Categories
AGENDA NASIONAL

Faedah Perkeso bantu waris tanggung keluarga

KUALA SELANGOR, 3 JUN: Penerimaan faedah pencen penakat seumur hidup Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disifatkan sebagai bantuan ‘tidak disangka’ dalam meringankan lagi beban tanggungan keluarga, kata balu seorang pekerja Jabatan Teknologi Maklumat TV3.

Sharanizawati Shaari, 38, yang menerima pencen penakat itu hari ini berkata walaupun kematian suaminya, Mohamed Shamry Saiful Bahri pada 20 Mei lepas berlaku tiba-tiba, namun beliau berterima kasih atas tindakan Perkeso yang menghubunginya bagi tujuan penyerahan faedah berkenaan.

“Walaupun kami sekeluarga masih bersedih atas pemergian suami kerana arwah tidak menunjukkan apa-apa simptom yang dia menghidap sebarang penyakit, faedah diterima daripada Perkeso ini dapatlah mengurangkan kesedihan itu.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membesarkan anak-anak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Sharanizawati menerima pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan di rumahnya di Sri Pristina, Sungai Buloh.

Allahyarham Mohamed Shamry, 39, pekerja di Jabatan Teknologi Maklumat TV3 sejak 18 tahun lepas, meninggal dunia empat hari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini akibat komplikasi pendarahan otak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak iaitu Muhammad Sheth Samuel, 11, Muhammad Sheth Shazriel, 9, dan Muhammad Sheth Shafeydaniell, 5.

Sementara itu, Mohammad Ramli berkata Skuad Perkeso Prihatin sentiasa mengambil langkah proaktif dengan membuat semakan caruman sebaik menerima maklumat mengenai kematian pekerja termasuk yang tular di media sosial untuk menyalurkan bantuan.

“Bagi kes ini, semakan mendapati arwah layak menerima faedah Perkeso iaitu faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat jadi kami segerakan penyaluran bantuan berkenaan.

“Kami akan sedaya upaya bantu waris sekiranya semakan mendapati orang berinsurans Perkeso (pekerja) layak menerima faedah. Cuma kami berharap, waris dan orang berinsurans peka dan tahu hak mereka untuk segera menghubungi pihak kami jika berlaku kematian atau menghidapi sakit kronik semasa bekerja,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya ada waris yang baru mengetahui mereka layak menerima faedah Perkeso adalah digalakkan membuat permohonan bantuan dalam kadar segera memandangkan tidak semua pihak peka mengenai penyaluran faedah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua balu Star Media terima faedah, pencen penakat PERKESO

PETALING JAYA, 1 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan manfaat Pencen Penakat seumur hidup kepada dua balu kakitangan Star Media Group Bhd.

Dalam kenyataan, PERKESO memaklumkan mendiang, R Ravindran meninggal dunia pada umur sebelum 60 tahun akibat ‘Acute Inferior Myocardial Infarction’.

Manakala, P Ganesan Palanysamy meninggal dunia pada 19 Oktober lalu sebelum beberapa hari untuk menyambut Deepavali akibat ‘Ischemic Heart Disease’.

“Kedua-dua mendiang aktif mencarum PERKESO.

“Kes kematian mediang mendapat perhatian daripada Skuad PERKESO Prihatin Petaling Jaya atas maklumat kakitangan lain daripada kumpulan berkenaan,” katanya.

Penyerahan cek replika Faedah Pengurusan Mayat dan skim Pencen Penakat disampaikan Timbalan Pengarah PERKESO Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan kepada balu mendiang Ravindran, K Seetha serta Ganesan Palanysamy (V Sarawathy).

Turut hadir, Penolong Pengurus Kumpulan Sumber Manusia mewakil Star Media Group Bhd, M Mahendrarai.

PERKESO memaklumkan Sarawathy kini tinggal bersama seorang anak yang juga Orang Kelainan Upaya.

“Disebalik raut wajah balu, ada perkara paling terkesan dialami terutama anaknya yang masih belum dapat menerima pemergian mendiang,” katanya.