Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran Sungai Gong: Lima termasuk empat beradik didakwa

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, baru-baru ini.

Empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan peguam, mahkamah tidak membenarkan kelima-lima lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan kes pada 27 Oktober.

Pada 3 September lepas, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA PBT SELANGOR

MPS tarik balik lesen empat kilang di Sungai Gong

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menarik balik lesen empat kilang di sekitar Sungai Gong, Rawang atas kesalahan menjalankan aktiviti tambahan tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya mengeluarkan notis pematuhan syarat lesen kepada pemilik premis termasuk satu pejabat urusan perniagaan kerana beroperasi tanpa kelulusan.

“Sebanyak 15 kilang diperiksa untuk memastikan setiap kilang beroperasi dengan sah dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPS dan agensi yang berkaitan.

“Pihak MPS juga ke kilang penyelenggaraan jentera di kawasan sama yang disyaki menjadi punca pencemaran air di kawasan tersebut untuk penyerahan notis dibawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah syarikat terbabit diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada MPS sebelum tindakan roboh dilaksanakan.

“Pihak PDT Gombak juga telah menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah.”

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis tahan empat beradik terlibat pencemaran bau Sungai Gong

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak. Kita akan buat permohonan reman pagi ini di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh empat suspek yang juga adik- beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas, telah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

-BERNAMA