talian hotline JSJN di 012-2087222. -BERNAMA